Terima kasih kepada Ramadhan (Bahagian 1)



Alhamdulillah, segala puji dan syukur saya layarkan kepada Allah, Tuhan yang Maha Memberi. Moga Allah berkenan untuk menerima pujian daripada hamba-Nya yang hina ini.

Ramadhan kareem!
Allahu akram!


Saudara, mari kita sama-sama berterima kasih kepada Allah kerana masih diberi usia yang panjang untuk menumpang nafas dan meneguk kehidupan, di dalam atmosfera mulia Ramadhan. Kita bimbang, jika lafaz syukur ini bukan menjadi perkataan yang diluah dalam nada sedar setiap hari, kita akan lupa bahwa hidup ini ialah anugerah dan kita akan lupa, bahwa Ramadhan ini satu nikmat. Takut-takut, sel-sel di otak kita akan mentafsir Ramadhan sebagai adat dan kebiasaan.

Ada banyak amal khusus di samping amal-amal umum, yang sangat dituntut sepanjang bulan ini. Insya-Allah, dengan keizinan Tuan punya alam, juga tuan sebenar jari-jari ini, akan saya lakarkan dua daripada empat amalan yang sangat dituntut oleh Rasulullah S.A.W di kolum ini. Mudah-mudahan, yang membaca akan beroleh manfaat: diamalkan dan disebarkan kepada umum pula. Mudah-mudahan.

Pertama, yang Rasulullah S.A.W galakkan umatnya untuk lazimkan di sepanjang bulan mulia ini ialah mendendangkan zikir kalimah toyyibah. Apa itu kalimah toyyibah? Kalimah itu ialah kalimah yang paling agung. Paling mulia, dan juga yang paling istimewa. Ia adalah lafaz Lailahaillallah.

Zikir, baik di luar Ramadhan sendiri pun, merupakan satu amalan yang sangat-sangat dituntut. Boleh saja saya lampirkan satu per satu hadis yang menyebut tentang keutamaan zikir. Tapi, izinkan saya untuk tidak berbuat begitu kerana saya tak mahu artikel ini menjadi satu artikel ilmiah. Yang saya mahukan ialah ia menjadi satu peransang kepada kita. Oleh itu, besar harapan saya agar lidah kita basah dengan zikir, bukan hanya selepas solat fardu tetapi di sepanjang masa, disetiap hela nafas. Insya-Allah.

Kata Imam Ghazali, beza antara orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir, ialah umpama orang yang mati dengan orang hidup di sisi Allah Jalla wa a’la. Sudah tentu ada beza antara mayat dengan manusia. Besar sekali bezanya! Maka, begitu jugalah besarnya beza antara manusia yang berzikir dengan yang tidak, kerana zikir ialah oksigen kepada hati.

Oleh itu, orang yang tidak memberi hatinya bekalan oksigen, maka tidak hairanlah hatinya mati. Mati hati, sebenarnya itu adalah kematian yang paling ngeri. Mengapa?

Kerana jika seseorang itu hatinya mati, maka dia sudah takkan mampu untuk menolak tarikan-tarikan ke gerbang neraka. Walaupun di bulan Ramadhan sendiri pun, jika hati kita mati, kita pun takkan mampu untuk mendekat kepada ampunan Allah. Jauh sekalilah untuk mendapatkan dari kelepasan api neraka. Orang yang tak buat zikir harian, akan hilang darinya sensitiviti terhadap dosa. Bukan dosa orang, tapi dosa dia sendiri!

Bila mengumpat orang, dirinya tak rasa apa-apa pun. Bila membuka aib orang, dirinya rasa biasa. Bila mendedahkan aurat, dirinya terasa istimewa. Tiada sekelumit pun rasa bersalah menghimpit, kerana rasa itu telah awal-awal lagi dibunuh oleh kuasa nafsu yang telahpun berjaya mendominasi diri kita. Hati ialah ketua kepada kerajaan diri. Jika hati sudah mati, maka kepimpinan itu sudah dirampas oleh nafsu. Dan apabila nafsu merajai kita, maka kesannya akan dapat kita lihat dengan begitu ketara sekali!

Lailahaillah, kata Rasulullah, apabila berjaya berbunga di hujung percakapan manusia sebelum dia mati, maka wajib baginya syurga. Kerana itu menjadi sunnah kepada kita untuk mentalkinkan di hujung telinga orang yang nazak, kalimah Laailahailallah.

Berlaku jujur dengan saya. Sepanjang kita hidup, berapa ramai orang mati yang kita lihat atau kita dengar kisah mereka, mati dalam keadaan mulutnya sibuk mengucap kalimah ini? Berapa ramai?

Wallahua’lam. Jika ditanya kepada saya, saya sendiri tak pernah. Tak kenal pun siapa-siapa yang mendapat tiket jaminan itu. Kerana sudah tentu bukan calang-calang orang yang bakal mendapat ganjaran sebesar ini!

Analoginya begini. Sebuah lori, dimuat dengan durian hingga penuh muatannya dengan durian. Tiba di lebuhraya KL-Karak, lori itu kemalangan. Apakah yang akan tercampak keluar daripada lori itu?

Manggis? Cempedak? Oh, sudah tentu tidak. Pasti yang akan terjatuh dan terkeluar nanti ialah durian. Mengapa durian? Kerana lori itu diisi dengan durian. Bukan manggis. Bukan juga cempedak.

Begitulah kita sebelum mati. Jika hati ini kita isi dengan Laailahailallah, maka di hujung kematian nanti, yang akan keluar ialah Laailahailallah jugalah. Mana mungkin seseorang yang hatinya penuh dengan Justin Bieber, dengan Maher Zain, atau juga dengan Ustaz Don pun, matinya nanti akan keluar kalimah Laailahailallah? Tak akan, kerana semasa hidup, tidak dilazimi ia.

Zikir ialah penghubung kita dengan Allah. Sama seperti solat, kita akan didekatkan sedekat-dekatnya kepada Allah dengan dua amalan ini. Jika kita jatuh cinta kepada seseorang, maka sudah tentu orang itulah yang paling mendapat perhatian kita, kan? Namanya, seringkali kita sebut. Jika dia ada Facebook, maka setiap minit kita akan tengok wall dia. Apalah dia nak update?

Begitulah mabuk cinta hamba kepada Tuhan. Jika dia mencintai Allah, dia tentu akan selalu menyebut-nyebut nama kekasih yang dicintai. Akan sering teringat. Akan sering terbayang. Maka, segala yang disuruh, dibuat. Segala yang dilarang, dijauh. Sungguh hebat cinta!

Zikir dan solat, antara keduanya zikir lebih fleksible. Jika solat memerlukan kepada beberapa kondisi dan syarat, zikir pula tidak bersyarat. Dalam keadaan hadas besar pun boleh zikir. Atas motosikal pun boleh zikir. Tengah tulis manuskrip pun boleh berzikir. Boleh sangat-sangat. Pembezanya ialah kesedaran. Jika kita ada kesedaran, maka insya-Allah kita boleh buat. Tapi jika kita tidak ada kesedaran, pasanglah CD zikir pun, lidah kita dan hati kita akan kaku dan membiarkan alunan zikir itu berlalu. Setompok pun tidak singgah ketenangan itu.

Saya takut, jika kita masih terlalu kurang berzikir, maka kita akan jatuh dalam kelompok munafik. Sebab terbukti, orang munafik ialah orang-orang yang sangat-sangat tidak ingat kepada Allah. Walaupun dalam ibadah pun, mereka masih tak ingat Allah. Ibadah yang kaku dan kosong daripada zikir itu, akhirnya ditanam atas tanah riak. Maka, perhatian manusialah yang ditunggu sedang perhatian daripada Allah, segalanya sampah bagi mereka.

Nauzubillah. Moga setidak-tidak dan sekurang-kurangnya, 33 kali Subhanallah, 33 kali alhamdulillah dan 33 kali Allahuakhbar dapat menjadi rakan karib kita di setiap kali kita menunaikan solat. Itu paling minima!

Sebelum saya terlupa, saya mahu berkongsi kepada sidang pembaca, tentang sira, pati, dan intisari zikir Lailahailallah yang kita ungkapkan. Tapi saya cuma akan berkongsi secara ringkas.  Ini penting, kerana jika kita gagal untuk memahami dengan sesungguhnya akan apa yang meluncur di celah dua bibir kita, maka takut-takut kita tak boleh menikmati ganjaran dan manfaatnya secara optimum.

Pertama, bila kita berkata Tidak Ada Tuhan Selain Allah, kita sebenarnya sedang berkata kepada dunia, "Ketahuilah! Tidak ada pencipta yang sebenar, kecuali Allah!"

Kedua, kita juga sedang memberitahu, "Tidak ada pemberi rezeki yang sebenarnya kecuali Allah". Sebab itu kita jangan risau lebih-lebih dalam bab rezeki. Kuat macam mana pun usaha kita, tapi kalau Allah benci, Allah marah, Allah geram, maka rezeki itu hilang berkatnya. Bila hilang berkat, maka hilanglah makna rezeki itu. Kosong.

Ketiga, kita sedang berikrar, "Tidak ada pemilik yang sebenar kecuali Allah". Dengan itu, kita akan sedar bahwa atas dunia ini, segalanya bukan hak milik kita. Kita cuma pinjam. Kita mengemis harta dan kurnia daripada Allah. Jadi, kita faham bahwa adat meminjam, bila pemilik sebenar barangan yang kita pinjam itu mahu barangnya semula, maka kita tak ada hak untuk halang. Tak ada hak untuk marah. Belajarlah untuk berterima kasih, atas apa-apa yang dipinjamkan.

Keempat, kita perlu meyakini bahwa Lailahailallah juga bermakna, "Tidak ada yang berhak membuat hukum kecuali Allah". Kerana itu, kita perlu yakin dengan keyakinan yang utuh, bahwa segala hukum, undang-undang, ketetapan, dan pantang-larang yang ditetapkan dalam agama ini, segalanya adalah untuk manfaat kita. Ketepikan keupayaan akal kita yang terbatas ini. Akal hanya mampu melihat lapisan pertama dalam kepingan-kepingan realiti. Tapi Allah, apabila Dia menetapkan sesuatu, maka ketetapan itu bukan hanya untuk keuntungan dan manfaat hari ini tetapi juga untuk manfaat hari-hari yang mendatang. Bukan hanya untuk kehidupan ini, tapi juga kehidupan yang kekal dan mendatang.

Kelima, kita akan berseru kepada jiwa-jiwa yang basah dengan cinta, "Tidak ada yang lebih layak memberi perintah dan memimpin, melainkan Allah". Ini soal loyalitas. Soal ketundukan, kepatuhan dan soal kedaulatan Allah sebagai Tuhan. Kita tinggal di bumi, ciptaanNya. Bumi yang ditadbir oleh-Nya. Maka, adalah sangat kurang ajar dan perlu dihukum sekiranya kita lebih mentaati manusia yang tempang dan bongkok, berbanding taat kepada Allah yang A'la. Yang Maha Tinggi kekuasaannya!

Keenam, dengan menyatakan Allah sebagai satu-satu dan sebenar-benar Tuhan, kita akan tersenyum dalam bicara, "Tidak ada yang dicintai melebihi Allah". Cinta ialah perasaan yang mendamaikan. Dengan cinta, datang tenteram dan aman. Tapi lebih utama daripada itu, daripada cinta datang pengorbanan. Tapi kerana cinta itu telah merasuk seluruh pembuluh darah dan mengalir di seluruh urat bicara, maka kita takkan gentar untuk berkorban kerana di sana, kita sudah takkan merasa pahit. Kita hanya mengenal rasa manis, walaupun dirobek-robek tubuh ini. Maka, bersedialah untuk berkorban untuk agama ini!

Ketujuh, kita yakin bahwa, "Sungguh! Tak ada yang ditakuti dan diharap lebih daripada Allah". Takut dan harap perlu bergerak seiring. Allah tak minta kita takut kepada-Nya, seperti kita takut harimau. Takut harimau, kita lari. Tapi jika takutkan Allah, kita perlu harapkan ampunan, kasih sayang, dan belas kasihan Allah. Kita perlu lena dalam dakapan ibadah. Kita perlu jaga, juga dalam pakain ibadah. Berdirilah dalam jasad manusia kerdil, agar berasa betapa lemahnya dan kecilnya diri walaupun di depan makhluk ciptaan-Nya.

Kelapan, kita berteriak, "Tidak ada pemberi manfaat dan peraih mudharat kecuali Allah". Ini kita faham benar. Kerana itu, bila kita mahu meminta, maka mintalah dengan Allah. Kita minta dengan manusia pun, Allah juga yang memberi dengan izin-Nya. Kita meminta dengan jin pun, Allah juga yang beri. Sebab semua itu dibawah kawalan Allah. Allah kata "Tidak", maka bersepakatlah kita dengan seluruh umat dunia untuk memberi manfaat, tapi ternyata jawapannya tetap Tidak. Samalah. Jika Allah kata "Ya", maka jika kita dan seluruh penduduk dunia menghalang dan menolak pun, ia tetap akan berlaku. Kerana memberi dan menolak, itu hak Allah sahaja. Hak kita, meminta dalam kelembutan. Dalam pengharapan.

Kesembilan, apabila kita berkata Allah itu Tuhan, maka kita kena faham yang tak ada yang menghidup dan mematikan, kecuali Allah. Maka, berjaga-jagalah. Kita boleh berusaha untuk kekal hidup, tapi 'hidup' itu sendiri berlaku kerana Allah menyuruh kita hidup. Sampai masanya Allah kata 'mati', maka kita takkan dilewatkan walau sesaat. Sebab itu kita kena takut. Takut kalau Allah matikan kita dalam keadaan kita sedang buat maksiat. Kita takkan tahu itu. Sebab itu perlunya kita selalu berdoa agar mati dalam iman. Tapi jangan doa sahaja, sebaliknya kita lebih patut untuk hidup dalam keimanan.

Terakhir, maksud ungkapan yang kita gagahi menyebutnya itu juga ialah, "Tidak ada yang dimintakan perlindungan dan pertolongan, kecuali Allah". Benar. Sekuat manapun perlindungan yang kita cuba buat, Allah boleh musnahkan perlindungan itu sekelip mata saja. Tentera Allah ramai. Ribut, tentera Allah. Puting beliung, tentera Allah. Hujan, petir, banjir, belalang, katak, urunium, radioaktif, ah... semua itu tentera Allah. Allah boleh binasakan kita dengan apa-apa cara. Takutlah dengan Allah. Dengan itu, barulah kita akan hanya meminta tolong daripada-Nya, kerana kita tahu, "Seseorang takkan mampu memberi apa-apa yang dia tak miliki". Anda boleh minta saya RM 5000. Tapi saya mustahil akan beri anda RM 5000 itu. Bukannya kerana saya kedekut, tapi kerana saya tak memiliki apa yang anda minta itu. Begitulah kita. Kita nak minta pertolongan, maka mintalah dengan Allah. Allah pemilik semua di dunia ini. Dia akan bantu kita, dengan apa-apa sahaja hingga kita dipukul tanda tanya dan kehairanan pabila melihat betapa bijaksananya Allah!


Baiklah. Selepas panjang lebar, saya harap sangat apabila kita berzikir dan menyebut kalimah suci itu, kita akan ingat kepada makna-makna yang telah saya sebutkan di atas tadi.

Amalan kedua yang saya mahu kongsikan kerana ia amat digalakkan oleh Rasulullah khususnya dalam bulan Ramadhan, ialah amalan istighfar. Tahu istighfar tu apa?

Mohon ampun kepada Allah. Ya, anda tahu. Pandai. Alhamdulillah.

Dalam bulan ini, Allah benar-benar membuka pintu keampunan dan pintu syurga-Nya, seluas-luasnya. Ia adalah motivasi, agar kita rasa terdorong untuk memintal bebenang keinsafan seterusnya bertaubat kepada-Nya.

Kita banyak dosa. Tipulah kalau saya kata kita ini kurang dosa. Lebih mengerikan, sudahlah banyak dosa, sikit pula pahala. Jadi, apa yang kita nak buat untuk memadam kembali dosa-dosa yang banyak ini? Istighfar. Ya, terus-terusan meminta ampun kerana Allah Maha Pengampun. Tapi awas, Allah juga Maha Adil dan Maha Keras siksanya. Namun begitu, Allah tetap akan memberi peluang kita bertaubat selagimana kita punya nafas. Punya nyawa, hinggalah ke kerongkong.

Rasulullah, kita maklum, bahwa Baginda ialah seorang yang maksum. Tidak melakukan dosa. Tetapi kita juga baca dalam hadis, bahwa Baginda menyatakan bahwa Baginda juga istighfar memohon ampun sebanya 70 hingga 100 kali sehari. Begitulah juga para sahabat Nabi. Para sahabat ialah golongan yang tidak dijamin terlepas daripada dosa. Mereka tak maksum, benar. Tapi mereka juga bukan golongan yang melakar dosa. Tapi kerana tolakan dan desakan iman, mereka sendiri merasa berdosa dan lantas basah mata mereka dengan permohonan-permohonan untuk keampunan.

Sangat berbeza dengan kita: yang banyak dosa, tapi tak merasa berdosa. Yang kurang amal, tapi merasa banyak.

Saya bukan mengatakan kepada siapa-siapa. Saya kata tentang diri saya sendiri sebenarnya. Saya takut, sayalah orang yang rugi dengan dua kali ganda rugi. Pertama, saya tak nampak dosa saya sendiri. Kedua, segala amalan saya (seperti tazkirah ini) langsung tak bermanfaat kepada diri saya.

Nauzubillah. Cukuplah dua saja untuk hari ini. Lain masa, akan saya kupas tentang yang lagi dua. Suka untuk saya ingatkan: "Jika seseorang itu keluar daripada Ramadhan dalam keadaan dirinya tidak diampuni, maka celakalah dia".

Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

semoga kita bisa merasa manisnya iman, hebatnya taqwa.. semoga Allah menjaga kita, tiada biarkan kita leka.. Allahumma ameeen

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443