Kak, ini penjelasan saya.

Sabda Rasulullah S.A.W,“Seorang mukmin selalu dikelilingi lima musuh, iaitu seorang mukmin yang hasad, orang munafiq yang membenci, orang kafir yang memerangi, syaitan yang menyesatkan dan hawa nafsu yang menyeretnya". (Riwayat Tarmizi).

Artikel ini mengajak sidang pembaca untuk melihat kepada dua musuh yang terakhir, dimana keduanya ialah musuh yang tersembunyi. Tak mampu dilihat oleh mata kasar. Tak terperasan kehadirannya, oleh deria yang zahir.

Syaitan, bilamana kita katakan ia sebagai musuh, maka ia menyerang kita melalui banyak pintu dan banyak senjatanya. Satunya, ialah melalui pintu emosi kita. Dan senjatanya, ialah melalui perdebatan yang menjerat! Melalui senjata itu, syaitan merobek-robek ikatan ukhuwah kita. Syaitan membelah-belah halus, nilai kemanusiaan kita. Bahkan lebih buruk, syaitan membuatkan kita membenci saudara kita. Seislam dengan kita.

Maka, berhati-hatilah dengan jerat dan umpan syaitan ini. Kerana dalam agama ini, ada tempatnya kita wala' dan ada tempatnya kita bara'. Bercakap tentang wala' dan bara' ini pun panjang. Jadi untuk itu, saya rasakan belum masanya saya bercakap tentang itu, di sini. Kerana, ada hal dan urusan lain mahu saya ketengahkan.

Sejujurnya, saya kecewa apabila artikel saya yang lepas, mendapat feedback yang kurang harmoni...

Assalamualaikum Warahmatullah.
Saya setuju dengan saudara bahawa manusia itu dijadklan berbeza, jadi saya disini sebagai seorang tua mempunyai pendapat yang berbeza.
Pertama sekali, DS Najib memang berbeza dengan Firaun, DS Najib Islam dan mengaku Islam dan mengamalkan ajaran Islam sedangkan Firaun mengaku dia tuhan yang patut disembah.Kedua, pada hemat saya, DS Najib tidak menyuruh kita bersyukur kepada dia tetapi kepada Allah yang Esa.Ketiga, yang lebih zalim ialah Firaun kerana dia akan arahkan hukuman bunuh untuk mereka yang membantah dia, sebab itu Nabi Musa AS dikejar sendiri oleh Firaun untuk dibunuh.Tidak ada yang positif lansung tentang pendapat saudara, semuanya negatif, adakah saudara telah berlaku adil?Apa yang kita katakan akan mempengaruhi pemikiran orang, adakah saudara sanggup bertanggungjawab akan apa yang saudara perkatakan.Suka sekali dengan pandangan Usataz Zaharuddin dalam membincangkan isu ini di TV Al-Hijrah, ada yang positif dan ada yang negatif dan banyak juga cadangan yang bernas yang beliau utarakanWallahua'lam...hanya Allah yang lebih ketahui...
Jika saya ikutkan jeritan nafsu dan bisikan syaitan, saya akan mempersoal. Apabila saya mempersoal, saya dan dia akan terjerumus dalam perdebatan yang sia-sia. Sungguh, saya telah banyak kali dipesan oleh guru saya untuk tidak terlibat dalam mana-mana perdebatan yang sia-sia.

Tahukah kita, apa itu perdebatan yang sia-sia?

Ia adalah satu percanggahan dalam fikir, yang langsung tak membawa kepada amal soleh. Langsung tak membawa kepada bertambahnya amal, dan langsung tak membawa kepada meningkatnya taqwa. Langsung tidak!

Boleh sahaja saya mahu mencabarnya, "Cuba bawakan sedikit kata-kata saya, yang saya samakan DS Najib dengan firaun. Ada?"

Atau boleh juga saya mencabarnya dengan, "Ada tak perkataan saya yang menyatakan bahwa ada menteri yang menyuruh rakyat Malaysia bersyukur terhadap mereka? Lebih-lebih lagi, DS Najib. Ada saya kata yang DS Najib menyuruh begitu?"

Saya tak mahu. Saya tak mahu api makin marak. Jika dia beremosi, saya lebih berhak untuk beremosi kerana saya hanya menulis tentang kesyukuran. Langsung saya tak menyentuh tentang budjet 2013. Jauh sekali menyamakan seorang muslim, dengan kafir laknatullah! Tak ada.

Saya hanya bercakap tentang kesyukuran, kerana saya memerhatikan bahwa ramai yang masih keliru tentang makna syukur. Lebih-lebih lagi, dua golongan ini iaitu golongan artis dan ahli politik.

Artis Malaysia, apabila ditemuramah oleh wartawan, selalu sangat menyebutkan perkataan 'alhamdulillah'. Jika soalannya, "Bila mahu buat konsert duet dengan (nama artis perempuan yang seksi)?"

Dia lalu menjawab, "Alhamdulillah kami telah mendapat permit. InsyaAllah, minggu depan".

Tak nampak ke masalah tentang kefahaman, di situ?

Insya-Allah untuk mungkar. Alhamdulillah untuk maksiat. Saya rasa, itu bermasalah! Dan naluri saya menyatakan, mereka tak faham. Kerana itu, saya mahu jelaskan makna syukur yang sebenar, melalui artikel sebelum ini.

Begitu juga dengan ahli politik. Syukur, tetapi tak membantu gerakan islam. Syukur, tapi tak membantu rakyat miskin pedalaman Sabah dan Sarawak. Syukur, tapi tak pergi haji. Syukur, tapi tak menggunakan kereta ferrari ke masjid?

Kerana itu, saya mahu memberi penjelasan. Saya tak mahu mencabar hujah. Saya hanya mahu memberi penjelasan atas hujah.

(1)- Saya sama sekali tak bercakap tentang budjet 2013. Jika hanya kerana saya katakan bahwa saya merasakan ia sebagai satu bentuk 'bodekan' terhadap golongan muda, maka adakah itu telah menjelaskan seluruh pendapat saya?

(2)- Sama sekali saya tak menyamakan Malaysia dengan Mesir di zaman Nabi Musa A.S.

(3)- Sama sekali saya tak menulis tentang para menteri mengenakan hukuman kepada rakyat yang tak mengundi mereka di PRU. Saya tak tulis, kerana saya tak tahu. Saya tak tahu, kerana ia bukan bidang saya.

Saya hanya bercakap bila ada kena mengena dengan agama. Saya bukan editor Malaysiakini. Saya bukan admin page Kami Boikot Buletin Utama TV3 di Facebook. Bahkan saya juga bukan pembaca Harakah.

Saya seorang biasa. Hanya ambil peduli, tapi tidak perjuangkan politik. Saya hanya mahu memperjuangkan islam. Apabila isu politik ada kena mengena dengan agama, maka saya berkata-kata. Jika isunya hanya 'subsidi gula turun', saya takkan bercakap.

Tapi isunya sekarang, 'adakah kita tak bersyukur'?

Bila ada yang tak faham maksud syukur, maka perlulah ada yang memberi faham kepada orang yang tak faham itu. Kerana anda tak membuatnya, maka saya buatlah. Dan saya pun hanya tahu bahwa ramai yang tak faham maksud sebenar syukur selepas mendengar perkataan, "Kau ni tak reti bersyukurlah", selepas pembentangan budjet 2013.

(4)- Mungkin kerana saya ada menyebutkan,

"Jangan hanya kerana kita lama memegang kuasa, kita fikir kita di jalan benar. Kita fikir, Allah rahmati kita. Firaun yang zalim itupun lama memegang kuasa. Lebih lama daripada 55 tahun. Tapi adakah itu tandanya Allah rahmati Firaun, Allah benarkan firaun?"

Adakah kerana di sana ada perkataan firaun, saya telah menyamakan Malaysia dengan Mesir di zaman firaun?

TIDAK.

Kenyataan saya tercetus kerana ada yang berkata, "Allah bersetuju dan redha dengan UMNO dan BN. Kerana itu 55 tahun kami pegang kuasa".

Ada yang cakap macam tu. Saya tak mahu sebutkan saja.

Ayat itu jelas bercanggah dengan kefahaman islam. Islam meletakkan 'kuat' itu sebagai kuat iman. Dalam agama ini, kekuatan tak dinilai dengan harta yang banyak, ataupun bilangan pengikut yang ramai. Sebelum islam, semasa di medan Badar, tentera islam berjumlah 313 sedang kuffar ialah 1000 orang. 313 orang itu juga bahkan tak punya kelengkapan perang yang lengkap. Serba daif, sedang musuh mereka bukan hanya ramai, tapi punya kelengkapan perang yang cukup. Sempurna!

Tapi material dan amaun, takkan mampu mengalahkan taqwa.

Begitu juga masa perang uhud. 700 melawan 3000 orang. Kerana ada sebahagian kecil terpanar kepada ghanimah, Allah berikan sedikit kucar-kacir dalam kem pasukan islam, sebelum Dia memberi kemenangan kepada pasukan Uhud.

Bahkan dalam perang Hunain, Allah sendiri berfirman; "Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri."

Sebagaimana ramai pengikut, bukannya indikator kepada benar, maka lamanya memerintah juga bukan indikator kepada benar. Selagimana al-Quran dijunjung, Sunnah dipegang, maka itulah al-Haq. Itulah benar. Siapa-siapa pun boleh jadi benar. Tak kiralah menteri, mahupun tukang sapu sampah. Semua boleh berada di pihak yang benar (haq) jika dia berpegang dengan prinsip al-Quran dan Sunnah.

Mungkin juga, perkataan Firaun itu tidak sedap didengar.

Jika begitu, saya mohon ampun dan maaf. Saya mahu gunakan ayat, "Macam Muammar Ghadafi", atau "Macam Husni Mubarak", tetapi kedua-dua individu itu kita tak pasti bagaimana pengakhiran mereka. Boleh jadi mereka bertaubat. Jadi saya tak mahu terlajak dalam menghukum mereka, jadi saya guna ambil firaun sebagai contoh kerana firaun itu telahpun jelas salah.

Sedang dua diktator yang saya sebutkan diatas, kita tak tahu keadaan sebenar mereka.

(5)- 'tak ada yang positif langsung pada pandangan saudara. Semuanya negetif'

Saya langsung tak bercakap tentang budjet. Saya hanya bercakap tentang kesyukuran. Bagaimanakah syukur itu yang sebenar.

Allah beri kita mata. Jika kita guna mata untuk melihat mungkar, maka layak kita digelar orang yang tak bersyukur.

Allah beri kita mulut. Jika kita guna untuk mengumpat, maka kita tak bersyukur.

Begitu juga jika kerajaan beri kita RM 500 semasa BR1M dahulu. Jika kita gunakan wang itu untuk sewa pelacur, maka kita tak bersyukur.

Sebaliknya apabila dibentangkan budjet, ada yang tak bersetuju, maka kata-kata, "Kau ini tak bersyukurlah" saya kira kurang tepat.

Dan itulah saya bahaskan, dalam artikel lepas. Saya tak menyentuh langsung perihal budjet. Saya hanya menyentuh perihal kesyukuran.

Syukur ialah bilamana kita gunakan apa-apa yang Allah beri untuk kita semakin dekat dengan Dia. Bila Allah beri amanah, kuasa, dan jawatan, orang yang bersyukur wajib gunakan jawatan, amanah, dan kuasa untuk mendaulatkan islam. Itulah yang seharusnya, jika benar kita ini bersyukur.

Saya sudah delete komen kakak saya tadi kerana saya takut, dia akan berasa kecil hati dan rendah diri. Saya tak mahu dia rasa seperti dimalukan. Sungguh saya tak ada niat untuk memalukan siapa-siapa. Saya pun tak tahu berapa ramai orang yang akan baca artikel ini. Dan saya juga tak tahu kut-kut ada orang bersetuju dengan saya, mahu melawat blog akak tadi. Tika itu, saya takut ziarah itu kerana tujuan yang sinis, bukan kerana niat yang manis.

Memandangkan hari ini ahad, saya mahu menambahkan tulisan saya.

 1)- cerita kawan saya yang tinggal di Sabah, pernah dahulu ada sekumpulan anak muda kristian memeluk agama islam. Lalu, mereka pun dibuang keluarga. Jadi orang gelandangan. Dihalau tanpa satu sen pun duit. Dihalau keluar, tanpa secebis pun bekal. Menjadi seorang saudara baru yang papa kedana, jelas bukan suatu yang mudah. Jadi mereka buntu. Sebagai muallaf, di mana mereka mahu dapatkan bantuan untuk TERUS HIDUP? lalu mereka semua ke pejabat agama, dan mahu meminta sedikit wang zakat. Saat itu, mereka tiada wang. Tempat tinggal pun tiada! Lalu di pejabat zakat, mereka disuruh untuk mengisi borang. Usai menghantar borang, mereka dipesan; "Kamu kena tunggu dalam beberapa bulan untuk borang ini diproses". Bayangkan! Orang itu sudah dibuang keluarga. Tertekan mental mereka. Bukan sekadar itu, tiada duit pula! Bahkan, tempat tinggal pun tiada. Dalam keadaan teruk begitupun masih perlu tunggu berbulan-bulan? Jadi, sebahagian besar daripada sekumpulan anak muda itu memilih untuk kembali ke pangkuan keluarga mereka, dan kembali memeluk agama kristian. Hanya sebahagian kecil yang masih kental imannya, dan orang itu terpaksa berjuang untuk terus hidup.  
(2)- Cerita daripada sahabat saya, Ustaz Fadzli yang menjalankan kerja islam di pedalaman Sabah juga. Pernah dia mengislamkan seorang penduduk tempatan, dan selesai majlis pengislaman, lelaki itu berkata kepada ustaz. "Saya sudah lama sebenarnya mahu masuk islam. Hari ini baru ada orang masuk kampung kami, islamkan kami". Lalu ustaz itu pun bertanya, mengapa dia tidak pergi sahaja je pejabat agama. Tak payah tunggu-tunggu. Lalu dijawab oleh lelaki itu, "Saya sudah banyak kali ke pejabat agama tetapi sampai saja ke sana, saya dihalau kerana hanya memakai singlet, seluar pendek, dan berkaki ayam. Saya orang miskin. Orang kampung. Inilah saja pakain yang saya ada. Mereka di pejabat agama menghalau kerana mereka fikir saya datang untuk meminta sedekah".
(3)- Cerita semalam, seorang ustaz berketurunan Iban yang 10 tahun memeluk islam. Dia berdakwah di Sarawak. Kata beliau, beliau dan pasukannya telah berjaya mengislamkan satu keluarga rumah panjang di Sarawak. Lalu dia dan pasukannya pun pergilah ke pejabat agama, mahu memohon sedikit dana dan bantuan agar disediakan surau kecil dan dihantarkan seorang ustaz untuk mengajar golongan muallaf ini setiap minggu. Tapi dengan hampa, mereka diberitahu bahwa duit zakat tidak ada. Sudah habis.
Mungkin anda akan nampak bahwa saya seperti mengutuk pusat zakat. TIDAK. Pusat zakat hanya sebuah institusi. Ia hanya satu bangunan. Tak diberi taklifan hukum oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan staf yang terlibat. Walaupun mereka berakal, tapi mereka pun hanya menjalankan tugas seperti yang ditugaskan. Jadi, mungkin ini salah saya. Salah saya kerana saya hanya mampu menulis, tapi tak berbuat apa-apa.

Hanya pandai menunjukkan, "Hei, disana ada masalah", tapi saya tak menuju kepada masalah tersebut, untuk menyelesaikannya.

Itu salah saya.

Tapi sebagaimana yang disebutkan oleh Ustaz Zaid Muhammad Tandang, tapi sebelum itu, saya mahu perkenalkan bahwa ustaz Zaid ini ialah muallaf. Baru 10 tahun memeluk islam. Dia sering keluar di TVal-Hijrah melalui program Studio Muallaf. Dialah antara individu yang sedang aktif berdakwah di kawasannya di Sarawak.

Kata Ustaz Zaid Tandang, "Dakwah perlukan wang ringgit. Tapi bukan lagi daripada badan berwajib. Mereka tak mampu memberi bantuan untuk dakwah ini. Maka, seharusnya tuan-tuan inilah yang menyumbangkan harta tuan-tuan untuk kerja dakwah di sana. Tuan-tuan mungkin tak mampu ke sana (Sarawak) untuk berdakwah. Kami akan pergi. Biar kami berada di barisan hadapan. Jika kami mati, biarlah. Tak apa. Biarlah kami mati, dalam dakwah ini".

Jika sesiapa yang pernah ke pedalaman Sabah dan Sarawak, kita nilailah sendiri bagaimana keadaan umat islam disana. Ada yang 20 kali masuk agama islam, kerana pendakwah di sana 'bekerja' untuk makan. Selepas mengucap syahadah, beri kain pelikat dan sejadah satu keluarga sehelai, maka Thats it! Dah islam. Yahoo!

Sebab itulah kristian di sana bergerak pesat. Tak tahulah saya daripada mana mereka punya dana, hingga di kiri kanan, ada sahaja gereja. Banyak sangat gereja. Tapi masjid?

Tanyalah Ustaz Fadhli Yusof itu, betapa peritnya beliau dan rakan-rakan berusaha mencari dana SENDIRI untuk membina masjid, bagi kegunaan muallaf di Sabah. Masjid untuk beribadah, pusat pendidikan, kemasyarakatan, dan juga ekonomi.

Maka, saya menyeru kepada semua penjawat awam yang membaca artikel ini, bahwa kalian yang bakal menerima bonus, supaya tak kedekut untuk menyumbang kepada kerancakan aktiviti dakwah disana. Juga kepada golongan muda yang bakal menerima RM 250, atau juga rebate RM 200 untuk smart phone anda, anda jangan lokek untuk menyumbang kepada islam.

Orang kristian yang kaya, tak kedekut menyumbang untuk dakyah.
Orang islam yang kaya, saya tak tahu nak komen bagaimana. Nanti macam-macam pula saya dituduh lagi.

Innocence of Muslim, filem itu tidak dibiayai oleh Amerika pun. Sebaliknya, ia ditaja oleh grup Yahudi. Begitulah dengan dakwah kita di Sabah Sarawak. Sebagaimana pembenci agama islam tak memerlukan dana daripada kerajaan Amerika untuk mereka membenci, maka kita juga tak perlu dan tak harapkan juga dana daripada kerajaan Malaysia untuk kita menyatakan kita cinta kepada agama. Kerana kita faham, kerajaan Malaysia terlalu sibuk untuk memberi tumpuan kepada apa yang berlaku disana. Kerana itu, dana pun sempit, sesempit perhatian kita kepada apa yang berlaku.

Media pun tak ambil peduli.

Sempit semuanya.

Semua orang ambil tak tahu, ambil tak peduli.

Ketahuilah, jika kalian masih lagi teragak-agak untuk menyumbang, maka saya akan terlebih dahulu berada jauh dihadapan untuk menyumbang. InsyaAllah, sebagaimana pesanan Ustaz Fadhli kepada saya agar saya persiapkan diri dengan ilmu, maka inilah yang saya persiapkan.

Mudah-mudahan Allah terima niat saya seterusnya pilih saya untuk menjadi watak yang lebih daripada sekadar 'pemerhati'.
   
Previous
Next Post »
6 Komentar
avatar

pentingnya utk buka minda n lapangkn dada sebelum m'buat keputusan..

yg penting msyrkt kita skrg sdg sakit tenat n semua org kena usaha sedaya upaya dgn izinNya utk sembuhkn penyakit yg melanda msyrkt hri ni..

Balas
avatar

insyaAllah, ini sebabnya umat Islam kena jadi kaya kan?

cabaran untuk mereka yang nak memeluk Islam tersangat berat, kesiannya.

Nak infak harta terasa amat beratkan?
melebihkan keperluan orang lain, lebih dari keperluan diri sendiri.

umat Islam ni kena cuba sedaya upaya untuk melawat kawasan pendalaman dan negara-negara jiran, sekali dua pun ok, untuk timbulkan kesedaran, sebab tiap-tiap hari duduk dalam aircond nikmatnya.
sayalah tu...

Balas
avatar

seperti mana 3 orang memandang keluar tingkap yang sama namun belum tentu mereka memandang benda yang sama... Begitu juga yang membaca tulisan kita, belum tentu pemahaman mereka semua sama seperti yang kita maksudkan... kerana tahap akal manusia berbeza... tidak menyebelahi mana2 pihak... kerana memahami manusia itu berbeza.. ada yang seperti gelas separuh kosong, ada yang seperti gelas separuh penuh.. depend pd individu...
namun terpasang harapan moga menjadi barisan hadapan jua nanti..

Balas
avatar

MAcam mana nak salur bantuan kewangan ke sarawak tu?

Balas
avatar

Assalamualaikum Warahmatullah..

Wah, tak sangka, comment akak boleh menyebabkan luahan yang hebat. Akak minta maaf banyak-banyak pada Iqbal.

Akak malas nak cakap apa-apa lagi, semoga apa yang kita katakan atau tuliskan mendapat Keredhaan Allah.

Walluhu a'lam.

Balas
avatar

:). Salah faham boleh menyebabkan pertelingkahan. Saya tak baca entry sebelumnya. Tapi daripada petikan yg saudara iqbal selitkan di sini, apa yang saya nampak... saudara hanya menceritakan tentang bersyukur sambil memberi contoh menggunakan bajet 2013. Itu yang mmbuatkan salah faham akak tu kot. Apa-apa pun, entry ini bagus.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443