Manusia memang terburu-buru. Fitrah kejadiannya memang begitu. Aku dan kamu, sama-sama mahu segera. Jika boleh, kita mahu segera berjaya. Jika mampu, kita mahu segera bahagia. Tapi hakikatnya, bukan semua yang segera itu hasilnya bagus.
Bahkan, seringkali kejayaan itu datang daripada usaha yang panjang. Begitu juga dengan bahagia.
Apa yang kita fikir, selalunya tak selari dengan apa yang Allah aturkan. Memanglah. Kita hamba Dia. Kita tak tahu apa rencana-Nya. Tak perlu nak dipandang pada perkara yang jauh dan besar-besar, apa yang kita bakal makan esok pun kita belum pasti. Bahkan, hidup atau mati kita esok pun kita tak tahu. Jadi, bagaimana mungkin kita tahu apa yang dihamparkan di depan itu, ialah yang terbaik untuk kita?
Seringkali berlaku, 'short term gain but long term loss'.
Menikmati seketika, tapi kehilangan buat selama-lamanya.
Benar sekali kata Allah...
"Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu bertabiat terburu-buru". al-Israq ayat 11.
Bila kita mahukan sesuatu, kita benar-benar berusaha kepada itu. Benar. Berusaha ialah suatu yang dituntut. Tapi berusahapun janganlah sampai melenyapkan ruang dan peluang yang lain.
Bahkan ada kalanya kita berdoa, "Ya Allah, walau macam manapun, aku tetap nak yang itu!"
"Aku tetap nak yang ini, Ya Allah!"
Nak sangat? Allah akan campak. Allah akan beri. Tapi kerana ada desakan dan 'paksaan', adakah kita yakin apa yang Allah beri itu, ia adalah yang terbaik buat kita?
"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya...." al-Baqarah ayat 216.
Fikiran kita terbatas. Kita ialah manusia yang fikiran kita berpaksikan kepada zahir. Kita jarang-jarang mampu menilai sesuatu yang disembunyikan. Kita hanya ada kekuatan dan kebolehan menghubungkan realiti dengan apa-apa yang tersurat. Jarang kita mampu memandang pada yang tersembunyi dan yang tersirat.
Oleh itu, janganlah terburu-buru. Apa-apa keputusan yang nak diambil pun, ingatlah bahawa kita punya Allah untuk kita ‘runding’ dahulu. Istikharahlah. Jangan lupa bahawa terburu-buru itu warisan syaitan, sedang tenang itu kurnianya Allah..
Buat keputusan bersama hikmah. Jangan lupa bahawa setiap tindakan kita akan ditanya oleh Allah!
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443