Buat saudaraku yang sedang diuji.

Setiap manusia mahukan kehidupan yang seronok dan membahagiakan. Semua tak mahu sedih. Tak mahu menangis. Walaupun mungkin kita gemar menonton filem sedih, tapi kita sendiri tak mahu lakon layar itu berlaku dalam alam realiti kita.

Allah s.w.t sendiri kata bahawa memang fitrah hidup kita ini, kita sentiasa mahukan keseronokan dan bahagia. Tak ada siapa yang suka hidup yang sempit dan penuh dengan keluh kesah.

Tapi itulah. Kadang-kala, kita nampak pelangi itu cantik lalu kita pun teringin nak pegang ia. Tetapi kita takkan mampu nak pegang pelangi. Kita cuma mampu memegang warna-warnanya. Begitu juga hidup. Kita mahu bahagia, gembira dan seronok. Tetapi jangan lupa, bahwa dunia ini bukanlah tempatnya untuk kita gembira, bahagia dan seronok.

Jika Allah izin, memang kita akan gembira dan seronok. Tapi ia takkan kekal lama. Seperti matahari yang akan terbenam, begitulah juga dengan pola kehidupan kita. Malam yang suram akan menyusul juga walaupun kita berkeras mahu siang sepanjang hari.

Sampai masanya, Allah s.w.t akan uji kita dengan ujian berupa kesedihan dan kedukaan. Allah s.w.t akan uji  sampai terkadang mengalir air mata kita. Hinggakan sampai satu masanya, kita pula yang terlajak respon lalu menyoal, "Ya Allah. Kenapa aku yang engkau uji?"

Ketahuilah. Kita memang layak untuk diuji.

Saya sendiri sudah banyak kali berdepan dengan orang yang diuji. Ujian yang kadangkala sangat besar hinggakan saya terduduk termenung sendiri sambil tak henti-henti bersyukur. Yalah, setidaknya saya tidak diuji oleh Allah s.w.t dengan ujian sebegitu.

Ada yang berkongsi masalah dengan saya perihal suaminya yang kaki pukul. Ada yang mengaku tawar hati dengan suami tetapi rindu dengan kekasih lama. Ada pula yang lebih teruk, mengaku terpedaya kerana suaminya rupanya orang syiah. Ah, banyak. Yang gay pun ada juga.

Begini sahajalah.
"Listen. Ikan jerung pun ada masalah"
Pertama kita perlu ingat, semua orang Allah uji. Daripada pangkat ketua negara sampailah kepada hamba abdi raja pun, semuanya Allah uji. Nabi dan Rasul sendiri pun Allah uji. Kadangkala, ujian yang dikenakan kepada mereka itu, diluar bayangan kita. Lihat Nabi Yunus. Selama 40 hari Allah ujikan dia dengan ditelan oleh ikan nun. Lihat Nabi Yusuf. Apa dosanya sampai dia dicampakkan ke dalam telaga buta oleh adik-beradiknya sendiri? Dan bagaimana dia menjadi 'kambing hitam' sampaikan berapa lama dia merengkok di dalam penjara? Lihat Nabi Yaakub. Selama 40 tahun dia terpaksa menganggung rindu kepada anaknya (Nabi Yusuf) sampai buta-buta matanya.

Lihat Nabi Ibrahim. Apa dosanya sampai Namrud mencuba membunuhnya? Apa kesalahan Nabi Ismail dan ibunya, Hajar sampaikan Allah memerintahkan kedua mereka supaya ditinggalkan di kota mekah yang kering kontang dan tak berpenghuni masa itu? Apa lagi kesalahan Nabi Ismail sampai Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelihnya?

Apa kesalahan Nabi Musa sampaikan dia dan pengikutnya dikejar oleh firaun? Adakah salah Nabi Harun sampaikan saudaranya Musa marah kepadanya dek ramainya orang yang dimurtadkan oleh Samiri? Bagaimana pula dengan keadaan Nabi Yahya yang dibunuh kaumnya? Bagaimana pula dengan Nabi Isa yang mahu dibunuh?

Dan apa salah Nabi Muhammad sampaikan berdarah-darah badan baginda dikerjakan oleh penduduk Taif?

Apa yang saya sebutkan ini cumalah sepintas lalu. Saya cuma mahu tegaskan, bahawa setiap hamba-Nya, akan Allah uji sekalipun mereka itu ialah yang bergelar 'para kekasih Allah'.

Kedua, ujian Allah s.w.t itu tak sama. Kadang-kadang kita tengok orang itu diuji dengan penyakit. Kadangkala, dengan harta benda, pangkat, jawatan, cinta, nafsu seksual, kemalangan, masalah kekeluargaan dan seumpamanya.

Ketiga, Allah hanya menguji kita kerana Dia tahu kita mampu menanggungnya. Allah s.w.t tahu kita boleh mendapat kebaikan dan manfaat daripada ujian-Nya.

Sebab itulah yang Allah s.w.t sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 286.

Setiap kali orang menceritakan masalah mereka kepada saya, saya akan cuba memberi satu dua kata-kata. Tapi pada malam harinya, saya akan rasakan bahawa diri saya ni sangat kerdil. Saya beri nasihat kepada orang, seakan-akan saya sedang menjalani kehidupan yang indah.

Oh. Tidak. Saya juga ada masalah. Saya juga Allah uji. Saya juga tak terlepas daripada genggaman Allah s.w.t. Cuma, syukur... kerana saya faham benar, hidup ini memang untuk diuji.

Bacalah al-Quran. Surah al-Ankabut ayat 2, Allah tegaskan bahawa syurga itu untuk kita. Tapi, buktikan dahulu iman kita. Allah juga sebut dalam surah al-Mulk bahawa dijadikan alam ini beserta sarana-sarananya ialah untuk diuji. Dalam konteks ayat itu, Allah nak uji perilaku kita; adakah kita berbuat amal yang terbaik.

Anehnya, bila sahaja Allah uji kita, kita lantas tersedar bahawa kita sebenarnya kekurangan. Kita sebenarnya lemah tanpa daya. Kita sebenarnya tidak memiliki.

Begini sahajalah... ada pepatah arab, "Jika mahu meminta, pintalah kepada yang memiliki".

Kita lemah. Maka mintalah kekuatan dengan Yang Maha Kuat. Makhluk, semuanya lemah. Tiada yang sempurna kekuatannya melainkan hanya Allah s.w.t sahaja. Maka, mintalah kekuatan dari-Nya.

Kita miskin. Maka mintalah kepada Yang Maha Kaya.

Kita susah. Maka mintalah daripada Yang Maha Memudahkan.

Kita serabut. Maka mintalah kepada Yang Maha Menenangkan.

Kita ada Tuhan. Kita ada Allah s.w.t yang agung. Kuasa Allah terlalu kuat dan besar hingga tidak memerlukan kepada Tuhan kedua, ketiga, atau isteri dan anak-anak Tuhan. Allah s.w.t itu sendiri sudah cukup. Dia Tuhan yang tunggal. Esa dan serba memiliki.

Berdampinglah dengan Tuhan. Bersandarlah dengan-Nya. Jika kita perlu mengetuk pintu, maka ketuklah pintu keampunan dari-Nya. Jika kita perlu menadah tangan, maka tadahlah tangan untuk menjemput bantuan daripada-Nya. Jika kita perlu menangis untuk menarik simpati, maka rembeskanlah air mata kita untuk keluar supaya untuk cinta-Nya.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersedih dan berduka-cita sampaikan ahli sejarah mengatakan ada satu tahun yang diberi nama 'tahun kesedihan' dimana pada tahun inilah bapa saudara Nabi yang terlalu banyak jasanya, Abu Talib meninggal dunia dan pada tahun ini jugalah isteri Baginda yang paling Baginda sayang, pergi untuk bertemu dengan pemiliknya.

Lalu Allah mahu memujuk Nabi Muhammad s.a.w dengan diturunkan kisah Nabi Yusuf melalui surah Yusuf. Nabi kita membaca dan mentadabbur, dan sedikit sebanyak kalam Allah itu menyembuhkan rawan dalam jiwa manusiawi Baginda.

Saudaraku yang sedang diuji, dalam bahasa yang tuntas, izinkan aku titipkan kepadamu bahawa Allah sebenarnya cinta... amat cinta kepadamu. Kerana itulah kamu diuji. Jika Allah s.w.t berlepas diri darimu dan tidak lagi mahu memberi perhatian dan tak peduli denganmu, maka memang kamu akan hidup senang. Tapi adakah itu yang kamu mahu?

Kamu mahu Allah berpaling daripada 'memandang' kamu?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada Allah.

Ayuh, kita pulang.
   

Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

Assalam,

Syukran atas entri ini. Ingat mengingati..

Balas
avatar

Allahuakhabar.

Jzkk Iqbal..

Balas
avatar

mohon share ye...

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443