Bangsa-Bangsa Merdeka.


Bangsa merdeka, ialah satu bangsa yang boleh diragui kewujudannya. Keraguan yang hulunya ialah bagaimana kita mendefinasikan perkataan ‘merdeka’ dan hilirnya pula ialah kesungguhan untuk kita memaknakan apa yang kita faham tadi.

Merdeka, menurut kamus dewan edisi empat membawa makna bebas, berdiri sendiri, dan tidak bergantung kepada yang lain. Itu merdeka sebagaimana yang kebanyakan kita faham. Definasi yang satu inilah menghuni kerongkong anak watan kita disetiap 31 Ogos, tahun demi tahun. Merdeka yang warnanya ialah kebebasan itulah yang ditebarkan, mewarnai kanvas sejarah.

Syukur, seorang demi seorang musuh tumpas. Syukur, batalion demi batalion musuh, undur. Terpatri jelas dan terpahat kukuh, 31 Ogos 1957, Malaysia merdeka. Tapi itu Malaysia. Itu tanah melayu. Itu negeri kita. Bagaimana pula dengan diri kita? Merdekakah?
Ini yang disibuk-sibukkan oleh lelaki dengan pedang pendek, bermata tumpul itu. Saatnya bertemu Rustam, jeneral yang duduknya sombong, berdirinya megah. Parsi yang sedang mengacukan senjata tajam kepada seorang lelaki kecil, tak pula membuatkan yang kecil fizikalnya itu ketakutan. Kerna, jiwanya merdeka. Apa kata-kata Rabi’e Bin Amir, lelaki kecil berpedang pendek itu?

“Kami datang untuk membawa kalian keluar daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan hanya kepada Allah yang Esa. Membawa keluar kalian daripada kesempitan dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat. Juga, membawa keluar manusia daripada kezaliman agama-agama, kepada keadilan islam”.

Inilah merdeka, yang saya imani. Bukan dengan berundurnya British, saya merdeka. Bukan dengan berundurnya Jepun, saya merdeka. Bukan dengan berundurnya, Portugis, saya merdeka. Tapi, merdeka ialah bilamana berundurnya Tuhan-tuhan dunia, dan takhta agung hati itu diserahkan kepada yang selayaknya- Allah!

Martin Luther King, namanya terlalu banyak dalam utas-utas sejarah. Benang-benang yang dikait daripada usahanya, hari ini telah berjaya meruntuhkan sistem apatide. Yang hitam, berjaya menunding jari telunjuk kepada dunia dan berseru, “Kami ini tidaklah lebih hina daripada kamu yang berkulit putih”. Akhirnya, dunia sudah menerima perbezaan warna. Hitam dan putih, sama-sama ialah cinta.

Tapi, baik bangsa hitam mahupun bangsa putih, kesemua tak mampu membawa kelompok masing-masing terkeluar daripada keterikatan kepada najis-najis dunia. Ya, saya maksudkan ialah najis. Sudah tentu bila disebut najis, yang busuk itu ialah najis. Bukannya bumbung tandasnya. Bukannya dinding tandasnya. Cuma, jika najis itu terpalit pada bumbung, dinding, atau pintu, barulah ia membusuk. Dalam konteks ini, dunia yang terpalit najis.

Ketamadunan, yang bernajis. Inilah tamadun yang diwariskan oleh Habil semasa membunuh Qabil. Tamadun pertama yang menjadi titik pemula pembunuhan jiwa yang tak bersalah. Malangnya, ia tak terhenti disitu. Tamadun najis ini juga diwarnakan oleh Firaun semasa gagasan pemerintahannya bertitah, “Aku akan bunuh setiap anak lelaki”. Maka, tahun ini semua bayi lelaki dibunuh. Tahu hadapan, dibiar hidup. Berselang. Hingga al-Quran memahatkan kepada kita sejarah Musa yang dilayarkan atas arus sungai Nil sebelum singgah ke istana Firaun dan akhirnya, dibesarkan di dalam kerajaan Firaun.

Tamadun jijik ini berlarutan, hingga zaman arab jahiliyyah dimana para anak perempuan akan dibunuh. Ditanam hidup-hidup. Dogma yang merasuk masyarakat arab ini, padan dengan namanya; Jahiliyyah. Jahiiliyyah, bukanlah kerana mereka bodoh. Mereka ada tukang besi yang hebat menempa besi. Mereka ada tukang syair yang hebat mengait bait puisi. Mereka ada tukang pidato yang hebat memahat hujah. Mereka juga ada ahli politik yang hebat menguasai suasana. Cuma, jahiliyyah mereka ialah jahiliyyah jiwa. Peradaban sosial yang harus bergerak mengikut suasana akal, dibiarkan direndam dalam kepercayaan-kepercayaan yang tak masuk akal. Bodoh. Gila. Mengarut!

Maka, datanglah Muhammad S.A.W  yang memecahkan dogma yang lama merasuki setiap jiwa manusia di zamannya. Perjudian, ditentang. Perhambaan, dicantas. Pelacuran, dibenteras. Penagihan arak, dihentikan. Permusahan, dilenyapkan. Apa lagi? Semua keburukan yang lama tertanam dalam kamus hidup arab jahiliyyah, semuanya dicampakkan ke dalam lombong sejarah. Lombong sama dimana firaun dan tenteranya yang cuba mengejar Musa tapi dilemaskan, dihumban. Lombong yang sama dimana manusia-manusia homoseksual di zaman Nabi Luth, dihumban. Lombong yang sama dimana orang-orang degil di zaman Nabi Salleh, dicampak. Dan, inilah juga lombong yang menempatkan Musa Samiri, yang akalnya digunakan untuk menyesatkan pengikut Musa A.S.

Hari ini, kita merdeka. Benar. Jabatan kerajaan kita ditadbir oleh rakyat Malaysia. Oleh bangsa melayu. Ya, kita berbangga. Tapi, bagaimana dengan tamadun kita. Merdekakah kita daripada tamadun Habil? Pembunuhan pertama sudah bersambung hingga ke hari ini. Angka kematian angkaranya, sudah jauh melepasi neraca masa. Hingga tiada angka yang mampu memberi anggaran kepada bilangan yang terkorban kerana tamadun celaka ini.

Hari ini juga, kembali kedengaran suara-suara pejuang neraka, yang memperjuangkan kebesamaan hak lelaki dan wanita. Kata mereka, jika lelaki boleh memimpin, wanita juga mahu memimpin. Benar. Benar, antara lelaki dan wanita, ada kesamaan yang perlu diletakkan di aras yang sama. Tapi, tamadun kaum Luth ini dah merasuk hingga ke lapisan nurani yang paling dalam, hingga seakan-akan mereka mahu meminta kepada Tuhan, “Jika wanita boleh mengandung, kami juga mahu lelaki untuk mengandung!”. Persamaan yang tak dibatasi oleh neraca agama. Kesannya, ia menghakis kemampuan akal untuk berfikir secara seimbang. Kemuncak daripada segalanya, tamadun ini mengajar mereka untuk memperjuangkan nafsu mereka yang condong kepada kaum yang sama jantina. Ah, gay dan lesbian kembali mahu dihalalkan!

Kemudian, tamadun Firaun juga merasuki kita. Bayi dibunuh kerana sebuah persangkaan, “Aku akan dijatuhkan!”. Yang kuat menindas yang lemah. Yang namanya Hamman, menjadi bapa kepada sekalian pencacai di seluruh kerajaan dunia. Inilah figur yang menjadi idola kepada para pendamping dan penasihat pemerintah: menjilat dan mengampu tanpa lelah. Tamadun dalam corak kepimpinan sesat ini banyak meresap dalam pemerintahan negara-negara dunia. Baik yang besar, mahupun yang kecil. Pincang. Sistemnya tidak merdeka.

Kemudian, tamadun jahiliyyah Quraisy sebelum dihapuskan oleh Rasulullah kini, kembali dinyalakan oleh kita. Pelacuran yang satu saat dahulu, diharamkan, kini sudah dikomersialkan dengan nama ‘GRO’, rumah urut, kelab malam, kelab sosial, dan pelbagai. Perjudian yang telah dirobohkan, kini kembali didirikan atas modal restu daripada ketua agama. Daripada kasino yang sebesar-besarnya hinggalah kedai tikam nombor, semuanya banjir dengan orang melayu yang bangsanya bangsa ‘merdeka’. Juga, tamadun ini yang satu masa dahulu menumpahkan banyak darah bayi dan kanak-kanak wanita kerana ibubapanya dihantui oleh sial, akhirnya sekali lagi menjadi darah daging dalam negara ini. Tamadun yang satu ketika dahulu, dihumban dalam lombong binasa, kembali dikutip oleh generasi-generasi sebelum kita. Disolek serba sedikit. Dibasuh serba sedikit. Tapi sayang, yang hitam tetaplah hitam. Jika dahulu, hanya anak perempuan, tapi hari ini sudah tiada kelas lelaki dan perempuan. Semua dibuang umpama bangkai. Ah, terlalu banyak untuk disebut satu-per satu.
Saya tak mahu tinggalkan satu kesimpulan apapun. Cuma saya mahu tinggalkan satu pertanyaa: Apakah ini, tandanya merdeka? Adakah ini, bangsa merdeka? Jika inilah bangsa merdeka, maka apa bezanya kita dengan si pembunuh, Habil. Jika ini warna merdeka, apa bezanya kita dengan kaum Lut yang mengangkat kebebasan seksual. Jika inilah suasana merdeka, maka tentu Firaun, Haman dan Qarun bertepuk tangan dan berbangga dengan kita. Jika inilah merdeka, maka berhentilah membaca surah al-Masad kerana kamu sedang mencela idolamu, Abu Lahab dan Ummu Jamil!

Berfikirlah untuk anak-anak kita. Apakah dunia yang sebegini yang mahu kita wariskan untuk anak-anak kita? Fikir-fikirkanlah.  
       
  
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

em, macam tertukar je antara habil dan qabil awak..

yang baiknya habil, yang buruknya qabil, kan?

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443