Kita yang berdosa

Kita yang berdosa,
Lelah. Lemah. Letih.
Tenat!
Lapis-lapis lumpur dosa,
Titis-titis peluh maksiat,
Menyapu suci dunia,
Memadam lantera  jiwa.

Kita yang berdosa,
Terkapai-kapai menagih udara,
Antara timbul yang sering tenggelam,
Kita larut dalam nanah dunia,
Bergelut menggenggam nyawa.

Kita yang berdosa,
Masih punya hari,
Masih punya matahari,
Yang padanya ada kepulan masa,
Yang kita kait dan anyam,
Menjadi satu lembaran putih,
Lalu atasnya,
Seteguk warna kita tabur,
Hitam dan putih pada asasnya,
Mencorak maksiat antara makruf.

Kita yang berdosa,
Sudah punya segalanya,
Tapi hilang semuanya,
Kerana segalanya tanpa Dia,
Bererti semuanya,
Tanpa jiwa.

Kita yang berdosa,
Ratahlah maruah diri,
Lemparlah jati insani,
Kerana hidup yang dicaturkan,
Ialah buah yang realiti,
Syurga atau neraka.

Kita Yang berdosa,
Kembalilah dan pulanglah,
Kerana janji Rabb pasti,
Kuat dosamu tidakkan setanding kuatnya ampun-Nya.

Bertaubatlah dengan taubat nasuha.
     
Previous
Next Post »
1 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443