Terima kasih atas Ramadhan (bahagian 2)

    
Dua perkara, selepas istighfar dan zikir Lailahailallah, ialah memohon syurga dan memohon perlindungan daripada azab neraka.

Toyyib.

Alhamdulillah, kita masih diizinkan untuk menghirup udara Ramadhan, dan terus menambah baikkan amal-amal kita insya-Allah. Hari ini, saya rasa terpanggil untuk menyambung akan apa yang telah saya tulis dalam artikel sebelum ini. Kerana beberapa kekangan, saya akan cuba menulis dengan ringkas. Harap-harap, ia cukup padat dengan isi.

Syurga, menyebut sahaja perkataan itu, berbunga-bunga taman hati kita dengan keindahan. Kita sudah mula memikirkan segala macam nikmat-nikmat yang Allah sediakan. Kita sudah mula membayangkan segala macam hiasan dan keindahan yang Allah tancapkan di dalamnya. Terbayang-bayang juga jernih mengalir sungai-sungai yang airnya berupa madu yang enak, susu yang lembut dan arak yang telahpun dihalalkan. Kesemua mengalir padu, dan segar.

Terbayang juga oleh kita gemalai dan lembut, para bidadari-bidadari syurga. Mata mereka bercahaya. Senyum mereka berseri. Kulit mereka polos. Lutsinar. Sutera yang mereka sarung, menyerlah. Ah, jelitanya!

Terbayang juga oleh kita, hidangan-hidangan yang cukup sempurna rasanya. Gelas-gelas yang bercahaya. Pinggan mangkuk yang bersinar. Juga, layanan kelas pertama daripada para pelayan syurga.

Telinga kita seakan-akan terdengar nyanyian alam. Bunyi-bunyian yang menenangkan, daripada deru air yang memukul tebing sungai, bunyi burung yang rancang berzikir dalam irama pesona, bunyi peralatan muzik dari syurga, dan segalanya.

Termimpi-mimpi juga senyuman daripada malaikat yang menyambut kita dengan lembut dan sopan, bersama seulas ucapan, "Selamat datang wahai hamba yang dimuliakan. Masuklah ke dalam singgahsanamu".

Kala itu, tergamam kita dengan indahnya syurga yang selama ini, hanya suatu yang kita agak-agak, kita teka-teka sahaja. Oh! Rupanya, yang megah tersergam itu istanamu! Lantas, kita terlupa pada rumah kecil kita di bumi dahulu. Betapa kita tergamam, hingga tak sedar rupanya tahun sudah digantikan, hingga malaikat terpaksa menegur, "Usah terlalu tergamam. Di dalamnya lebih-lebih lagi indah".

Maka, dengan langkah yang tergesa-gesa, kita atur masuk ke rumah abadi kita. 

Subhanallah!

Tapi, ternyata apa yang saya sebut ini, bukan gambaran sebenar syurga. Kerana kata Rasulullah,

"Syurga itu suatu yang tak pernah dilihat oleh mata, tak pernah didengar oleh telinga, dan tak pernah dibayang oleh hati".

Saya tak boleh menggunakan perkataan 'cuba bayangkan' kerana jika kita menggunakan imaginasi kita yang terbatas ini untuk membayangkan warna-warni syurga, maka kita akan membuat satu asumasi yang tak tepat. Syurga ialah satu benang cahaya yang tak boleh diurai. Jadi, cuba kita bandingkan bumi yang kita diami sekarang. 

Ceruk manakah bumi ini, yang paling indah?

Jika kata kita, pulau-pulau itu cantik. Maka, syurga jutaan kali ganda lebih cantik!

Juga, adakah kita sudah berjaya melawati segenap tempat-tempat yang tersohor di dunia ini? Dari barat, kita ke timur, lalu ke utara dan kembali ke selatan. Pernah?

Saya yakin tidak. Kerana jawab kita, "Bumi ini sangat luas!"

Maka, ketahuilah, apabila Allah hadiahkan syurga kepada hamba-Nya, maka syurga itu, paling kecil dan paling cikai pun, besarnya ialah 10 kali ganda dunia yang kita agung-agungkan hari ini.

Kerana itu, Nabi Muhammad S.A.W selalu mengingatkan para sahabat tentang visi syurga. Hinggakan para sahabat seakan-akan mampu menghidu haruman dari syurga sejak di dunia. Seakan-akan para sahabat melihat-lihat para bidadari yang jelita melambai-lambai menunggu janji daripada suami-suami mereka. Seakan-akan para sahabat ternampak-nampak kilauan gemilang dari istana-istana mereka yang tersergam dan terjaga, menunggu pemiliknya.

Syurga itu indah. Kerana ia indah, maka ia terjaga. 

"Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir" (H.R Muslim)

Membaca hadis itu dalam kitab Sahih Muslim, mengingatkan saya kepada satu lagi hadis daripada Nabi Muhammad. Hadis yang cukup akrab dengan Ramadhan, di mana kata Rasulullah, ada dua kebahagiaan yang Allah berikan kepada orang yang berpuasa. Apakah dua kebahagiaan itu?

Pertama, ketenangan dan kebahagiaan ketika berbuka puasa dan kedua, kebahagiaan saat bertemu dengan Allah Jalla Wa A'la.

Suka saya menggunakan kesempatan yang ada ini untuk mengajak diri saya dan anda, untuk menjadikan puasa-puasa kita sebagai satu kenderaan untuk kita menuju ke pintu syurga. Seterusnya, kita dijemput dengan penuh hormat untuk masuk ke dalamnya. 

Kerana Allah ciptakan syurga untuk kita. Untuk siapa? Untuk kita! Asal-usul kita daripada tanah syurga. Dari sana, Allah turunkan moyang kita, Nabi Adam dan isterinya Hawa ke dunia untuk diuji amalan-amalan kita. Ujian, biasanya akan datang bersama lulus atau gagal.

Sistem ganjaran dan balasan, carrot and stick telah Allah maktubkan dalam undang-undangNya. Kerana itu, manusia yang berjaya menjadikan hidupnya mirip dengan kehidupan yang Allah mahu, dan Rasulullah contohkan, Allah akan berikan untuknya syurga. Tapi kepada yang gagal dan mahu menjalani kehidupan serba mengarut, maka keadilan Allah telah menyebabkan dia diberi balasan yang buruk. 

Berpuasalah, dengan maksud puasa yang sebenar. Dalam dunia ini, terlalu banyak perkara-perkara yang kita suka tetapi Allah murka. Dua warna yang saling bertentangan. Kita suka, dan Allah tak suka. Allah suka, tapi kita pula yang tak suka. Maka, disanalah kita diuji dengan ujian keimanan. 

Maka, beruntunglah manusia yang melepaskan keinginan hawa nafsunya demi untuk membuatkan Allah redha dengannya. Allah puas hati. Allah suka.

Tapi, celakalah orang-orang yang sanggup menurut hawa nafsunya, keinginannya, dan kemahuan sendiri, hingga terpaksa mencabar kedaulatan Allah sebagai Tuhan, membuat-Nya marah, dan membuat-Nya radang dengan kita.

Untuk itu, berpuasalah. Berpuasalah dengan sebenarnya. 

Jika hari ini, kita sanggup melupakan rumah besar kerana mahu menggunakan harta kita untuk kebangkitan islam, maka Allah akan balas dengan istana.

Hari ini, jika kita sanggup melupakan masa rehat kita kerana mahu bangun dan menyembah-Nya, maka Allah sudah tentu melihat dan akan membalas titik peluh kita.

Hari ini, jika kita sanggup meninggalkan perkara-perkara yang tak bermanfaat kerana mahu mendapat gelaran 'muslim yang imannya sempurna', maka si penutur itu, Nabi Muhammad S.A.W pasti akan tersenyum-senyum kepada kita kerana kita telah benar-benar mengikuti arahan dan  nasihat Baginda.

Berpuasa daripada nikmat-nikmat yang tercela, bukan hanya membuatkan Allah berkenan memberi kita sumber kebahagiaan di syurga, tetapi di dunia lagi. Sebagaimana yang terjadi kepada Abu Bakar al-misk, yang sanggup melumurkan najis di seluruh badannya semata-mata mahu kelihatan jijik dan terselamat daripada penzinaan. Kerananya, Allah harumkan batang tubuhnya dengan haruman dari sisi-Nya, sejak di dunia lagi.

Ingatlah kepada satu dailog ahli syurga, di saat Allah berbicara dengan mereka.

"Wahai hamba-hambaku, apakah engkau merasa puas dengan segala nikmat-nikmat di syurga ini?"

Dijawab oleh ahli syurga, "Maha Suci Engkau. Kami puas Ya Rabb"

Kembali ditanya oleh Allah, "Mahukah Aku berikan kamu satu nikmat yang lebih besar? Yang paling agung?"

Ketika itu kita bingung. Terkejut. "Maha Mulia Engkau. Masihkah ada nikmat yang lebih besar daripada apa-apa yang kami nikmati di syurga ini?"

Terkejut. Kerana di saat kita sudah seronok sangat, bahagia sangat, gembira sangat, nikmat sangat, rupa-rupanya masih ada nikmat yang lebih besar dan agung.

Nikmat apakah?

Saya tinggalkan untuk anda cari jawapannya.

-----

Saya mohon maaf kerana tak mampu menyudahkan dengan amalan keempat. Insya-Allah, saya akan tulis lagi sekali.
   

Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443