Rahmatullah.

 رَحْمَةُ اللهِ :Apa yang dimaksudkan dengan rahmat Allah?

Kita masih lagi berbicara tentang kesan-kesan dan akibat, jika kita mengikuti Rasulullah S.A.W dalam sisi kehidupan kita, sehari-harian.

Rahmat bererti kasih sayang, belas ehsan, keutungan, dan segala yang baik-baiklah. Dalam ayat 132 surah Ali-Imran, Allah berfirman: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat"

Kisah seorang abid.

Rasanya ramai yang dah dengar kisah ni. Saya tak dapat mencari sumber atau sandanya, tetapi saya rasa bagus untuk kita berkongsi pengajarannya. Mudah-mudahan hati kita akan segar apabila teringat akan cerita ini, selalu.

Ada seorang abid, yang hidupnya hanya untuk ibadah. Siangnya, malamnya... semuanya dihabiskan dengan beribadah kepada Allah. Dia tinggal di dalam gua, dan dihadapan gua itu, ada sebatang pohon dan punca air. Apabila dia berasa penat, lapar atau dahaga kerana lama beribadah, maka dia akan ke pintu gua. Lalu, buah daripada pohon yang tumbuh di muka gua pun gugur, sedia untuk dimakan oleh ahli ibadah tadi. Selepas makan, dia akan ke punca air yang juga berada di muka gua, dan meminumnya hingga terasa kembali segar. Sesudah itu, dia pun kembali larut dalam ibadahnya.

Selama 500 tahun, inilah rutinnya. Tak perlu ke mana-mana. Tak perlu meminta-minta. Hanya ibadah. Hanya taat!

Sampai ajalnya, lalu Allah matikan ahli ibadah ini. Oleh kerana lelaki ini subur dengan ketaatan, Allah berkehendak untuk memasukkannya ke dalam syurga. Lalu Allah memerintahkan kepada malaikat, "Demi rahmat-Ku, masukkanlah lelaki ini ke dalam syurga."

Tiba-tiba lelaki, si ahli ketaatan ini bersuara. "Ya Allah, aku memohon kepadamu supaya Kau masukkan aku ke dalam syurga-Mu, dengan sebab amalanku."

Amalan soleh, 500 tahun yang mana satu saat pun dalam tempoh itu tak berlalu dengan maksiat dan noda. Hanya ada ketaatan, ada ketundukan!

Lalu apa Allah kata? Allah memerintahkan malaikat-Nya untuk menimbang segala pahala ketaatannya. Ketaatan, sebelah neraca. Dan nikmat Allah berupa sebelah mata, di sebelah yang lain. Dan selepas ditimbang antara dua, kurnia Allah dengan ketaatan hamba, ternyata kurniaan Allah berupa sebelah mata sahaja... itupun sudah jauh lebih berat dan besar nilainya berbanding dengan ibadah selama 500 tahun! Sebelah mata, bukannya sepasang biji mata! Orang yang ada mata sebelah pun boleh memandang lagi. Tapi nampaknya nikmat itupun sudah terlalu besar!

Rasulullah juga berharap.

"Sesungguhnya setiap orang akan masuk syurga kerana rahmat Allah"

"Engkau pun, ya Rasulullah?", para sahabat bertanya. Terkejut.

Rasulullah angguk. "Ya. Aku juga berharap kepada rahmat-Nya".

Anak kunci syurga.

Dalam hadis, Rasulullah banyak menyebutkan tentang amalan-amalan yang membawa kita ke syurga.

Sedekah, amalan yang membawa ke syurga.
Puasa, amalan yang membawa ke syurga.
Haji, amalan yang membawa ke syurga.
Jihad fi sabilillah, amalan yang membawa ke syurga.
Solat, amalan yang membawa ke syurga.
Berakhlak mulia, amalan yang membawa ke syurga.
Berbuat baik kepada ibubapa, amalan yang membawa ke syurga.
Dan banyak lagi yang akan menolak kita ke pintu syurga.

Tetapi, semua ini hanya berlaku apabila Allah redha, dan mengizinkan rahmat-Nya keatas kita. Kerana sesungguhnya, rahmat Allah itu ialah umpama oksigen yang mencetus kehidupan.  Rahmat Allah umpama anak kunci, yang membuka ruang dan dimensi; syurga Ilahi!

Bagaimana mahu meraih rahmat Allah?

Ikut Nabi. Kerana dengan kita mengikuti Baginda Rasulullah s.a.w, kita telah mengikuti setiap gerak langkah dan panduan wahyu. Setiap perbuatan, percakapan, persangkaan, pemikiran... semuanya bergaris, berpagar. Semuanya ada had, ada disiplin.

Tak payah kita cakap banyak-banyak. Kerana selagi kita tak menjadikan Rasulullah sebagai ikutan, kita takkan mampu untuk berakhlak dengan akhlak islam, tak mampu untuk beribadah dengan ibadah yang soheh, tak mampu untuk beriktikad dengan akidah yang sejahtera, dan juga tak mampu untuk menjadi khalifah, apa lagi abid.

Dan kerana rahmat Allah jugalah, saya mampu menulis. Dan dengan rahmat daripada pencipta yang sama, anda mampu membaca. Jika di dunia ini pun kita sudah amat memerlukan dan mengharapkan rahmat Allah, apakah nanti di akhirat, kita akan merasa cukup dan berdikari?

--------------
Bahan bacaan yang baik: Mencari Rahmat Allah.
    
Previous
Next Post »
2 Komentar
avatar

Assalamualaikum, lama dah akak tak datang singgah...sibuk dengan urusan anak2. InsyaAllah besok keputusan SPM anak kembar saya...

Pernah dengar satu hadis, jangan lah tanya akak riwayat dari siapa...akak bukan ahli dalam hal ini.. hadis itu berupa dialog antara Rasulullah dengan seseorang.

Dia bertanyakan akan Rasulullah mengenai kiamat, Rasulullah bertanya kembali...apakah persediaan kamu mengenainya?

Dia menjawab takde apa2, amalan solat sunat, puasa sunat...semua takde...yang ada cuma aku cinta akan Allah dan Rasul nya dengan sepenuh hati ...Rasulullah mengatakan kepadanya...engkau adalah bakal ahli syurga...

Apa pendapat Iqbal?

Balas
avatar

Salam kak :)
Terima kasih kerana masih sudi berkunjung di laman saya walaupun dalam kesibukan dan kekangan masa.

Apa yang akak sebut tu memang ialah satu hadis. Hadis mutafaqun alaih, riwayat Bukhari dan Muslim.

Seorang lelaki (menurut Habib Ali Zaenal Abidin dalam kuliahnya, lelaki itu bernama Dzul Khuaisiroh. Wallahua'lam), semasa Rasulullah sedang berkhutbah, beliau bertanya, "Wahai Rasulullah, bilakah hari kiamat itu?"

Rasulullah menjawab soalannya dengan soalan juga. "Apakah yang kamu sediakan untuknya?"

Jawab arab badwi tadi, "Aku ni tak banyak amal. Cuma aku mencintai Allah dan mencintai Rasul-Nya dengan sepenuh jiwaku"

Lalu Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya seseorang akan bersama dengan orang yang dia cintai"

Dan menurut Anas Bin Malik, tiada hadis yang lebih membuatkan para sahabat radiallahum ajmain gembira, melebihi gembiranya mereka dengan hadis ini.

------------------------------

Dan ini bukti rahmat Allah :)
Oh ya! Cinta itu tenaga yang mendorong amal. Jadi, mahu atau tidak... bila kata cinta, perlu ada buktinya. Kan?

Amal ialah bukti dan kuncinya :D

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443