Di laman nurani, rindu menjentik.

Saya melepaskan nafas berat bila pandangan mata terpatri pada kalendar. Benarlah, hidup ini dinamik. Ditinggalkan oleh tahun-tahun yang berlalu, rupanya sedikit sahaja membuatkan saya tersedar bahawa saya sedang bergerak ke hadapan. Ya. Sangat sedikit.

Tujuan artikel ini ditulis pertamanya adalah kerana saya rindukan 'mereka'. Mereka yang istimewa dalam kembara hidup saya di bumi Tuhan ini. Keduanya, saya juga menulis kerana mengharap ada yang sudi mengambil pengajaran. Belajarlah daripada kesusahan dan pengalaman orang lain, kerana dengan itu jalan yang sama dapat kita telusuri dengan lebih mudah walaupun lestari.
-----------------

Hidup saya indah kerana Allah telah sediakan orang-orang yang istimewa di keliling saya. Dari saya lahir, hingga saya dewasa begini, semua orang yang berada di sekeliling saya, ialah istimewa kepada saya. Cuma yang terlebih istimewa dan terlebih hebat duduknya dalam nurani saya ialah mereka- rakan-rakan saya di sekolah menengah dahulu.

Mereka istimewa kerana mereka mengenali saya daripada dua sisi. Sisi gelap, dan sisi cerah. Mereka kenal dua warna saya- putih dan hitam. Tidak seperti rakan-rakan di MAS saya yang mengenali sisi cerah dan putih saya sahaja.

LEOnairats...
Mereka tahu apa yang saya buat jika saya ke cyber cafe.
Mereka tahu apa yang saya main masa di depan skrin komputer.
Mereka tahu apa yang saya pakai masa bersuka tiap petang dahulu.
Mereka tahu dimana saya berada jika saya tiada di asrama.
Mereka tahu...

Banyak perkara.
Juga banyak aib saya.

Tapi ternyata saya tak pernah salah kerana mengatakan mereka istimewa, kerana tiada seorang pun yang terdetik untuk membongkar semula sisi buruk saya, selepas saya mengambil keputusan untuk berubah.

Teringat saya pada sebuah hadis tentang halawatul iman. Rasulullah ditanya, bagaimana mahu mendapatkan kemanisan iman. Ada tiga, salah satunya ialah 'benci untuk kembali kepada jahiliyyah selepas diberikan hidayah.'

Maka, artikel ini juga satu peringatan untuk saya. Saya ada sejarah kelam. Saya ada zaman jahiliyyah saya. Saya tak boleh ego. Bahkan saya tak boleh nak marah bila tengok orang buat jahat. Sebab saya pun jahat dahulu!

Dari dahulu saya asyik terfikir. Agaknya apa yang aku jadi sekarang kalau Allah tak tarik aku semula?

Mungkin masa itu saya akan jadi lelaki yang paling lalai di dunia ini. Yang akan membuang islam terus. Siapa tahu?

Kerana hidayah dan taufik, Allah yang beri. Sesuai dengan kehendak-Nya, sesuai dengan rahsia-Nya.

Alhamdulillah.

Benar. Berubah itu perkara yang sukar. Saya telah meniti jalan-jalan yang sukar itu. Tapi kini, selepas lama berada atas jalan ini, saya semakin sedar dan yakin bahawa yang lebih sukar daripada berubah ialah, konsisten dalam perubahan.

Betul! Nak istiqomah dalam kebaikan, dalam perubahan, dalam hijrah... ia adalah jutaan kali ganda lebih sukar.

Di dalam khutbah terakhir ar-Rasul, Baginda berwasiat agar kita semua berhati-hati dengan godaan syaitan. Kata ar-Rasul, syaitan dan iblis sudah berputus asa untuk menyesatkan kita dalam urusan-urusan yang besar. Maka, mereka akan menyesatkan kita dengan urusan-urusan yang kecil.

Lalu, daripada yang kecil, luka di hati merebak. Retak pada iman, melebar. Dan penyakit pada jiwa, membusuk.

Berhati-hatilah dengan perkara yang kecil. Ingat hukum fiqh- saddu zaraik; apa-apa yang berpotensi membawa kepada kerosakan, dosa, maksiat, maka ia adalah haram.

Mungkin kerana diri saya sudah hilang sensitiviti... hilang sifat hati-hati, maka kesedaran ini sudah rasa makin terjerat. Sekali lagi benarlah... nak konsisten dalam berubah itu adalah lebih susah.

Pun begitu, saya tetap yakin bahawa untuk melakukan perubahan, ia adalah suatu yang mahu atau tidak, perlu kita buat. Ia bukan pilihan, sebaliknya kemestian. Sebagaimana makhluk mesti bernafas untuk hidup, manusia juga perlu berubah untuk hidup. Hidup yang saya maksudkan ialah hidup dalam syurga, kerana kegagalan untuk berbuat demikian akan memberi ruang dan peluang kepada malaikat-malaikat yang bengis untuk melanyak kita dalam candu neraka.

Kerana itu, perubahan perlu dilakukan walaupun sedikit.

Jika tak mampu solat berjemaah- usah melambatkan solat.
Jika tak mampu mengaji- usah berhenti belajar agama.
Jika tak mampu berdakawah- usah berhenti menyediakan diri untuk didakwahkan.
Jika tak mampu berhenti maksiat- usah berhenti bertaubat.
Jika tak mampu mendatangi ketaatan- usah berhenti berdoa diberikan kekuatan.

Kita hidup di zaman kerosakan. Kerana yang rosak itu ialah iman sendiri, maka kita akan menilai benda akhirat sebagai benda yang terasing, yang lewah. Dan mungkin kerana itu juga, kita menerima nasihat ini sebagai benda yang tiada makna yang signifikan.

Terpulanglah...

Tapi artikel ini ditulis untuk menyeru kepada kalian yang membaca;

'Fafirru ilallah'- berlari pulang kepada Allah!

Kita dah cukup tua, cukup penat dan tenat untuk terus membuatkan Dia murka. Biar ada perubahan. Sedikit, tak banyak. Tak banyak, sedikit. Yang penting, kita perlu berubah. Sebelum Allah ubah status kita daripada bakal ahli syurga kepada bakal ahli azab.

Nauzubillah.

Mudah-mudahan saya kekal dalam perubahan. Kalian juga. Mudah-mudahan Allah himpunkan kita dalam syurga-Nya.

Aminn...
       
Previous
Next Post »
7 Komentar
avatar

hehehe, 5 tahun bersama beb, all in memories, xD

Balas
avatar

Salam Iqbal...akak tau iqbal mesti tau ni, tapi sekadar nak tulis jugak... Allah tak pandang jahiliyah kita yang lalu. Tapi Allah pandang usaha kita sekarang, usaha kita untuk raih redha Dia.

Syukur... Allah kasi hidayah kat Iqbal. Indeed He loves you. Allah...

Balas
avatar

InsyaAllah...kekalkan yang baik tu naa... ^_^

Balas
avatar

Maha Baik Allah yang menyembunyikan segala aib kita.

Balas
avatar

assalam. saudara, mohon dikongsi ya. terima kasih.

Balas
avatar

Selamat malam sahabat, trima kasih atas kunjungannya :)

Balas
avatar

terima kasih banyak atas seruan itu,,semoga allah merahmati mu

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443