Istimewa, Sang Kekasih.


Dengan nama Allah, Tuhanku dan Tuhanmu.

Allah telah berfirman dengan jelas, "Dijadikan indah pada pandangan manusia berupa kecintaan kepada apa yang dia inginkan, berupa perempuan-perempuan (pasangan), anak-anak, harta benda yang bertompok dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan, dan sawah ladang. Pun begitu, ia hanyalah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah sahajalah tempat kembali yang baik."

Wahai kaum muslimin,
Di tempat yang lain, Allah berfirman, "Dan berilah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat kepada kaum muslimin"

Demi Allah, Tuan punya alam...
Saya menulis kerana terdetik rasa mahu menegur, dan memberi peringatan.
Bukan mahu menempelak.
Bukan mahu menyindir.
Cuma menegur, kerana kasih.

Wahai kaum muslimin,
Saya melihat ada yang tak kena pada diri kita. Kita semuanya.
Pandangan kita dan cara kita melihat agama... serong. Senget, dan berpisat-pisat. Kita akur bahawa islam itu sempurna dan kita juga akui, bahawa sebagai penganut agama ini, kita berkewajipan untuk mendakap islam dengan sempurna.

Kita bertanggungjawab untuk islam dalam seluruh aspek kehidupan. Islam yang penuh, bukan suku, bukan separuh. Islam ialah primer, dominan. Tapi yang saya lihat, kita lebih menumpukan pada soal cinta dan perasaan dalam agama ini.

Adakah islam itu hanya semata-mata kerana cinta, kasih sayang, jodoh, berpapasan, atau baitul muslim semata-mata? Adakah jika kita tidak mendekati couple, islam dalam diri kita sudah elok dan sempurna?

Dan pernah tak kita menjumpai mana-mana nas yang menyatakan syarat masuk syurga ialah dengan tidak bercinta dengan lelaki atau perempuan sebelum nikah? Atau, tidak bercouple?

Tapi masalahnya, kalian seolah-olah faham begitu. Dan tadi, saya cuma mengambil masa 10 minit untuk status cinta saya mengumpulkan 'like' sebanyak 15 kali. Dan saya mengambil masa 30 minit untuk status tarbiyyah saya di'like', juga sebanyak 15 kali. Nampak tak di sana ada masalah?

Saya yakin, tujuan anda subscribe Facebook saya ialah untuk manfaat anda. Saya juga yakin, tujuan anda 'add as friend' pada saya juga untuk kebaikan anda. Jadi, atas nama kebaikan, saya menegur. Islam itu sempurna dan menyempurnakan. Jangan pandang dengan satu lapis pandangan. Jangan faham dengan satu urat kefahaman. Islam yang sempurna, seharusnya dinilai secara penuh... sempurna. Dalam agama ini, ada keutamaan-keutamaan, juga ada nilai tambahnya yang tersendiri.

Jangan keliru. Nombor satu dan nombor dua, kan ada beza.

Tak ramai penulis yang berani menulis tentang ini. Saya terkecuali, kerana saya yakin, anda tsiqah (percaya) dengan saya. Saya tak takut kehilangan pembaca, kerana saya tak mencari populariti. Juga, saya bukan mahu menjatuhkan air muka kalian jauh sekali menghina dan memperlekehkan kalian. Sebaliknya saya mahu mengangkat kalian. Mengangkat jiwa dan nilai pandang kalian! Oleh itu, buka hati kalian dan fahamilah hakikat sebenar.

Pernah dahulu, seorang pemuda mendatangi Saidina Ali. Ketika itu Saidina Ali ialah khalifah. Pemuda tadi bertanya, "Ya Amirul Mukminin, mengapa di zaman khalifah sebelum kamu, keadaan tidak runcing, kacau, dan gawat seperti zaman pemerintahanmu?" Lalu jawab Saidina Ali, "Kerana pada zaman mereka menjadi khalifah, pemuda-pemuda di zaman itu ialah pemuda seperti aku, sedangkan di zaman aku menjadi khalifah, pemudanya seperti kalian!".

Satu bahasa yang cukup mendalam maknanya. Gunakan hati kita untuk menterjemahnya.

Wahai kaum muslimin,
Adakah kita pemuda yang seperti Saidina Ali, atau adakah kita pemuda seperti pemuda yang hidup di zaman Saidina Ali menjadi khalifah? Saya pasti kita tidak upaya untuk mengatakan "Kita semua lebih bagus daripada pemuda di zaman Saidina Ali." Tidak mungkin! Apa lebihnya kita? Bahkan kita jauh terkebelakang dalam sisi kehidupan beragama. Akhlak kita tidak menepati KPI (key performance index) yang Allah mahu. Ibadah, ilmu, keterampilan, bahkan hubungan kita dengan alam sendiri sudah sasar.

Kita akui itu. Bahkan pemimpin negara kita lagikan melaung, "Kembalilah kepada islam." Tetapi apakah pelan dan tindakan? Ya, memag ada. Tapi mudah sahaja ia dicantas oleh aroma jahiliyyah yang tak sirna sejak dahulu.

Wahai kaum muslimin,
Saya ditugaskan untuk mengajak serta menyampai, bahwa kita semua perlu kepada perubahan. Perubahan yang dimulai dengan mengubah cara kita memandang agama dan diakhiri dengan perjuangan kita. Saya tak menafikan bahawa remaja dan cinta ialah seperti irama dan lagu. Kata mereka, irama dan lagu tak mampu dipisah. Tetapi saya sendiri tak meminta ia dipisahkan! Remaja dan cinta tidak perlu dicantas. Keduanya selari dan malar. Tetapi, remaja dan cinta itu bukannya puncak. Puncaknya ialah remaja dengan Tuhannya!

Mengapa kita terlalu berminat dengan persoalan cinta, dengan kita jadi hilang minat untuk mendalami subjek akidah, dakwah, ilmu, dan akhlak?

Saya, bila menulis tentang cinta, maka beribu membaca.Saya, orang yang sama, bila menulis tentang selain cinta, maka separuh daripada ribu juga tak tentu.

Orang bertanya, "Ada apa dengan like dan share?"

Yalah. Ada apa? Tak ada apa-apa melainkan aa cuma menunjukkan komitmen kita, kebanggaan kita, dan benang pemikiran kita. Beringatlah... Agama ini luas. Sudutnya juga luas. Jangan sempitkan agama hanya dengan nilai cinta sahaja. Ilmu agama bukan hanya kepada cinta.

Islam takkan tertegak dengan hanya kita melahirkan generasi pemuda yang tidak bercouple.Islam juga takkan utuh di bumi Melayu ini, jika generasi pemudanya hanya sibuk dalam berperang dengan nafsu sendiri. Berperang dengan nafsunya. Saban hari, saban bulan, saban tahun. Tak selesai-selesai. Pemuda yang sebaya dengan kita, di bumi terik dan kontang sana sudah lama berperang dengan musuh, tapi kita masih kaku... berperang dengan syahwat. Mereka gugur syahid, kita gugur hina.

Jangan sempitkan maksud hidup kita untuk benda-benda yang sempit. Sebaliknya besarkan jiwa kita untuk agama ini. Bermimpilah, kerana Umar r.a juga menganyam mimpi agar rumah itu dipenuhi dengan peribadi seperti Abu Ubaidah ibn Jarrah serta Muaz Bin Jabbal.

Dan saya juga bermimpi, agar kita juga punya keberanian untuk menjadi menegakkan agama ini- bukan hanya menegakkan pendirian untuk tidak bercinta sebelum nikah!

Kerja agama memerlukan kepada jiwa yang besar. Jadi, jika anda terasa kecil hati dengan surat terbuka ini, maka itu adalah petanda yang kurang baik. Moga Allah pimpin saya, dan kalian.

Jika rasa ia bermanfaat, sebarkanlah kerana kita tak tahu amalan kita yang manakah yang Allah terima.
-------------------
13 Feb 2012
12:13 AM.

Iqbal Syarie,
Penulis blog Bayyinat,
Dan pengarang novel Dia Yang Kunikahi dan Transit Cinta.
Previous
Next Post »
5 Komentar
avatar

so true.
masuklah ke dlm Islam scra kseluruhan, bukannya scra berjuzuk.

jangan layu sangat dengan falsafah cinta. Da'ie itu bukan membuang masanya dengan falsafah cinta sahaja. Bimbang mulut menutur nasihat cinta islami, sedangkan hati sedang memujuk nafsu agar mendekati.

mabruk akh atas entrynya.

Balas
avatar

Jika demikian, aku lebih layak mengasihinya daripada engkau... aku kasih padanya kerana dia adalah seorang khadam untuk al-Quran dan iman, maka jika terlihat aku seribu salahnya, tidak akan kurang pun kasih aku padanya, sedangkan engkau, jika terlihat satu saja salahnya, nescaya engkau akan meninggalkannya"

(said nursi ketika menjawab kekaguman anak muridnya terhadap Syeikh Diauddin Ahmad Kumasykhonawi disebabkan kehebatan & maqam)

"maafkanlah semua orang, tetapi janganlah kau maafkan dirimu"

"sebaik-baik pemuda di kalangan kamu ialah mereka yang menyerupai (tasyabbaha) orang2 tua dan seburuk-buruk orang tua ialah mereka yang menyerupai orang muda"


Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Uthmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Hasrizal Abdul Jamil pada 4 Februari 2006. Artikel asal bertajuk Dakwah Badiuzzaman Said al-Nursi.

Allahu a'lam

Balas
avatar

subhanallah ini juga yang saya rasa dan fikirkan..seolah-olah islam ini hanya tercakup pada cinta..ya, jujurnya sy sendiri merasa bahawa islam dan iman itu sebenarnya adalah cinta..tetapi bukanlah cinta yang hanya level sesama manusia,,tetapi ia adalah cinta yang lebih tinggi, yakni DIA..dan dek kerana cinta itulah, kita memantapkan lagi akidah, tsaqafah, tarbiyyah, akhlak dan segala cabang yang memasak teguh akidah dan keimanan kita..

ya, mungkin secara sinis saya boleh katakan, jika seorang daie tersasar niat mahu menjadi popular, makanya pilih sahaja tajuk cinta sesama manusia..pasti laku keras..

Balas
avatar

bismillah,

lama tidak jejak di blog ini. semoga ALLAH memberkati usahamu..

alhamdulillah, suara hati yang diterjemah dengan baik dalam bentuk tulisan..

Balas
avatar

benar, saya juga pernah mengalami perkara yang sama. post atau status di fb yg berkaitan dgn cinta lebih rmai di 'like' berbanding tntg akidah,fiqh dsbnya.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443