Tajdid VS. Takfir

Umat islam di nusantara perlukan pencerah, bukannya pengkafir. Tajdid, bukannya takfir.

Kita dapati suasana beragama dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia ini sangatlah tidak harmoni. Ada yang taat, macam malaikat. Ada yang jahat, macam jin pula. Cuma yang menariknya, sejahat-jahat manusia pun, bila sampai solat sunat aidil fitri, dia akan datang punya.

Yang jahat selamanya tak akan jahat. Kita dapati trend masyarakat, bila sudah mencapai usia pencen, dia akan mula mahu dekati institusi masjid. Mula akan rajin solat, mula bersedekah walaupun sedikit, dan seumpamanya.

Tak tahulah kenapa, tapi seakan-akan jerat syaitan, "Nanti kau dah tua barulah kau beramal ibadah. Ni waktu muda ni enjoy lah dulu", benar-benar berkesan.

Ramai yang terjerat. Dan ramai yang terperangkap dan mati di dalam jerat.

Itu golongan hitam. Golongan putih lain pula masalahnya. Memanglah sejak muda tak banyak buat dosa besar, tapi banyak pula terjebak dengan bid'ah.

Tetapi nak menangani masalah bid'ah dalam masyarakat, kita perlu menjelaskan dan bukannya mengkafirkan mereka. Bukan juga memaki hamun, dan bukan juga melabel yang bukan-bukan.

Bila berlaku pertembungan antara idea baru dengan lama, maka senjata yang paling utuh untuk menyalahkan satu pihak ialah dengan menggelarkannya sebagai wahabi. Tidak. Bukan semua orang yang kata, "Itu salah" ialah Wahabi.

Pada saya, wahabi itu bukanlah orang yang selepas salam kedua (habis solat), dia tak meraup muka. Nak tergelak baca satu keratan akhbar Metro, luahan seorang gadis yang risau nak berkahwin sebab tunangnya disangka wahabi (sebab tak raup muka lepas solat).

Hoi. Tak raup muka tak jadi wahabi, sebab memang ada ulama kata ini sunnah dan ada ulama kata tidak sunnah. Sebenarnya selepas salam pertama, dah selesailah solat kita. Jadi nak raup muka ke, nak raup kaki ke, atau punggung ke, ikut sukalah.

Yang jadi wahabinya ialah bila dia nampak orang raup muka, dia melenting, "Ini bid'ah!".

Kita juga tak jadi wahabi kalau kita buang bacaan 'sayyidina' di dalam selawat kerana ulama masih membenarkan penambahan perkataan 'sayyidina' kerana ia ucapan yang baik dan sanjungan.

Tapi kita akan jadi wahabi bila kita merah biji mata, timbul urat di leher, "Ini bid'ah! Nabi tak ajar!"

Kita juga tak akan jadi wahabi kalau kita suka pakai kain rida' (selempang) pada bahu kita kerana ada riwayat menyatakan Rasulullah juga selalu ada kain selempang dan sebahagian berpendapat, itu sunnah Saidina Umar. Saya pun jarang-jarang pakai cuma kalau sejuk (subuh), saya pakailah sangkut kat belakang.

Yang jadi wahabinya ialah bila kita mempersendakan orang kata orang berfesyen!

Kita tak jadi wahabi kalau tak minat dengan qasidah. Kita minat Najwa Latif, oh silakan. Tapi yang jadikan kita wahabi ialah kita menyamakan majlis pujian kepada Rasulullah itu seakan-akan sama dengan konsert artis dan hiburan yang biasa kita dengar.

Kita tak akan jadi wahabi kalau kita tak mahu solat tarawih 20 rakaat. Kita nak buat 8 saja, lepas tu nak balik rumah tengok Master Chef (lepas tu berharap nak masuk syurga). Tapi yang jadikan kita wahabi ialah bilamana kita iktikad bahawa sunnah Rasulullah ialah 8 rakaat padahal disebutkan dalam banyak riwayat, Rasulullah solat tarawih sampai ke waktu sahur walaupun hanya 8 rakaat. Qiam baginda membaca surah al-Baqarah, Ali-Imran, An-Nisa dan al-Maidah. Kemudian rukuk Baginda sama lama dengan berdiri qiam Baginda. Sujud Baginda pula sama lama dengan rukuk dan qiam tadi.

Hinggakan Huzaifah r.a yang mahu ikut solat bersama Nabi, tidak tahan lamanya solat nabi. Begitu juga dengan kata Aisyah, nabi solat sampai bengkak kaki sebab lama.

Jadi yang soheh ialah 8 rakaat sampai hampir kepada sahur, bukan 8 rakaat pukul 9.30 malam (tapi claim diri kita ikut sunah Nabi).

Kita juga tak jadi wahabi kalau bab kematian, kita tak bacakan (sedekahkan) bacaan al-Fatihah kerana Imam Syafie' rahmatullahialaih sendiri berpendapat tak sampai bacaan al-Quran kepada orang mati. Walau bagaimanapun jumhur ulama menyatakan sampai.

Yang jadi wahabinya ialah bila mana dia menyalahkan perbuatan orang lain yang membacakan al-Quran dengan kata-kata sinis dan sindiran-sindiran yang kurang ajar seperti, "Orang mati pun kita boleh SMS dan pos pahala", atau kata-kata, "Lepas ni kita buat je dosa banyak-banyak. Nak mati nanti kita tinggalkan harta banyak sikit, kita upah orang bacakan al-Quran kepada kita",

Dan yang paling kurang ajar,

"Kita jimak isteri kita, kita niatkan pahala jimak tu kepada orang mati. Kan kita boleh main pos-poskan pahala?"

Kita juga tak jadi wahabi kalau tak mahu dibacakan talkin kerana talkin kepada orang mati ialah semasa nafasnya yang terakhir. Dah mati, tak payah talkin. Cuma dibuat di Malaysia ini adalah untuk menjadikan tazkirah kepada orang hidup supaya orang yang menghantar mayat ke kuburan benar-benar mendapat peringatan.

Cuma yang jadikan kita wahabi bila kita dengan kasar menyatakan ini bid'ah, sesat, dan syirik.

Kita juga tak jadi wahabi kalau hari raya pertama (1 Syawal), kita tak pergi ke kubur. Memang bagus pun tak pergi ziarah kubur lepas solat raya, kerana itu bukan ajaran islam. Islam tak kata 1 Syawal sebaliknya bila-bila masa sahaja terutamanya waktu malam.

Tapi waktu malam banyak pocong (sangka kita). Menziarahi, yang sunnah nya ialah ziarah orang hidup bukannya ziarah orang mati. 1 Syawal ialah hari gembira bukan hari menangis di tepi kubur. Cuma kita faham kita ni tinggal di bandar. Jadi kebetulan 1 Syawal itulah hanya masa yang kita ada untuk ziarah, jadi kita pun ziarah. Cuma jangan iktikadkan bahawa ziarah kubur ialah sunnat khusus 1 Syawal saja, kerana jika kita iktikad begitu barulah kita bid'ah dan sesat.

Cuma wahabi ini mereka tak bersangka baik sebagaimana kita bersangka baik. Kalau tanpa memberi penjelasan, terus dia kata kita bid'ah, maka itulah dia wahabi.

Kita juga tak dikira wahabi kalau tak mahu baca Yasin malam jumaat kerana bukannya sunnah khusus pun hari jumaat baca Yasin. Yang khusus ialah surah al-Kahfi. Nak baca, boleh tapi jangan iktikadkan yang perbuatan itu sebagai wajib ataupun sunat yang khusus sahaja.

Tak baca Yasin, tak boleh. Sampaikan kuliah maghrib pun cancel semata-mata nak baca Yasin. Kalau itu berlaku, maka kita dah salah.

Tapi yang lebih salah ialah bila tanpa berfikir panjang, kita halang pula orang lain baca Yasin dengan menggelar mereka melakukan bid'ah dan kesesatan.

Kita juga tak jadi wahabi kalau lepas solat berjemaah, kita tak zikir secara lantang dan kuat. Itu bukan benda wajib. Cuma yang jadikan kita wahabi ialah kita melarang zikir secara lantang hinggakan mereka yang berbuat demikian kita tuduh sebagai bid'ah dan sesat, seterusnya membawa kepada pergaduhan walaupun tinggal satu kariah saja.

Tak nak zikir lantang-lantang, kau lah jadi imam.

Kita juga tak jadi wahabi kalau pada malam nisfu sya'ban, kita beramal ibadah seperti biasa sahaja kerana kita beranggapan tak ada keistimewaan pada malam ini. Memanglah. Mana ada namanya malam tukar kitab. Tak berasas sekali kata-kata kononnya ini malam tukar kitab. Kitab amalan kita satu saja, bukannya setiap tahun tukar. Puasa pada hari ini juga tidak khusus. Kalau kata nisfu sya'ban disunatkan berpuasa maka kita sudah salah dan ada harapan puasa itu tertolak. Ini adalah kerana Rasulullah tak mengkhususkan surah apa yang kita perlu baca pada malam itu, dan tak juga mengkhususkan amalan apa yang perlu.

Cuma ulama kita yang memahami dan tidak bermaksud mahu menyusahkan kita, memberi garis panduan kepada kita. Itu saja.

Tapi bila dah sampaikan menyalahkan perbuatan, amal ibadat orang lain dengan menghukum bid'ah dan sesat kepada orang, maka itu dah melampau.

Okey. Penat dah menulis.

Cuma dapat saya simpulkan, kita akan jadi wahabi dalam tiga hal. Pertama, jika kita cepat melatah. Sikit-sikit nak kata orang buat bid'ah, nak kata orang sesat dan menyesatkan, dan paling berat, menghukum kafir kepada orang.

Kedua, kita akan jadi wahabi bila kita kurang ajar, mempersendakan ulama-ulama kita. Antara yang sering menjadi bahan persendaan ialah Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari, dengan gelaran ahli bid'ah. Begitu juga dengan Habib-habib, juga dikatakan ahli bid'ah. Ustaz Azhar Idrus, dikatakan raja lawak, dan macam-macam lagi. Wahabi juga banyak mentertawakan fatwa Imam Syafie seperti hukum batal wuduk bila bersentuhan dengan isteri, dan seumpamanya. Wahabi juga mempersendakan orang-orang yang belajar akidah sifat 20 dengan gelaran orang yang belajar sifat 20 sebagai "Akidah pun tak betul, akhlak lagilah tak betul".

Ketiga, kita juga akan menjadi seperti Wahabi jika kita sentiasa merasa kita sahaja yang betul. Bersikap bongkak, takabbur, sombong, dan ghuluw. Merasakan "Aku saja yang ikut Nabi", seakan-akan mengatakan aku sahaja yang betul. Menggelarkan diri sendiri sebagai ahli sunnah yang sebenar, padahal ahli sunnah yang bagaimanakah kalau suka mencerca ulama, menghukum kafir kepada orang jahil, dan bertekak serta membawa kepada perpecahan dalam masyarakat?

Inilah tiga ciri wahabi yang saya kenal. Jika tidak ada tiga ciri ini, maka itu ialah golongan ahli sunnah yang sebenar. Golongan mujaddid. Sang pencerah kepada ummah.

Wallahua'lam. Kalau ada yang nak naik angin, saya nak tanya, "Ada tak tiga ciri ni kepada kamu sampai kamu nak terasa yang kononnya saya bercakap fasal kamu?"

:)
 
Previous
Next Post »
5 Komentar