Tragedi di bazar Ramadhan.

     
Alhamdulillah. Hingga artikel ini ditulis, belum lagi kaki ini melangkah ke bazar ramadhan. Syukurlah, kerana setakat hari ini, belum ada keperluan lagi untuk saya ke tempat-tempat begitu. Mungkin juga dibantu oleh faktor ekonomi yang sedikit terbatas dan tambahan pula, saya masih bujang. Jadi, saya lebih selesa berbuka dengan ahli kariah di surau kami sahaja.

Toyyib. Apapun isunya, apapun alasannya, saya mahu melambungkan rasa syukur kepada Allah kerana sehari pun Dia tak pernah lupa untuk mencampakkan rezeki kepada hamba-Nya. Cuma hamba-Nya sahaja yang akan lupa bahkan selalu terlupa untuk membalasnya dengan syukur.

Bazar Ramadhan ialah satu perkataan yang sangat sinonim dengan bulan mulia ini. Macam adik beradik. Kembar. Kalau tak ada bazar Ramadhan, semacam tak ada bulan Ramadhan pula! Betul kan? Jika tidak benar apa yang saya katakan, mengapa di beberapa tempat, deretan kedai dan gerai panjang dan besar-besar? Jika bukan kerana panjang dan besar-besar juga nafsu kita?

Jangan salah faham. Bukannya ia fenomena yang mungkar. Tidak. Ia benda baik. Benda makruf. Tapi sebagai seorang muslim, saya melihat ada beberapa kesilapan besar dan kecil, yang dilakukan oleh peniaga dan pembeli, di dalam dan juga di luar gerai-gerai ini.

Satu yang sering dilupakan ialah berkenaan dengan isu aurat. Ini jelas lebih kepada kaum hawa. Mereka kadang-kadang tak perasan, apa yang mereka sarung dan tampal pada urat tubuh mereka, salah di sisi agama. Permasalahan aurat ialah satu permasalahan yang kritikal. Ia adalah salah satu punca mengapa saya menjauhi bazar ramadhan, iaitu kerana saya tak mahu memberi makan pandangan yang haram kepada mata kepala saya.

Segenap kelompok masyarakat, dari yang kecil hinggalah yang besar, dan juga yang tua bangka, semuanya seakan tak peduli dengan pakain mereka. Yang tidak bertudung itu sudah satu hal, tapi hal yang jauh lebih besar ialah ada yang sudah bertudung, tapi pakaiannya ketat-ketat hingga menekan-nekan kulit mereka. Inilah dia jarum, yang membocorkan kantung pahala hingga akan ada lelaki yang masuk ke kawasan bazar dengan pahala yang gemuk dan banyak, tetapi dia melangkah keluar dengan pahala yang kurus kerana dihisap zatnya oleh para wanita yang berpakain ketat dan mendedahkan.

Usahlah begitu. Belumkah datang kepada kalian, wahai kaum hawa, berita tentang neraka? Di mana Rasulullah melihat di dalamnya, majoriti penghuninya adalah daripada kalangan wanita. Mengapa begitu? Itu adalah kerana salah satu puncanya ialah aurat yang tidak dijaga. Perhiasan yang Allah ciptakan indah, semulajadinya, yang selayaknya dipertontonkan kepada figur yang digelar suami, sewenang-wenangnya menjadi bahan tatapan awam. Di mana maruahmu, wahai gadis yang berpakain ketat dan mendedahkan?

Buat masa ini, lupakan seketika isu bertudung. Biarlah dahulu. Usah terburu-buru menyarung tudung, jika pakain yang disarung masing lagi pakaian bersaiz kanak-kanak!

Itu masalah terbesar. Adapun, masalah yang kecil tapi tidak kurang seriusnya adalah berkenaan dengan perbelanjaan kita. Ekonomi kita.

Dahulu, saya pernah membawa seorang rakan ke pasar malam. Dia mahu membeli air. Jadi kami tiba ke satu tempat khusus yang di sana ada dua gerai yang menjual minuman. Satu gerai dimiliki oleh seorang remaja lelaki yang berambut perang dan bersubang di telinga. Remaja lelaki sudah tentu. Manakala di sebelah gerai itu ialah gerai milik seorang ibu tua yang usianya sudah pun di gerbang emas.

Dan sahabat itu membeli dari gerai remaja lelaki tadi. Ditanyakan kepadanya, "Kenapa kau beli daripada budak tu?"

Dijawab dengan selamba, "Sama ajalah. Setakat air je kut".

Persoalannya, samakah?

Tidak sama. Jika kita masih ingat, Saad Bin Rabi' r.a ketika dipersaudarakan dengan Abdul Rahman Bin Auf r.a, beliau pernah menawarkan separuh harta yang dia miliki dan menawarkan juga salah seorang isterinya untuk dia ceraikan, kepada Abdul Rahman. Tapi Abdul Rahman menolak dengan lembut dan hanya meminta agar ditunjukkan jalan ke pasar Madinah. Saat itu, ketika itu, ekonomi Madinah dikuasai oleh orang Yahudi yang sebagaimana kita maklum, mereka benci dan memusuhi islam.

Jadi, Abdul Rahman Bin Auf mula-mulanya bekerja dengan orang Yahudi di sana dan hasilnya, dia memulakan perniagaannya sendiri. Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk berjaya menyaingi kuasa ekonomi orang Yahudi. Bagaimana beliau lakukannya?

Sokongan umat islam. Ya. Itu rahsianya. Setiap orang islam, apabila sudah melihat ada perniagaan yang diusahakan oleh Abdul Rahman bin Auf, mereka terus menjadi pelanggan kepada Abdul Rahman. Mereka sokong dan mereka bantu, hingga perniangaan Abdul Rahman berkembang pesat. Akhirnya, dunia islam mendapat keuntungan yang besar hanya melalui seorang ahli bisnes- Abdul Rahman Bin Auf.

Begitulah kita hari ini. Dilemparkan pilihan kepada kita: jualan orang fasik, atau jualan orang baik-baik?

Kita yang berakal, takkan mahu mengkayakan orang fasik kut? Dan membiarkan orang baik-baik melarat. Inilah beza antara kita membeli daripada pekedai runcit dengan membeli di pasar raya. Entah mengapa, orang melayu suka benar membeli belah di pasaraya milik bangsa asing. Tak perlu saya sebut nama pasaraya-pasaraya itu.

Tapi dalam masa yang sama, laju sahaja mulut mereka mengomel berkenaan dengan ekonomi umat islam yang lemah, tersekat, dan tertindas. Ada juga yang terjun ke dalam sentimen perkauman dengan mengatakan bangsa melayu ialah bangsa di kelas ketiga, selepas cina dan india. Tapi cakap hanya setakat cakap. Akhirnya, yang mengkayakan india, mengkayakan cina, ialah orang melayu juga. Ptuiiihhh! Cakap.... sampai bergegar tiang bumi. Tapi...

Lebih malang, ada yang mengutuk serangan Zionis laknat, keatasa umat islam Palestin. Tapi, sedang mereka mengutuk itu, mulut mereka sedang mengunyah makanan-makanan yang diproses dan dikeluarkan oleh syarikat-syarikat itu. Ironis sungguh!

Semua orang mahu jadi hero dalam bercakap. Tapi tiada yang mahu jadi hero dalam realiti. Kadang-kadang kita sedih, kerana kita ni selalu menang dalam bercakap. Setakat itu saja. Menang dalam bercakap sahaja...

Kita jangan lupa, bahwa Rasulullah dan para ahli iman, terutamanya Bani Hasyim pernah diboikot bertahun-tahun lamanya hingga ada dalam kalangan mereka terpaksa memakan daun dan ranting pokok, kerana kukuhnya sekatan yang dijalankan oleh orang kafir daripada bangsa Quraisy. Tapi itu berlaku di zaman Rasulullah. Di zaman kita, sejarah ini berulang tetapi dalam versi yang lain. Iaitu umat islam menyokong perusahaan orang kafir, dan umat islam memboikot umat islam lainnya!

Itu bab ekonomi. Berbicara bab ekonomi juga membuatkan kita tak boleh lari daripada bercakap tentang sikap kita dalam berbelanja. Sudah tentu dalam skop yang lebih kecil, boros dan membazir. Masyarakat Malaysia yang beragama islam terutamanya, memang terkenal dengan boros dan membazir. Lebih bermasalah, di bulan Ramadhan!

Tak tahulah apa yang bermasalahnya tapi saya cenderung untuk menyatakan ia adalah masalah keimanan. Orang yang beriman, bagaimana-bagaimanapun, mereka tak akan boros dalam berbelanja. Saya tak pernah membaca satu kisah pun daripada sekian banyak kisah para sahabat Nabi, para tabien dan generasi orang soleh selepas mereka, tentang keborosan mereka dalam berbelanja. Tiada. Jika ada pun, hanyalah kisah para pemimpin mereka yang fasik, yang zalim, dan yang jahat.

Orang-orang soleh, yang ikut jalan Rasulullah, bukan orang yang boros! Mereka berbelanja sekadar keperluan. Mereka ialah orang yang paling faham isi kandungan surah al-Maun dan surah-surah yang lain, di mana seruan Allah agar mereka menjaga kebajikan anak yatim dan memberi makan kepada orang miskin. Mereka orang yang termasuk dalam gambaran Rasulullah, sebagai satu binaan yang jika seorang itu bermasalah, yang lain-lain akan membantunya.

Bahkan, lebih menakjubkan, apabila Umar al-Khattab menziarahi anaknya pada satu ketika, dia melihat di rumah anaknya, Abdullah, ada kepingan-kepingan daging. Lalu dia terus bertanya kepada anaknya, "Wahai anakku. Dari mana datangnya daging-daging ini?"

Abdullah Bin Umar, radiallahuanhuma menjawab, "Ayahku. Semalam, aku teringin nak makan daging. Jadi akupun membelinya".

"Apakah setiap kali kamu menginginkan sesuatu, kamu terus membelinya?", satu soalan bersifat muktamad di lontarkan. Ya Rabb... kita boleh lihat sediri, betapa mereka ini layak untuk mendapat nikmat-nikmat syurga. Benda yang halal, yang harus pun, mereka berhati-hati dengan sebegitu sekali!

Soalan Umar itu sebenarnya dapat kita terjemahkan sebagai, "Adakah setiap kali nafsumu menyuruhmu membeli sesuatu, kamu terus melayannya?"

Itu baru boros. Bagaimana pula dengan membazir?

Tercela. Saudara syaitan. Itulah dua sifat orang yang membazir. Allah sangat membenci hamba-Nya yang menyalah gunakan nikmat yang Dia sampaikan, dengan tompokan pembaziran. Allah marah!

Sebelum itu, saya mahu tanya satu hukum tentang puasa. Semasa kita sahur, sedang kita sedap-sedap mengunyah makanan, tiba-tiba telinga kita menangkap suara muazzin melaungkan azan subuh. Apakah kita perlu buang atau telan makanan yang sedang dikunyah yang ada mulut kita itu?
Baik. Benarlah, ada perbezaan pendapat antara ulama. Ada yang suruh muntahkan tapi ada yang suruh telan. Itu terpulang kepada kita. Mana satu pendapat yang kita lebih yakini. Tapi bagi ulama-ulama yang berpendapat harus kita telan apa yang sedang ada di mulut kita itu, mereka mengambil nas daripada al-Quran daripada surah al-Israk berkenaan dengan pembaziran! Kata mereka, membazir itu adalah lebih buruk kerana makanan itu jika diluah keluar nanti, akan menjadi sampah dan akan membazir.

Hingga begitu sekali generasi emas sebelum kita meneliti sesuatu perkara.

Kadang-kadang saya pelik. Budak usrah, yang dah jadi naqib pun kadang-kadang masih lagi sokong produk Yahudi. Masih lagi melangkah kaki ke tempat-tempat makan yang mahal-mahal. Masih lagi boros dan membazir. Pelik. Tidakkah mereka pernah membaca ayat-ayat daripada surah as-Saff berkenaan dengan tuntutan Allah untuk berjihad dengan harta benda mereka, dan batang tubuh mereka? Jika duit sendiri pun dibuang ke tempat yang sia-sia, untuk kenikmatan yang sesaat dua, maka mana mungkin orang yang kakinya selalu ke Tutty frutty, ke KFC, ke McD, ke Starbucks, ke kafe-kafe ekslusif, mampu nak berjihad dengan jiwa raga?

Saya selalu digelakkan kerana kononnya ketinggalan. Tak ada iphone. Tak ada ipad. Pakai hanset pun CSL yang harga RM 60. Pakai baju pun yang tak ada brand. Pakai baju raya pun jubah tahun lepas. Tapi cukuplah jika saya tahu bahwa saya ada investment untuk akhirat.

Tolong. Saya rayu kepada kita semua. Kawal perbelanjaan kita. Buatlah investment akhirat. Wakaf, sedekah jariah, zakat, semua itu amalan-amalan yang berbentuk kewangan. Jangan ghairah sangat berbelanja. Kita hidup di dunia ini, cumalah transit. Jadilah sebagaimana yang Allah kata dalam surah al-Qasas ayat 77:

"Carilah pahala akhirat dengan APA-APA SAHAJA yang Allah beri kepada kita di dunia".

Jangan kedekut sangat. Kerana nanti, harta-harta yang kita bazirkan, boroskan, dan kedekutkan itu, akan Allah cairkan dan kalungkan di leher kita hingga tersiksa di akhirat nanti. Tak percaya, cuba cari dalam surah At-Taubah.

Apapun, moga-moga kita boleh bertaqwa. Insya-Allah.
 
Previous
Next Post »
11 Komentar
avatar

Salam iqbal..

La haulawala quwwataillabillah..Bahana dari bazar Ramadhan! semua perlu di batasi iman dan taqwa..Allahu Rabbi! syukran atas ingatan..cerdasnya pemikiran kamu dik, berjaya membongkar satu demi satu ruang2 dosa! Ya! mmg tak dinafikan ramai yang leka hal semacam ni, batas2 pergaulan serta auratnya wanita, berbelanja mengikut tuntutan nafsu, sehingga lupa pd insan yg lbh memerlukan! ALLAH, sungguh banyak, lorong2 mungkar jika kita teliti satu persatu!

good job dik!
teruskan menulis! terus semangat di jln dakwah! barakallahu fik, ameen

~Jadilah RABBANIYYIN, Bukan RAMADANIYYIN!~

Balas
avatar

Tak menutup aurat

peniaga yang tak solat. Geleng-geleng

Balas
avatar

suka sgt artikel ni, alhamdulillah.

slalu ingat ttg ni> tak perlu tunggu ada wang byk baru nak memberi (sedekah), memberilah dgn wang apa yg ada wlupn saat itu kita tidak punya wang banyak, bersedekahlah ketika itu walaupun hanya seringgit, lima ringgit or kurang daripada itu, dengan kuasa dan kepemurahan yang Maha Pemurah, anda akan dapat lebih daripada apa yang anda baru berikan tadi, tanpa mengharapkan apa2 dan merancang untuk dapat lebih dari Allah, ianya akan dibalas sendiri oleh Allah,tanpa disangka.. itu baru didunia, kalau di akhirat seperti yang akhi katakan tadi? ;)

kalau mahu tunggu wang banyak baru mahu memberi, adakah Allah itu tidak adil, tidak beri peluang untuk yang tidak banyak wang untuk merebut ganjaranNya? Tentulah tidak! peluang memberi terbuka kepada semua tanpa mengira pangkat & harta, percayalah wahai hamba-hambaNya.

nk tny pndpt, mungkin ada yg mengatakan, dia telah berusaha dengan usaha titik peluhnya, jadi tak salah untuk dia membeli apa yang dia inginkan walaupun mahal, mewah, banyak, sebagai reward utk diri ats hasil usahanyaselama ini...bagaimna ye? :)

Balas
avatar

reminder buat kita semua... moga2 bermanfaat, insyaAllah.

"Menjadi da’ei atau peserta tarbiyah seringkali membuatkan kita overating diri sendiri. Memandang manusia lain yang tidak menutup aurat sebagai picisan, memandang satu kesalahannya dengan satu hukuman yang maha berat, menilai keberadaan seseorang di suatu tempat adalah lambang keimanannya."

http://muharikah.com/izzahvszhonn/

Balas
avatar

sy pun memilih untuk membeli di kedai makan.. =) betul kita tak boleh menilai orang dari luarannya, tapi bukankah luaran mencerminkan dalaman?.. =)

Balas
avatar

hakikatnya orang yang kita pandang sebagai "fasik" itu mungkin punyai kesudahan yang lebih baik daripada kita... Allah lebih mengetahui..

janganlah bersangka-sangka.. sesungguhnya saat kita memandang diri kita sebagai lebih baik daripada orang lain, saat itulah syaitan akan mula mencucuk jarum takabbur dalam hati kita, dan pada masa yang sama, menjauhkan masyarakat daripada tarbiyyah yang cuba kita bawa.. peringatan untuk diri sendiri juga... insyaAllah..

Balas
avatar

Assalamualaikum,

saya nak tanya (mungkin tiada kaitan dengan tajuk entry) tentang wanita dan masjid. masih keliru dengan hukum wanita ke masjid. boleh saudara iqbal tolong huraikan?

Terima kasih. ^___^

Balas
avatar

Assalamualaikum,

saya nak tanya (mungkin tiada kaitan dengan tajuk entry) tentang wanita dan masjid. masih keliru dengan hukum wanita ke masjid. boleh saudara iqbal tolong huraikan?

Terima kasih. ^___^

Balas
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang. - Hapus
avatar

Salam bro,

Marc Zuckerberg seorang Yahudi. Boleh pertimbangkan untuk tutup akaun Facebook awok.

:)

Balas
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog. - Hapus

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443