Cermin.


Jujur.

Cermin sakti, hakikatnya hanya wujud dalam dunia Cinderella. Cermin yang bila ditanya, "Siapa yang paling cantik atas dunia ini?" maka akan dijawab oleh cermin sakti tadi, "Cinderella yang paling cantik." Itu fiksyen, sedang realitinya tak begitu. Mana ada cermin yang berkata-kata, tapi setiap cermin baik yang petak ataupun yang bulat, tetap jujur. Kalau kucing yang menghampiri, imej kucinglah yang terpantul. Tak jadi harimau. Kalau putih yang melihat, maka putihlah yang keluar. Tak jadi biru. Samalah, jika kita melihat cermin, kita akan melihat wajah kita dibaliknya, dan bukannya wajah orang lain.

Fasik.

Saya pernah bertanya kepada Tuan Guru Nik Radhi Nik Mat, "Ustaz, apa hukum kita berimamkan dengan orang fasik?"

Jawapannya, memang kita maklum. Makhruh. Tapi soalan saya tidak terus dijawab, sebaliknya dia melemparkan pula satu soalan kepada saya, "Kat dunia ni, siapa yang tak fasik?"

Wajahnya tersenyum penuh makna. Tempelaknya mengena!

Cerminlah Diri.

Kata Allah, manusia yang takut kepada Allah ini hanyalah golongan ulama (surah Fatir ayat 28). Adakah setiap ulama, takutkan Allah? Tak semestinya kerana dalam al-Quran juga, Allah ada menghina satu kelompok orang berilmu, dengan menggelar mereka sebagai anjing yang terjelir-jelir lidahnya sebagaimana yang terpatri pada ayat 175 dan 176, surah al-A'raf.

Sesebuah ilmu, hakikatnya ialah bermanfaat. Jika ia tak memberi manfaat, kata ulama... itu bukan ilmu, tapi suatu pengetahuan. Ilmu ialah cahaya, dan cahaya ialah suatu yang bersifat menerangi serta menunjuk. Ia melenyapkan kegelapan, dan ia juga menjadi pembeza antara yang kelam dengan yang cerah. Yang hitam dengan yang kelabu!

Saya suka dengan sikap Tuan Guru Nik Radhi. Dia menggunakan ilmunya, sebagai cermin. Jika berbicara tentang fasik, dia meletakkan satu cermin di hadapannya. Cermin yang ghaib, terbina daripada lantera jiwanya, untuk dia menilik diri sendiri.


Awal surah As-Saff.

Dalam ayat dua dan tiga surah As-Saff, Allah menegur manusia dengan satu teguran yang menggetarkan jiwa. "Apakah layak bagi kamu wahai orang beriman, memperkatakan sesuatu yang kamu sendiri tak buat? Ah, amatlah buruk dan besar kemurkaan Allah atas perbuatan kamu itu. Cakap tak serupa bikin!"

Kenali watak kita.

Secara asas, terdapat tiga golongan di dalam al-Quran. Pertama, orang yang beriman. Kedua, orang yang kafir dan ketiga, golongan yang berada di antara kedua-duanya, iaitu orang yang ragu-ragu. Beriman boleh, kafir pun boleh. Munafik, tuntasnya. Dalam kita menelusuri kehidupan ini, kita sering bertemu dengan tiga golongan ini. Kita sendiri bahkan, boleh berubah taraf kita. Sekejap kita golongan pertama, dan sekejap, jadi yang ketiga.

Hakikatnya, yang selamat hanyalah kumpulan pertama sahaja. Munafik itu ialah pecahan daripada kafir (bahkan lebih buruk daripada orang kafir sebenarnya). Bagaimana nak menjadi golongan pertama, dengan ilmu?

Perlu ada cerminlah! Bila kita nasihat orang, kita perlu segera membuat pusingan reflek, untuk menilai diri. Bila bercerita tentang orang fasik, datangkan dalam kepala, "Aku ke?" dan jangan datangkan dalam kepala, "Fasik seperti si fulan". Bila bercakap tentang sabar, segera lihat diri kita, "Aku ni cukup penyabar tak?" Jika bercakap tentang syukur, segera memandang diri, "Aku ni sudah bersyukur ke belum?"

Begitulah seterusnya. Bila membaca tentang ayat azab, dalam al-Quran, seharusnya rasa takut menyelinap masuk. Takut jika sekiranya yang Allah maksudkan dalam kalam-Nya itu ialah kita. Kalau membaca tentang nikmat, runsinglah sekiranya kita tak layak untuk mencium aroma kenikmatan syurga sebagaimana yang kita baca itu. Seharusnya begitulah!

Jangan jadi orang berilmu yang hanya ada teori, tapi tiada akhlak. Hanya tahu nak 'pangkah' orang. Hanya tahu nak hukum orang. Hanya nampak aib orang, tapi kelabu matanya daripada memerhati aib diri sendiri. Dikaburi oleh pementasan amal!

Kesimpulan.

Ubahlah cara kita memandang orang. Kerana cara kita memandang orang ialah cermin kepada hati kita. Jika pada mata kita, orang lain serba tak kena... maka itu tandanya, hati kita juga serba tak kena. Seharusnya, jika kita nampak keburukan orang lain, hati kita secara sendiri nampak keburukan kita. Kerana keburukan orang lain, adakalanya berpunca daripada keburukan kita.

Sebagai contoh. Kita rasa sakit mata melihat aanak-anak muda berpelukan atas motosikal. Hati kita panas dan mula menyumpah. Tapi, apa sebenarnya kita dah buat? Ada kita 'approach' mereka? Nasihat mereka? Tiada! Jadi itu bukti bahawa hati kita sebenarnya dah rosak, kerana kita nampak kesalahan orang, tapi kita tak nampak kesalahan kita yang lebih besar dan lebih dasyat- iaitu kita meninggalkan dakwah, walaupun dakwah dengan 'memandang dengan cinta' dan mendoakan mereka!

Moga bila kita tengok orang, kita nampak diri kita, nampak kesalahan kita.
  
Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

semoga Allah redha....

Balas
avatar

salam.. mohon copy untuk di share ke blog saya :)

Balas
avatar

err..takut2 T_T

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443