Bulan Muhasabah.

Bulan Ramadhan ialah satu bulan yang mulia dan istimewa. Kemuliannya bahkan disebut-sebut dalam al-Quran dan hadis.

Salah satu kelebihan bulan ini ialah, bulan ini bulan yang terbaik untuk kita refleks diri kita. Bulan terbaik untuk kita mengenali siapa diri kita yang sebenar-benarnya. Ini adalah kerana 11 bulan kita yang lalu, diterjemahkan di dalam perangai kita selama satu bulan ini.

Bulan Ramadhan mempunyai banyak nama panggilan. Antaranya ialah bulan ibadah. Kerana di sepanjang bulan ini, kita dapati umat islam sangat ghairah untuk beribadah. Ini dimotivasikan oleh hakikat pergandaan pahala, sebagaimana sabda Rasulullah, setiap amalan sunnat akan diganjarkan dengan pahala seperti mengerjakan amalan fardu dan setiap amalan fardu di bulan ini pula akan diganjarkan seperti 70 amalan fardu di luar Ramadhan.

Tetapi di dalam tawaran yang sebegitu hebat pun, masih ramai yang tidak merasakan yang dia perlu bersungguh-sungguh.

Dalam keadaan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, para bidadari syurga berdandan secantik-cantiknya pun, masih ramai yang tak merasakan ada urgency untuk dia beramal ibadah.

Ini ialah satu muhasabah yang baik untuk kita menilai, apakah hati kita masih celik ataupun sudah buta.

Jika di dunia, bila ada jualan diskaun 50%, 70%, berebut-rebut kita. Ada yang sanggup bertolak-tolak. Sanggup menyusahkan diri, dan sanggup mencederakan diri sendiri dan orang lain.

Saya ingat lagi masa Baskin Robbins beri ais krim percuma, dahulu. Tak ingat sebab apa, tapi ramai yang post gambar, menunjukkan lautan manusia yang sanggup beratur dari hujung semata-mata mahukan SATU SKOP ais krim percuma. Padahal kalau dia ke kedai runcit, beli satu bekas ais krim, dia boleh makan untuk seminggu dan harganya pun tak sampai RM 10 pun!

Sama juga masa Mc Donalds berikan burger percuma, berduyun-duyun manusia beratur untuk mengambilnya sedangkan mereka tahu, syarikat makanan segera itu ialah syarikat yang menjana ekonomi israel. Secara tidak langsung, dana yang disalurkan itu menjadi peluru tabur yang menembusi dada-dada orang beriman.

Yang terbaru, gelagat penyokong bola sepak Kelantan yang sanggup merempuh pintu stadium semasa perlawan akhir Piala Malaysia antara JDT dengan Kelantan.

Tetapi keghairahan, kesungguhan, dan kecekalan hati yang sama, tidak ditunjukkan dalam amalan kita di bulan Ramadhan.

Lima hari yang pertama, mungkin kita dapati ramai manusia masih tekun dan bersemangat untuk mendirikan malam-malam mereka dengan ibadah. Tetapi bagaimana dengan hari-hari selepasnya?

Surut, sedikit demi sedikit. Kerana kita buta hati. Kita tidak rasakan ganjaran-ganjaran yang Allah janjikan melalui amal soleh kita itu sebagai suatu yang bernilai.

Kita tak rasakan yang kita ni banyak dosa, hinggakan bila Allah kata dia mahu mengampuni hamba-hambaNya, kita berasa seolah-olah "Kalau nak ampunkan pun tak apa, tak ampunkan pun tak apa".

Padahal untuk urusan dunia, RM 1 pun kita berkira. Tapi urusan pahala, kita tak kisah pun kalau sedikit. Kalau tak dapat pahala pun kita tak kisah!

Lebih buruk, apabila ada janji "Pembebasan daripada api neraka", umat islam di Malaysia makinlah tak merasakan ghairah. Seolah-olah namanya sudah dipadam daripada senarai ahli neraka.

Hari ini, matahari berada terlalu jauh daripada kita. Perjalanan ke matahari memakan masa jutaan tahun cahaya. Pun begitu, kita merasa bahang dan merasa tidak selesa dengan kepanasannya.

Lalu di padang mahsyar, Allah S.W.T akan dekatkan matahari dengan ubun-ubun kepala kita. Tak dapat dibayangkan peritnya, hingga ada yang nanti tenggelam dalam peluhnya sendiri. Jijik, geli, dan kotor.

Sekarang, kita memandang sinis dengan tawaran-tawaran syurga, maka di hari itu, Allah sendiri akan memandang sinis kepada kita!

Yang lebih teruk lagi, di dalam bulan ini pun, masih terlalu ramai manusia yang melakukan dosa maksiat baik secara tersembunyi mahupun secara terang-terangan. Baik dosa kecil, lebih-lebih lagi dosa besar.

Ini muhasabah kepada kita, di kala syaitan dibelenggu dan dirantai daripada menggoda manusia, rupa-rupanya diri kita sendiri sudahpun 'disyaitankan'. Kita boleh menilai sendiri, betapa banyaknya makanan yang telah kita berikan kepada nafsu kita di 11 bulan yang lalu sampaikan nafsu kita menjadi sangat-sangat ganas, liar, degil, dan kuat.

Apabila kita suka buat dosa, malas nak buat ketaatan, lemah dan letih untuk mempelajari agama, maka itu petanda bahawa nafsu kita telahpun dikawal oleh syaitan. Biarpun bukan sepenuhnya, tetapi mungkin 'half way there'.

Justeru, bulan ini ialah bulan terbaik untuk kita melemahkan nafsu kita. Nafsu seksual, nafsu makan, nafsu material, nafsu kerehatan, dan bermacam-macam lagi.

Nafsu yang ganas dan liar ini, perlu dijinakkan dengan paksaan. Kita perlu paksa diri kita untuk taat. Jika kita suka buka aurat, bulan inilah bulan terbaik untuk kita menutup aurat dengan sempurna. Bukan lagi bertudung, tapi berbaju ketat. Bukan lagi bertudung, tapi singkat. Bukan lagi bertudung, tapi berpakaian yang menarik perhatian.

Tetapi bertudung, longgar, labuh menutup bentuk badan dan dada, serta tidak menarik perhatian lelaki hidung belang.

Jika kita dahulu malas nak membaca al-Quran, malas nak baca buku-buku agama, malas nak mendengar kuliah dan tazkirah, maka di dalam bulan inilah kita perlu paksa diri kita untuk sungguh-sungguh baca al-Quran, dan menuntut ilmu.

Begitulah seterusnya.

Kita jangan lupakan juga, bahawa di saat mahu berbuka puasa dan di waktu bersahur, kedua-dua waktu itu ialah sangat mustajab untuk berdoa. Oleh itu, basahkanlah bibir kita dengan meminta kepada Allah hidayah.

Kalaulah bukan kerana Allah beri kita hidayah, maka kita memang akan menjadi seperti orang kafir. Bezanya, nama kita islam. Kita kahwin dengan tok kadi, bukan paderi. Kita mati, ditanam di perkuburan islam.

Itu sahaja beza islam yang diberi hidayah dengan islam tanpa hidayah. Orang yang tidak diberi hidayah ini hanya kerana dua sebab; pertama kerana dia yang menolak hidayah itu sendiri dan yang keduanya ialah kerana dia tidak meminta pun kepada Allah untuk diberikan hidayah!

Di baki Ramadhan ini, saya berpesan kepada diri saya terutamanya agar tidak lagi main-main. Sungguh-sungguhlah melakukan ketaatan. Hadirkan rasa syukur dan bertuah kerana Allah masih pilih kita untuk masuk di bulan ini dan masih dikuatkan hati kita untuk melakukan semua kebaikan.

Dan di dalam doa-doa kita, sertakan saya, lelaki yang banyak berdosa dan jahil ini. Semoga Allah sentiasa berikan saya hidayah dan matikan saya sebagai seorang muslim sejati.

 
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Entry yg menarik...menyentap kene kat btg hidung snediri...membuat sy muhasabah diri

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443