Harapan untuk para pendosa.


Setiap manusia tak lari daripada melakukan dosa. Kalau tak dosa besar, dosa kecil. Kalau tak dosa yang sengaja, dosa yang sengaja.

Pendek kata, hari-hari yang berlalu pasti akan ada juga dosa yang terkena pada kita, sedar atau kita tak sedar.

Tapi Allah Maha Baik. Dia tak akan semudah itu dan secepat itu untuk menghukum kita. Tak ada azab atau balasan segera yang akan Allah timpakan kepada kita sebagaimana umat-umat terdahulu. Umat-umat Nabi Nuh, Luth, Salleh, dan lain-lain, bila mereka kufur dan tak menerima nasihat sahaja, terus Allah musnahkan dan hancurkan mereka.

Tapi umat ini, Allah berikan penangguhan. Untungnya kita, umat Nabi Muhammad S.A.W. Tapi kata ulama, ada juga azab segera atas dunia ini, iaitu azab yang ditimpakan kepada anak-anak yang derhaka kepada ibubapa mereka.

Wallahua'lam. Sebesar-besar dosa manusia kepada Allah ialah bila dia syirik. Syirik, haram syurga untuknya dan sebesar-besar dosa manusia kepada manusia pula ialah dosa seorang anak yang derhaka kepada ibubapanya dan derhaka juga turut sama diharamkan syurga.

Sungguhpun kita tak lekang daripada berbuat maksiat, tetapi kita perlu faham bahawa Allah sama sekali tidak redha hamba-Nya membuat maksiat. Bahkan disebutkan dalam hadis, Allah 'cemburu' kepada hamba-Nya yang berani melawan perintah-Nya.

"Kita manusia biasa", sebenarnya sudah menjadi satu slogan yang benar tetapi digunakan atas maksud yang salah.

Entah mengapa, ramai antara kita yang seakan-akan tidak bersungguh meninggalkan dosa dan maksiat, dan apabila terjebak, slogan itu digunakan bagi membalut kelemahan diri. Entah untuk menutupi, atau untuk menyalahkan pihak lain.

Kita perlu ingat bahawa dosa-dosa yang kita lakukan itu mempunyai banyak kesan-kesan yang buruk kepada diri kita.

Pertama, disebutkan dalam hadis yang mahsyur, bahawa tiap dosa yang kita lakukan akan menjadi satu titik hitam yang menyelaputi hati. Lama kelamaan, hati kita akan gelap dan hilang cahayanya seterusnya kita akan menjadi buta daripada melihat kepada kebenaran.

Hati yang kotor kerana banyaknya maksiat ialah ibarat jendela yang tertutup. Terang bagaimanapun cahaya, jika jendela itu tidak terbuka, maka cahaya itu takkan masuk ke dalam rumah. Begitulah manusia.

Kedua, semasa sedang memandu, sempat saya dihidangkan dengan ilmu baharu daripada penyampai radio IKIM.fm iaitu maksiat kita ini sebenarnya ialah hijab kepada turunnya rezeki daripada Allah. Perkara ini disampaikan dalam sebuah hadis melalui susur jalur periwayatan Imam Ibn Majah.

Rezeki ialah pemberian daripada Allah. Ada rezeki yang baik, dan berkat. Ada rezeki yang haram, dan tidak berkat. Sudah tentulah orang beriman, mereka mahukan rezeki yang baik, halal, dan juga diberkati. Berkat ini tidak semestinya banyak. Kata ulama, berkat bermaksud bertambah-tambah kebaikannya.

Sebab itu ada orang yang duit banyak tapi dengan duitnya, dia tidak dapat menghampirkan diri dengan Allah dan ada pula orang yang diberikan wang/gaji yang tidak banyak tapi ia mencukupi dan membuatkannya menjadi lebih tawaduk dan qana'ah.

Maksiat juga ialah penghalang kepada pertolongan Allah S.W.T. Ini dibuktikan melalui beberapa peristiwa penting di dalam sejarah. Di zaman Saidina Umar, beliau telah menghantar satu pasukan tentera bagi menyebarkan islam yang mana pasukan islam itu terpaksa berperang melawan musuh. Lalu general ataupun ketua angkatan perang itu mengutus surat, meminta bantuan ketenteraan daripada khalifah lalu sebagai khalifah, Saidina Umar bukannya menghantar pasukan bantuan sebaliknya hanya memberikan sepucuk surat, yang berbunyi,

"Takutlah dengan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh kaum muslimin kerana sesungguhnya bantuan Allah itu turun kerana maksiat-maksiat yang dilakukan oleh pihak musuh"

Semasa proses pembebasan kota baitul maqdis juga, Salahuddin al-Ayybi membuat spot-check pada khemah-khemah para parajurit islam di tengah malam. Dia lalu mendapati ada khemah yang didalamnya para pejuang sedang berqiamullail. Ada khemah yang penghuninya sedang membaca al-Quran dan ada juga khemah yang para penghuninya sedang khusyuk berzikir. Tetapi ada juga khemah yang penghuninya sedang nyenyak tidur.

Lalu keesokan harinya, semasa mahu menyusun pasukannya, dia memerintahkan supaya para pejuang yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur semata-mata supaya tinggal dan tidak ikut berperang.

"Aku takut jika bantuan Allah tidak turun kerana kamu semua".

Begitu juga dengan kisah Imam Syafie rahmatullahialaih yang hanya kerana terlihat betis seorang wanita, dia telah dihalang daripada menghafaz sebuah ilmu.

Begitu juga dengan seorang salafussoleh yang dihalang untuk satu tempoh yang agak lama daripada bangkit qiamullail hanya kerana dia ternampak seorang lelaki sedang menangis di dalam solatnya dan hatinya berbisik, "Dia ni menunjuk-nunjuk ni". Hanya kerana sebuah sangka buruk, maka dia terhalang daripada berqiamullail.

Saya teringat kata-kata Ustaz Pahrol bahawa ada empat kategori orang yang melakukan dosa.

Pertama, dia buat dosa dan dia menyesal.

Kedua, dia buat dosa dan dia rasa biasa. Rasa tak ada apa-apa yang salah.

Ketiga, dia buat dosa dan dia rasa suka, gembira dan cinta pada perbuatan itu.

Dan yang terburuk sekali, dia buat dosa dan dia mempertahankan dan memperjuangkan pula dosa-dosanya.

Kita mungkin tak boleh berubah dalam seminggu. Usahkan seminggu, sebulan pun belum tentu. Tapi kita boleh berubah. Tak mustahil dan tak ada pilihan (option) pun untuk berubah atau tidak. Cuma, jika tak mampu tinggalkan semua dosa, maka jangan tidak tinggal langsung.

Berusahalah. Atau setidak-tidaknya, jaga lisan kita daripada terlalu lancang membidas orang yang mahu membetulkan kita.

Just admit our mistake. It is the first step toward purification.

Saya berdoa kepada Allah agar Allah jadikan saya sebagai hamba-Nya yang selalu dan suka untuk bertaubat. Mudah-mudahan Allah jadikan saya dan anda semua sebagai hambaNya yang selalu menyucikan diri.

Wahai Allah, Engkau suka memberi ampun. Maka, ampunkanlah daku...
 
Previous
Next Post »
4 Komentar
avatar

betul tu. kita kena usaha. alasan yg dikatakan kita ini manusia biasa x lepas dari buat dosa, x boleh menjadi kebiasaan, sebaliknya kita kena berusaha utk menjadi hamba-Nya yg lebih soleh dan solehah. ada seorg kwn baik sy, dia x menutup aurat dgn sempurna lagi dan sudah terlalu ramai yg menasihati dye, ibu bapa nya juga. tp alasan yg diberikan, dye masih x terbuka pintu hati ke arah itu. tetapi, sy yakin dye akan tinggalkan dosanya itu, kerana sekarang sy tengok dye lebih berusaha utk mendekati agama, solatnya semakin terjaga, dan usaha nya utk mengenal dengan lebih dalam ttg ilmu agama dgn membeli buku ilmiah. mungkin ini adalah salah satu usaha dye untuk meninggalkan dosa dan berubah jadi lebih baik. sy juga berharap sy xkan berputus asa juga utk menjadi yg lbeh baik buat Allah SWT .

Balas
avatar

Syukran ala kulli hal.
Nice share .
Semoga Allah berkati umur anda , penulis .

Balas
avatar

Assalamu'alaikum.

"... first step toward purification"

waa saya suka ayat ni.

Keep posting and May Allah bless :)

Balas
avatar

ada 1 buku terbitan Galeri Ilmu (atau PTS Publication?) saya tak pasti,
karya Hilal Asyraf :)

Tajuknya Untuk Kita Pendosa-Harapan Selalu Ada.

:)

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443