Bila engineer dan ustaz berdebat. Hasilnya?

Artikel ini bukan ditulis untuk melagakan satu pihak dengan pihak yang lain. Bukan juga dikarang untuk mendabik dada seraya bertempik, "Aku lebih baik daripada dia".

Tapi artikel ini ditulis untuk mencari makna, daripada perbezaan suara jiwa.


Apabila ada yang berkata, "belajar kejuruteraan lebih banyak keduniaan berbanding akhirat", saya kurang bersetuju. Walaupun bukan sepenuhnya saya menolak, tapi saya lebih cenderung untuk tidak mengangguk daripada tunduk mengiyakan.

Mungkin kerana saya bukan pelajar aliran agama secara formal, jadi saya membangkang. Rasanya memang kerana itu, dan tiada sebab lain kut.

Isunya sekarang, kita sedang tersepit di antara dua keperluan. Keperluan membangunkan pembangunan lahiriah dan keperluan dan desakan untuk membangunkan sarana kejiwaan. Ia adalah pertembungan di antara sains dan juga agama. Keduanya penting untuk melestarikan kehidupan manusia. Lebih-lebih lagi, manusia itu khalifah atas muka bumi. Lagilah ia penting.

Oleh itu, saya akan mengatakan bahwa agama ialah yang pertama tetapi sains bukan pula yang kedua. Tidak wujud soal siapa utama, siapa sampingan kerana kedua-dua jalur ilmu ini berpunca  daripada Allah S.W.T

Bukankah Saidina Ali pernah mengutarakan satu kata-kata yang hebat, berbunyi: "Barang siapa yang mahukan dunia maka dia memerlukan ilmu. Barangsiapa yang mahukan akhirat, dia perlukan ilmu. Barangsiapa yang mahukan dunia serta akhirat, dia perlukan ilmu".

Apa pula kata Imam Ghazali pula dalam Bidayatul Hidayah?

"Ilmu adalah apa-apa yang membawa manusia semakin dekat dengan Allah"

Hari ini, kita tak boleh membezakan antara ilmu dengan pengetahuan. Perkataan ilmu itu sendiri diintegrasi daripada salah satu nama Allah, al-Alim. Sudah tentulah ilmu itu sifatnya suci. Membawa kebaikan. Melahirkan taqwa. Menjadikan manusia makin dekat dengan Allah.

Sedang pengetahuan tidak semestinya membawa manusia makin dekat. Barangkali, membawa manusia makin jauh pula daripada landasan kebenaran.

Mari berbicara dari sudut ilmu agama.

Ada manusia yang belajar tinggi-tinggi. Ada phD bagai. Ada ijazah dari universiti yang terkenal di timur tengah. Tapi orang-orang itu, adakalanya lebih berlagak dan sombong daripada orang islam yang tidak seperti mereka. Bahkan, adakalanya lebih hipokrit dan munafik. Tajam lidahnya dengan seruan taqwa, tapi gagah juga sendi tubuhnya untuk melakukan segala yang bercanggah daripada seruannya.

Ini telah lama disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya. Kerana di zaman beliau, memang ramai ulama sebegitu. Belajar agama tinggi-tinggi, tapi tak berperanan untuk menyebuhkan masyarakat tapi menambahkan pula derita pada penyakit ummat ini.

Jika kita lihat kembali pada Sirah Nabawiyah, kita bertanya sendiri. "Adakah Rasulullah menolak kemodenan?"

Jawabnya tidak. Rasulullah tak pernah menyeru para sahabat Baginda untuk fokus kepada sisi akhirat dengan mengabaikan sisi keduniaan. Kita lihat, Rasulullah S.A.W sendiri ialah seorang manusia yang serba boleh. Di awal usia remaja lagi, Baginda menjadi seorang penternak yang berjaya. Kemudian, masih di usia hijau, Baginda dikenali sebagai seorang peniaga yang handal. Kemahiran dan kehandalan Rasululallah S.A.W itu tidak sama dengan orang lain, kerana pada diri Rasulullah S.A.W, ada penjagaan khusus daripada Allah.

Di usia hijau dan muda remaja, dua kali Baginda ditidurkan oleh Allah, agar Baginda tidak mendatangi majlis hiburan di kala itu. Kemudian, pada akhlak Baginda sendiri, tiada tolok banding kecantikannya. Semua manusia mengakui dan mengiktiraf Baginda sebagai al-Amin. Yang terpuji. Sangat-sangat terpuji.

Baiklah. Itu Rasulullah. Nabi. Sudah tentu tak sama dengan manusia biasa seperti kita.

Maka, kita lihat para Sahabat Baginda.

Siapa dia Abu Bakar? Siapa dia Umar? Siapa dia Ustman? Siapa dia Ali?

Mereka ialah jutawan. Peniaga yang hebat. Ahli politik yang jujur. Pemimpin yang adil. Juga tak lupa, mereka semuanya parajurit yang gagah berani.

Kita yang buta sirah, hanya nampak mereka sebagai orang alim. Tapi mereka bukan hanya alim tentang hal ehwal agama, tapi mereka juga berjaya dalam setiap aspek kehidupan daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada yang sebesar-besarnya.

Mungkin ada yang berhujah dengan ayat 122 surah at-Taubah.

"Dan tidaklah patut orang-orang mukmin itu semuanya pergi berperang. Mengapa sebagian daripada mereka tidak pergi untuk memperdalamkan pengetahuan agama mereka untuk memberi peringatan kepada kaum mereka sesudah kembali agar mereka dapat menjaga diri"

Ayat ini diturunkan oleh Allah untuk menegur para sahabat Rasulullah S.A.W yang terlalu mencintai syahid hinggakan setiap mereka sentiasa mahu berada di barisan hadapan dalam saf peperangan. Hinggakan yang akan tinggal cuma munafikin.

Tetapi ayat ini tidak bermaksud selain daripada belajar agama, semuanya teruk dan sia-sia. Tidak begitu. Allah menyeru kepada kesederhanaan. Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W menyeru kepada 'balance'.

Jika ditanyakan kepada saya, manakah antara dua lebih penting, maka jawapan saya, kedua-duanya penting. Orang yang belajar agama secara mendalam hingga mendapat kelulusan dan pengiktirafan akademik yang tinggi, sama pentingnya dengan orang islam yang berjawatan tinggi dan bergaji besar, yang taat kepada Allah Ta'ala.

Tapi harus diingat. Berjawatan besar DAN beriman serta beramal. Saya tidak maksudkan dengan para Dato' dan Tan Sri yang pecah amanah, ahli politik yang zalim, dan semua mereka yang pada mata kasar, nampak seakan-akan orang berjaya, tapi di sudut pandang agama, orang itu jahat.

Tidak. Mereka itu saya kecualikan. Mereka itu ibarat perosak, yang jangan (tidak boleh) dihapuskan tetapi perlu dikawal.

Kita kembali melihat kepada Abu Bakar R.A di masa perang Tabuk.

"Apa yang kamu tinggalkan untuk dirimu dan ahli keluargamu?", tanya Rasululullah kerana Abu Bakar menyumbang bukan sekadar sekeping dua dinar dan dirham, tetapi beliau memberi segala-galanya yang dimiliki.

Apa jawab Abu Bakar?

"Allah dan Rasul".

Saya teringat bahwa ada satu pepatah arab, "Orang yang tidak memiliki takkan mampu untuk memberi". Jika Abu Bakar R.A itu seperti Abu Hurairah R.A maka apakah beliau mampu menyumbangkan harta? Tidak.

Saya bukan mengatakan Abu Hurairah R.A itu lebih rendah daripada Abu Bakar R.A. Tidak. Mereka berdua telahpun diiktiraf oleh Allah sebagai 'mereka redha dengan Allah, dan Allah redha terhadap mereka'. Tetapi jika kita lihat sirah, Abu Hurairah R.A yang namanya paling banyak meriwayatkan hadis itu, sebenarnya ialah antara orang yang miskin di zaman Rasulullah. Beliau orang yang menerima sedekah.

Tapi orang seperti beliau pun, yang miskin dan hanya tinggal di masjid pun, masih terlalu amat besar sumbangannya kepada islam. Maka, apakah jika kita mempunyai pekerjaan yang baik, dan harta yang banyak, kita takkan mampu memberi sumbangan kepada agama?

Hubungan antara engineer dengan ustaz, pada saya ialah 'mutualism'. Sama-sama memberi, dan sama-sama menerima hinggakan tidak patut satu pihak berkata, "Kami lebih baik daripada kamu".

Pelajar-pelajar yang mahu melanjutkan pengajian di Timur Tengah. Dari mana mereka mendapatkan dana? Daripada zakat-zakat orang kaya.

Orang-orang kaya yang berzakat. Dari mana mereka mendapat perkhabaran bahawa membayar zakat itu hukumnya wajib? Daripada orang-orang alim yang belajar agama.

Nah. Itulah simbiosis antara kita.

Saya secara peribadi tak merasakan bahwa menjadi engineer yang bertaqwa itu lebih utama daripada jadi orang alim. Kebanyakan orang memiliki mentaliti bahwa diantara seorang ustaz dengan seorang engineer yang mempunyai ilmu seperti ustaz, dan amal soleh seperti ustaz, itu lebih baik daripada ustaz yang sekadar mengajar di masjid surau.

Saya tak beranggapan begitu. Kerana, daripada siapa para engineer ini mahu menjadi orang bertaqwa, jika bukan daripada tunjuk ajar para asatizah, ustaz, dan ulama itu?

Dan sudah tentulah saya terlebih-lebih lagi tak bersetuju jika ada orang yang kata "Belajar engineering ini tak sama macam belajar agama kerana belajar engineering akan membuatkan manusia jadi makin jauh daripada agama".

Dekat dan jauhnya manusia dengan agama, adalah kalkulasi nilai. Rasulullah S.A.W tak pernah memberikan ijazah kepada para sahabat. Bahkan, sepatutnya orang-orang yang belajar agama, TAK LAYAK untuk diberikan ijazah, phD, master atau apa-apa pengiktirafan. Tapi kerana ulama salaf kita ada memberikannya, maka saya TIDAK MEMPERSOALKAN tentang itu.

Kerana ada hadis, "Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hinggalah ke liang lahad".

Maknanya, dalam proses kita memperdalamkan ilmu agama, kita tak ada jalan mati. Yang ada hanya kematian. Selagi bernafas, selagi itulah kita perlu belajar agama islam. Berbeza dengan belajar kejuruteraan. Itu ilmu untuk menjadi khalifah. Untuk mentadbir bumi dengan syariat islam. Maka, sesudah kita boleh 'bekerja', maka apa perlunya lagi untuk kita memperdalamkan ilmu kejuruteraan kita?

Seorang engineer, hanya akan dikenali sebagai engineer sehingga dia bersara. Begitulah seorang doktor. Sampai kepada usia persaraannya, dia tidak lagi akan berkhidmat sebagai doktor. Berbeza pula dengan seorang ustaz, sejak daripada kecil hinggalah ke mati, dia tetap akan menjadi sumber rujukan.

Ini menunjukkan kepada kita bahwa pengajaran agama islam itu sebenarnya ada di mana-mana. Tidak hanya khusus dengan 'Saya masuk UIA' atau 'Saya ambil degree dalam Usuluddin'.

Saya untung. Ada internet dan Facebook. Bila ada kawan-kawan berkongsi artikel agama, maka saya membaca dan sesudah membaca, saya beroleh pengajaran. Ada pula yang berkongsi hadis dan ada pula yang memberi peringatan tentang akhirat.

Itu baru di alam virtual sedang di alam realiti, dua atau tiga kali seminggu, pasti akan ada ustaz yang datang memberi kuliah agama di surau-surau. Saya duduk mendengar, dan disana saya beroleh ilmu. Sesudah mendapat ilmu, saya mengamalkan dan berkongsi pula dengan orang.

Dan ini juga dilakukan oleh sahabat saya, yang sedang belajar di Irbid, di Kaherah, di Madinah, di Pakistan, di Syria, dan dimana-mana universiti yang menawarkan subjek agama islam.

Cuma, apabila sampai seruan untuk memberikan harta dan kemahiran seperti kemahiran membina, sudah tentu sahabat saya yang menjadi arkitek akan terlebih dahulu kehadapan dan sahabat saya yang jadi ustaz, akan berada di belakangnya.

Samalah jika sampai seruan untuk memberikan dana, sahabat saya yang ustaz akan berada dibelakang sahabat saya yang sudah jutawan.

Tapi itu tak menjadikan orang yang belajar agama secara khusus dan ke tahap tertinggi, kedudukan mereka lebih rendah. Tidak. Kerana melalui lisan siapa lagikah jika bukan lisan mereka, golongan profesional itu mahu tahu tentang satu-satu hukum?

Siapa yang mahu memberi pengajaran, jika bukan mereka?

Maka, inilah pendirian saya.

Seorang engineer yang bertaqwa dan seorang ustaz yang bertaqwa, hubungan antara keduanya ialah simbiosis. Sama-sama memerlukan.

Hanyalah kerana saya sekarang ialah seorang pelajar kejuruteraan, maka saya cenderung untuk berjuang dengan cara saya. Namun, sedikitpun dalam hati saya tidak terlintas rasa mahu memperkecilkan satu golongan dengan satu golongan yang lain.

Bukankah Allah S.W.T memerintahkan kita mencari bekal akhirat dengan apa-apa sahaja yang kita ada?

"Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa sahaja yang Allah berikan kepadamu" (al-Qasas; 77)

Dan sungguh, yang membezakan kita hanyalah taqwa. Sesiapa sahaja akan jadi najis jika tanpa taqwa, waima dia seorang ulama sekalipun

Previous
Next Post »
10 Komentar
avatar

Salam. Ape solusinya ye? Kita tak boleh nk let go utk jd indvidu muslim n pd masa yg sama x boleh let go study(engin/ medic) mohon pncerahan.

Balas
avatar

Acapkalinya ramai yang sering terkapai-kapai bila tenggelam dalam kesibukan mengejar ilmu di universiti. Kisah benar kerna memang terjadi di sekeliling saya. Apa jua pun, paling penting, iman di dada. Wallahua'lam.

Balas
avatar

Kepada anonymous, saya akan tulis lagi nanti

Balas
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang. - Hapus
avatar

saya sokong dgn pndapat anda. Mungkin ustaz itu bgai memperlekehkan tntg pntgnya belajar ilmu dunia & sumbangannya terhadap saham akhirat kita nnt. Tp jika niat kita untuk belajar ilmu dunia KERANA ALLAH, dgn niat utk membangunkan umat islam mahupun utk lebih mudah mnyebarkan dakwah, bknkah secara xlangsung akn mnymbg kpd saham akhirat kita juga.
Lihat saja ketika tamadun islam mencapai tahap Ustaziyatul Alam. menjd pusat rujukan dunia dan lantas penyebaran kefahaman tntg islam adlh lebih mudah.
basically, manusia tend to ikut & dgr kata2 org yg berilmu, so.. sekarang, mempelajari ilmu dunia & akhirat perlu seiring. dan bila dah start kerja nnt, kerja dunia & kerja dakwah juga perlu seiring. Memang agk sukar utk lakukan keduanya serentak tp ianya tidak mustahil kerana jika ad kemahuan pasti boleh lakukannya.
saya juga sgt sokong part simbiosis dimana mmg dua golongan ini sgt saling memerlukan.

Balas
avatar

sebagai manusia dan hambaNYA kita hidup di dunia saling memerlukan dan saling melengkapi.. :)

Balas
avatar

dunia dan akhirat perlu seiring, noted!

kita perlu mendahulukan 100% akhirat dan juga 100% dunia.

Balas
avatar

ok..takpe la pendapat..tahap pemikiran berbeza2 & skop pandangan jgk mgkin beze..betul, setuju, bkn nk tgk sape menang / bangga diri.. tp skdar forum untuk tambah ilmu..

Balas
avatar

okey nangis.sekali rasa macam jadi punching bag.sekali macam jadi teddy bear.orang peluk cium.apapeun,senang cakap,kita tetap hamba.kecik je kita pada Allah. .tapi yang kecik2 ni jugak yang pilih jadi yang berakal.kalu bukan sebab Allah,kita ni bukan sesapun.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443