Pasrah

Memaknakan pasrah.


Pasrah menurut kamus dewan edisi 4 bermaksud menyerah. Di dalam agama islam, salah satu komponen iman ialah pasrah, dimana kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Setiap sendi kekuatan, setiap derap usaha, setiap orak perubahan, segalanya diserahkan urusannya kepada Allah S.W.T.

Orang yang pasrah ialah orang yang membiarkan dirinya terbenam dan larut dalam ketetapan Allah. Bila kesukaran, dia akan berdoa. Bila disenangkan, dia akan bersyukur. Bila kekurangan, dia akan bersabar. Bila berlebihan, dia akan berundur.

Manusia yang pada dirinya tiada sifat pasrah, akan terdorong kepada sifat melawan. Tak dapat menerima kenyataan, mudah putus asa, sering berkeluh kesah dan sering bersangka buruk dengan Allah.

Pasrah ialah tamaddun, yang mana daripada tamaddun yang hebat inilah... islam bersinar dengan gemilangnya!

Pasrah Dalam Kekurangan.

Semasa peristiwa hijrah Rasulullah bersama Abu Bakar ke Madinah, para penduduk Madinah telah bersedia dan menunggu dengan sabar akan ketibaan rombongan dua manusia hebat ini. Tanpa diketahui masanya dan tarikhnya, mereka setia menunggu dengan rasa teruja dan gembira.

Dan tiba masanya, dua sosok manusia ini tiba pada destinasi yang dituju dan disambut oleh penduduk Madinah dengan gemilang dan gembira. Mereka melantunkan syair-syair, mengalu-alukan kedatangan Rasulullah yang akan diangkat untuk menjadi pemimpin mereka.

Dalam kalangan penduduk Madinah yang beratur, berarak, menyambut ketibaan Rasulullah, antara mereka ada yang kaya dan ada pula yang miskin. Setiap daripada mereka menjemput Rasulullah untuk singgah atau bertamu di rumah mereka. Bahkan, ada yang sampai mendesak hinggakan menarik sendiri tali unta baginda. Betapa mereka merasakan suatu kemuliaan apabila manusia agung, Muhammad S.A.W sudi menjadi tetamu mereka untuk singgah berehat, berteduh, dan menjamu di rumah mereka.

Baginda, di saat menerima jemputan dan pelawaan yang tulus daripada sahabat-sahabatnya, hanya menjawab dengan sabdaannya, "Biarkanlah untaku. Jangan halangi jalannya, kerana ia hanyalah menjalankan perintah daripada Tuhannya"

Unta Rasulullah terus berjalan melalui perumahan Bani Bayadhah, lalu ke perkampungan Bani Saidah, sebelum melewati perkampungan Bani Harits Ibnul Khazraj dan kemudiannya di perkampungan Bani Adi Bin Najjar dan akhirnya berhenti di rumah Bani Malik bin Najjar. Unta Rasulullah itu bersimpuh, dan terus tetap, tidak berganjak lagi.

Rasulullah kemudian turun dari unta yang ditungganginya dan saat itu, datang seorang sahabat kepada Baginda dengan wajahnya yang berseri-seri, gembira. Sahabat itu ialah Abu Ayyub al-Ansori. Dia telah Allah muliakan dan berikan penghormatan kepadanya, untuk menjadi tuan rumah yang mana tetamunya tika itu ialah seorang nabi dan seorang manusia yang paling hebat dan agung!

Abu Ayyub al-Ansori r.a, seorang lelaki yang telahpun berbai'ah kepada Rasulullah dalam perjanjian Aqobah kedua, ialah seorang lelaki yang miskin. Ya, kerana kemiskinannya, hatinya pasrah. Dia, seperti semua saudaranya di Madinah... yang mahu kiranya Rasulullah bertamu di rumahnya, hanya pasrah. Dia tidak meminta-minta, tidak juga mendesak-desak agar Baginda bertamu ke rumahnya. Dia pasrah bahkan berserah semata. Berserah, kerana dia tahu dirinya miskin dan papa. Lalu, kerana sikapnya yang terpuji ini, Allah muliakan beliau.

Pasrah Dalam Memberi.

Seorang sahabiah, namanya Ummu Sulaim. Sepertimana orang lain yang bercita-cita dan berkeinginan untuk menyumbang kepada kelancaran dan kelansungan dakwah islamiah di kota Madinah, dia juga mahu memberi. Tetapi, dia tak punya apa-apa kecuali satu, yang mana yang satu-satunya inilah yang dia cinta... dan yang satu-satunya inilah yang dia pasungkan harapan.

"Ya Rasulullah... aku juga mahu menyumbang untuk agama ini! Tetapi aku tak punya apa-apa. Aku cuma ada seorang anak yang masih kanak-kanak. Terimalah dia, untuk menjadi khadammu, wahai Rasulullah"

Anak yang diberkati itu, namanya Anas Bin Malik. Dan berkat kepasrahan ibunya, Anas Bin Malik telah menjadi permata yang gemerlapan dan cemerlang sinarnya, yang mana cahanya bukan sahaja menyuluh kebatilan tetapi memberi kemuliaan yang tiada taranya kepada ibunya!

Kecintaan Rasulullah kepada anak ini terlalu besar hingga beliau didoakan oleh Rasulullah dengan empat perkara, iaitu diberikan harta yang banyak... dikurniakan umur yang panjang... diberikan zuriat yang ramai, dan dimasukkan ke dalam syurga!

Berkat kepasrahan seorang ibu dalam memberi, kedua-dua mereka... ibu dan anak, mendapat kemuliaan!

Pasrah Dalam Kehilangan.

Ummu Salamah telah kehilangan suaminya yang gugur sebagai syuhada' dalam perjuangan islam. Sepeninggalan suaminya, hidupnya sering sahaja diselaputi kesedihan. Semasa awal-awal kewafatan suaminya, Abu Salamah... Rasulullah ada berpesan kepadanya, "Barang siapa yang ditimpa suatu musibah, maka ucapkanlah sebagaimana yang telah dperintahkan oleh Allah, ‘Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan. Ya Allah, karuniakanlah bagiku dalam musibahku dan berilah aku ganti yang lebih baik daripadanya, maka Allah akan melaksanakannya untuknya."

Ummu Salamah pasrah dengan ketetapan Allah. Dia menerima pemergian suaminya dengan rela. Dan sebagaimana orang lain, bilamana seorang wanita itu menjadi janda, yang mana suaminya meninggal kerana syahid, maka sahamnya akan naik mendadak. Ramai para sahabat Rasulullah berkehendak untuk menjaga janda para syuhada.

Maka, datanglah Abu Bakar untuk meminang Ummu Salamah. Ditolak. Kemudian, datang pula Umar, juga ditolak. Dalam masa yang sama, beliau masih dirundum kesedihan. Rasulullah menziarahinya, dan memberinya nasihat, "Seringlah berdoa kepada Allah agar Dia gantikan untukmu, suami yang lebih baik."

Lalu Ummu Salamah bertanya, "Adakah sesiapa yang lebih baik daripada Abu Salamah?"

Tak lama, datanglah pinangan daripada orang yang lebih baik daripada seluruh manusia di muka bumi ini, iaitu Rasulullah sendiri. Pun begitu, pada awalnya Ummu Salamah keberatan. Ada tiga perkara yang menyekatnya untuk memberikan persetujuan.

"Ya Rasulullah, aku ni seorang yang sudah tua"

Rasulullah menjawab, "Aku juga sudah tua"

"Ya Rasulullah, aku ini punya banyak anak"

Rasulullah membalas, "Aku juga punya ramai anak"

"Ya Rasulullah, aku ini seorang yang mudah cemburu"

Lalu dijawab oleh Rasulullah, "Jika begitu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia hilangkan cemburumu"

Dan ya, antara semua isteri Rasulullah, Ummu Salamah ialah wanita yang paling tidak mencemburui madu-madunya.

Berkat kepasrahan dan ketundukan jiwa, menerima berita kehilangan tiang untuk bersandar, Allah muliakannya dengan memberinya pengganti suaminya, dengan sosok manusia yang teragung, yang mana manusia ini jugalah yang mendoakannya agar dikurniakan jalan keluar bagi kemelut jiwanya.

Kesimpulan.

Seharusnya, dalam setiap nafas kita, ada ikatan dan ada hubungan kita dengan Allah. Agar, kita tak lari daripada penyarahan kepada-Nya. Jalanilah kehidupan dengan penuh pengharapan. Agar nanti, jalan keluar bagi setiap tribulasi akan sentiasa tebuka, kerana lantera jiwa kita tidakkan kelam.
 
Previous
Next Post »
4 Komentar
avatar

boleh kan klu saya nak share beberapa potong ayt dr sinike fb??

Balas
avatar

Subhanaallah... hebat sgalanya jika pasrah krna Allah... berusaha ke arah itu dalam menerima apa jua pemberian dn krniaan-Nya buat diri ini :')

Balas
avatar

assalam. pasrah dalam zaman sekarang ni mcm mana contohnya? sama lah pasrah dengan redha? jzkk.

Balas
avatar

Pasrah ialah syukur. Menerima segala ketetapan dengan berbesar jiwa dan perlapang hati.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443