Allah Sebagaimana Yang Saya Kenal.

Bila kita ajukan soalan, Apakah masalah yang menimpa umat islam zaman ini, maka kita boleh mendapat markah penuh kerana banyaknya jawapan yang kita boleh senaraikan.

Antara yang kita boleh katakan ialah kita mengalami masalah akidah. Pada saya, inilah masalah terbesar yang perlu diatasi dari akar umbi. Adapun masalah ibadah, akhlak, sosial, penghayatan, pergeseran antara jemaah islam, pengurusan yang lesu, dan sebagainya ialah masalah-masalah yang lebih bersifat cabang dan ranting.

Sebenarnya bila bercakap tentang akidah, saya sendiri masih ragu-ragu dengan pengangan akidah saya. Adakah ia sudah cukup mantap sebagaimana dalam Surah Ibrahim, diibaratkan sepertimana pokok yang baik yang akarnya mantap dan menancap jauh ke dasar tanah.

Adakah saya sudah begitu iman saya?

Jelas sekali belum. Nak memiliki iman yang sempurna, prosesnya tak berjalan sehari atau cukup dengan siri kuliah dan ceramah. Ini proses dakwah dan tarbiyyah yang panjang. Bukan kerana birokrasi yang renyah, tapi kerana fitrah membina iman, ia memang memakan masa.

Bila bercakap tentang Iman, perkara yang paling dasar ialah keyakinan kita kepada Tuhan. Persoalan siapa Tuhan kita, Siapa diri kita, dan apa hubungan kita dengan Tuhan, ialah soalan-soalan yang perlu kita jawab dengan mantap.

Siapa Tuhan Kita?

Allah wahyukan di dalam bacaan 'basmallah' dan pada mula surah al-Fatihah, Allah ialah Rabb al A'lamin. Allah ialah Tuhan kepada seluruh alam ini.

Kalau kita search perbahasan ulama tentang kalimah basmallah itu pun kita akan dapati betapa sangat panjang penerangan dan perbahasan pada kalimah 'Rabb' itu sendiri.

Allah ialah Tuhan seluruh alam. Bukan Tuhan kepada orang islam sahaja sebaliknya kepada seluruh alam termasuklah orang kafir, tumbuh-tumbuhan, haiwan, udara, langit, bintang-bintang, cakerawala, dan termasuklah juga jin dan syaitan.

Maka, difahami bahawa Allah ialah malikil mulk. Raja bagi seluruh penguasa. Sebagai Raja, maka sudah tentulah segala titah perintahnya wajib dipenuhi. Sebab itulah angin pun ikut cakap Allah. Hujan pun ikut cakap Allah. Bumi yang berputar atas paksi ikut cakap Allah. Binatang-binatang yang hidup melata ikut cakap Allah, bahkan syaitan iblis pun ikut cakap Allah (kecuali sekali sahaja iaitu semasa perintah sujud hormat kepada Adam A.S)

Kalau kita baca lagi al-Quran, kita akan jumpa sifat-sifat Allah yang dinyatakan sendiri oleh-Nya. Berkenaan dengan sifat-sifat Allah, kita perlu ingat bahawa kita wajib mengenal Allah kerana itulah permulaan kepada penyembahan kita.

Realitinya bagaimana seseorang mampu sampai kearah yang dia mahu tuju, jika dia tidak pun tahu, apa yang dia mahu tuju!

Begitulah dengan kehidupan beragama kita. Kita perlu kenal Allah. Nak kenal dengan apa? Ya, berbagai. Ada yang kenal dengan mempelajari sifat-sifatNya. Ada yang kenal dengan mempelajari asmaul husna, dan ada juga yang mengenal Allah melalui penelitian kepada nas-nas Quran dan Hadis.

Ada orang marah kita ajar dan belajar silibus sifat 20. Kata mereka, ini ialah bid'ah. Nabi tak pernah buat.

Masya-Allah! Jahat sekali tuduhan ini jika diluahkan atas tujuan mahu mengangkat diri. Memang tak wajib belajar sifat 20, tapi yang wajib ialah kenal Allah. Silibus sifat 20 cuma wasilah atas salah satu cara yang memudahkan masyarakat. Ia bukan direka-reka tapi ia diambil daripada al-Quran dan sokongan al-Quran.

Jadi tak perlulah kita nak membid'ahkan orang... apatah lagi mahu mengkafirkan orang sesuka hati sebab kita takut, kita ingat kita kenal Allah, tapi sebenarnya kita tidak.

Kerana itu saya pilih tajuk "Allah sebagaimana yang saya kenal" kerana saya bukan pelajar khusus bidang usul dan saya juga perlahan-lahan sedang belajar. Cuma ini sedikit perkongsian dengan harapan, jika ada yang saya salah boleh dibetulkan dan apa yang saya betul boleh dipanjangkan.

Allah, pada saya ialah pemilik. Allah memiliki segalanya. Sedangkan manusia, tidak memilki langsung. Apa yang ada pada kita hari ini contohnya harta, anak pinak, tanah ladang, kesihatan, pancaindera, dan banyak lagi, semua itu ialah benda yang Allah beri pinjaman kepada kita.

Sebab itulah Allah boleh tarik balik pemberiannya bila-bila masa sahaja yang dia suka. Kerana itulah bila berlaku musibah, kita diajar ucap Innalillahi wa inna ilaihi raajiun, iaitu supaya kita boleh tenangkan diri kita dan ingatkan diri kita, bahawa kita ini tidak memiliki apa-apa pun. Kita cuma meminjam. Adat meminjam, bila pemiliknya mahu ambil semula, maka kita kenalah pasrah dan redha!

Adapun orang yang akidahnya tak betul, dia tak redha denga takdir, akan menyalahkan takdir, dan bersangka buruk dengan Allah!

Allah yang saya kenal, ialah Tuhan yang Pemurah dan Penyayang.

Bentuk kemurahan itu ialah dengan menghitung segala nikmat yang Allah beri. Cubalah, nescaya tak terhitung. Bahkan, jika mahu membanding, apa yang Allah beri adalah jauh lebih banyak daripada apa yang Allah belum beri. Cubalah bandingkan diri kita dengan orang lain.

Berapa ramai orang yang cacat; bisu, buta, kudung, padahal kita sempurna. Berapa ramai pula yang tiada ibu ayah padahal kita membesar cukup dengan kasih sayang daripada keduanya. Berapa ramai yang hanya makan sekali sehari sedangkan kita membuang-buang sisa makanan. Kita tak rasa betapa pemurahnya Allah sampaikan kita hilang rasa terhutang budi dengan-Nya.

Allah yang saya kenal, Maha melihat, mendengar, dan mengetahui.

Sebab itulah kita perlu rasa gerun. Allah Maha Melihat. Dia nampak setiap perbuatan kita baik yang dilakukan oleh kita secara terangan mahupun sembunyi. Tak ada satu saat pun Allah lalai dan tak ada satu saat pun perbuatan kita terlepas daripada pengetahuan-Nya. Sebab itu kita perlu rasa diperhatikan (muroqobah). Patut rasa malu, takut, dan risau jika Allah marah.

Selain itu, kita juga perlu banyakkan mengadu dan merayu kepadanya kerana Dia maha mendengar. Nak minta, mintalah dengan Allah. Nak menangis, meraung, dan meluahkan rasa, luahkan kepada Allah.

Allah Maha Melihat, sebab itu kita kena cantik di depanNya. Ada orang yang cantik depan manusia tapi hodoh di sisi Allah. Kenapa? Kerana Allah bukan memandang kepada fizikal kita, tapi Allah memandang hati dan amal perbuatan kita. Jadi, jangan rasa rendah diri dengan manusia. Manusia tak ada syurga-neraka. Allah, ada.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha adil.

Sebab itulah perkara yang sekecil-kecilnya pun akan dihisab dan timbang, baik amal soleh mahupun amal buruk. Jadi sebagai hamba, kita dilarang daripada memandang kebaikan itu suatu yang kecil. Benda yang kecil seperti senyum ataupun mengutip sampah atau membuang mudharat dari jalan, mungkin itulah amalan yang boleh membuatkan manusia masuk ke dalam syurga.

Begitu juga dengan perbuatan jahat seperti buang sampah merata-rata, balik kerja awal, memandu kereta secara ganas sampai menyusahkan orang, semua itu mungkin juga boleh menjadi sebab Allah murka denganNya.

Maka, kita perlu sentiasa termotivasi untuk melaksanakan pahala dan menjauhi dosa.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha mulia.

Kemuliaan itu hak Allah. Sedangkan manusia, kita ini diberi kemuliaan. Kemuliaan yang paling asas ialah kemuliaan kerana dapat menjadi manusia. Kemudian, kemuliaan menjadi orang islam. Hinggakan al-Quran sebutkan bahawa yang paling mulia antara kita ialah yang paling tinggi taqwanya.

Sedangkan Allah, kemuliaan-Nya tak tergugat. Kalaulah kita dan seluruh penduduk bumi murtad, kemuliaan Allah takkan terjejas jatuh. Dan jika kita dan seluruh penduduk bumi beriman sekalipun, kemuliaan Allah tak akan meningkat.

Cuma yang menjadi persoalan ialah nasib kita. Kalaulah kita memilih untuk jadi umat islam yang pasif, yang merasa cukup tak perlu belajar agama, tak perlu dakwah, tak perlu ikut tarbiyah, dan lain-lain, maka kitalah yang rugi. Allah tak rugi apa-apa.

Agama Allah tetap yang paling tinggi. Islam pun tetap akan menang. Cuma rugilah jika kita tak jadi salah satu kerikil dalam pembinaan bangunan yang besar ini.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha pedih azabnya.

Sebab itulah kita kena takut. Takut nak buat dosa. Takut nak meremeh-remehkan kebaikan. Takut untuk meninggalkan ketaatan. Takut kalau dimasukkan ke dalam neraka, kerana nereka Allah itu pedih. Siksaannya keras hinggakan siksaan yang paling ringan pun sampai mendidih otak. Itu pun bukan untuk kita. Nauzubillah.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha pengampun dan menerima taubat.

Sebab itu saya tak pernah berputus asa dengan hidup. Melakukan kesilapan, pada saya ialah perkara biasa. Cuma ia jangan diperbiasakan. Agama sentiasa menawarkan harapan. Yang berputus asa cuma orang yang kafir sahaja.

Maka, wajib kita untuk sentiasa memperbaiki diri kita. Allah memberi harapan, maka kita jangan putus harapan. Allah bukan mahu melihat kita ni berjaya atau tidak membebaskan diri kita daripada rantai-rantai maksiat, tapi Allah cuma menilai usaha kita. Bila kita bersungguh-sungguh mahu dekatkan diri dengan Allah, maka Allah lebih-lebih lagi mahu bersungguh.

Umpama kita ini berjalan kearahnya, dan Allah berlari kepada kita!

Selain itu, kita juga perlu selalu dan mudah memberi maaf. Jangan berdendam dan selalulah berlapang dada. Mengapa? Kerana kita dengan dengan Allah pun kita mahu Allah ampunkan! Orang yang tak mencintai, tak akan dicintai. Begitulah orang yang susah memberi maaf, ah, maka susah jugalah dia akan diberikan maaf.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha Bijaksana.

Kita perlu yakin dengan takdir. Ada benda yang kita fikirkan baik kepada kita, tapi rupanya ia buruk kepada kita. Ada juga hal yang kita rasakan buruk kepada kita tapi sebenarnya ia baik buat kita. Sebab itulah kita dianjurkan untuk selalu melakukan istikharah. Bukan dalam hal jodoh, tapi dalam segala hal dan urusan.

Kita juga perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dalam setiap musibah, pasti ada hikmahnya. Bahkan yang sebenarnya bukan hanya dalam musibah, tapi dalam nikmat juga ada hikmahnya. Oleh itu wajib untuk kita bersyukur ketika dalam nikmat dan bersabar bila dalam ujian.

Nikmat bukan petanda rahmat dan musibah juga bukan pentanda bala. Penting untuk kita bersangka baik dengan Allah. Allah ialah penulis skrip kehidupan. Kita cuma pelakonnya. Cuma kita perlu ingat bahawa takdir, qada' dan qadar kita, semuanya sudahpun ditentukan sejak 40 hari kita di dalam kandungan.

Namun begitu, takdir juga boleh diubah, iaitu melalui beberapa amalan seperti bersilatur rahim, bersedekah dan berdoa. Selain itu, kita juga wajib beriman dengan konsep usaha. Allah memberikan sesuatu sesuai dengan usaha hamba-Nya. Kita wajib berusaha bersungguh-sungguh, kerana kesungguhan kita juga ialah pahala.

Allah memberi mudharat dan manfaat.

Makhluk tak boleh beri manfaat. Makhluk juga tak boleh beri mudharat. Makhluk tak ada kuasa. Yang ada kuasa cumalah Allah sahaja. Makhluk cuma perantara. Allah jadikan perantara-perantara ini untuk memudahkan kita. Contohnya, makanan. Bukan makanan yang beri kita kenyang, tetapi Allah. Makanan ialah makhluk. Makhluk tidak berkuasa.

Begitulah kita dalam urusan harian kita. Tidak ada kebaikan walaupun satu yang berlaku melainkan semuanya dengan izin Allah. Dan tak akan ada mudharat walaupun satu, berlaku melainkan dengan izin Allah juga.

Contoh paling mudah, kematian. Siapa suka mati? Siapa yang cari mati? Rata-rata kita membenci kematian. Kalau boleh tunda, kita akan tunda. Tapi apabila malaikat maut datang menjemput, adakah kita boleh menahan? Adakah kalau kita membayar dan mengupah seratus atau seribu orang doktor pakar, kita boleh hidup selamanya?

Maka jangan kita meminta selain daripada Allah dan dalam masa yang sama, jangan kita takut dengan makhluk Allah, terutamanya dalam bab bercakap yang benar. Jangan takut soal rezeki. Rezeki ialah kurnia Allah. Allah yang beri rezeki bukannya makhluk. Makhluk pun menagih daripada Allah, maka mana mungkin mereka boleh mendabik dan sombong?

Apapun, sebenarnya banyak lagi yang saya boleh tulis. Pun begitu, saya merasakan cukup dengan begini sahaja. Nanti mungkin kita akan bercakap tentang ibadah pula. Wallahua'lam.
   
Previous
Next Post »
4 Komentar
avatar

:) entry yg bagus ;D terima kasih

Balas
avatar

Entry ni sangat bagus .

Balas
avatar

Awal agama mengenal Allah....maka jika tidak kenal Allah tidak ada agama baginya....berusahalah bersungguh mengenal Allah dengan solat, zikir dan tafakkur...mohon jalan mengenalNya....pasti Allah Maha Pemurah dan Penyayang mengabulkannya kerana hambaNya ingin mengenalNya....bila dah kenal maka barulah terbit cinta....itu Sunnahtullah....mana mungkin kita dipaksa cintai Allah dan rasul...tapi hakikatnya ?????

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443