Kita yang masih berselera

Bertahun-tahun, asal dekat dengan hari raya korban sahaja, pasti kita akan dibawakan dengan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ustaz-ustaz akan mengingatkan kita semula pada pengorbanan Nabi Ibrahim dan perintah Allah kepada Baginda untuk menyembelih anak lelakinya yang sangat dicintainya, iaitu Nabi Ismail.

Kita akan diperingatkan tentang sikap Nabi Ibrahim yang tegas, bersungguh-sungguh dan fokus untuk melaksanakan apa-apa sahaja perintah yang datang daripada Allah.

Kita juga diperingatkan tentang sikap Nabi Ismail yang tak mempersoalkan dan tak meragui keputusan dan ketetapan yang datang daripada Allah. Dirinya pasrah, redha dan bersemangat untuk melakukan apa yang Allah perintahkan sekalipun akalnya memberitahu bahawa perintah Allah itu bakal membinasakannya. Tapi wahyu sentiasa mengatasi akal.

Allah yang mencipta akal, maka Allah lebih tahu daripada apa-apa yang akal kita beritahu.

Kita juga diingatkan tentang pengorbanan Siti Hajar yang sentiasa terikat hatinya kepada Allah. Tidak mengeluh, redha dan tidak menghalang-halang syiar Allah untuk ditegakkan sekalipun atas titis darah anaknya sendiri.

Tapi kisah pengorbanan mereka, lebih daripada sekadar itu.

Mari kita pakai lensa realiti. Pakai cermin peribadi.
Bagaimana kita dengan perintah-perintah Allah? Bagaimana caranya kita menghargai nikmat-nikmat Allah?

Pernah satu ketika, sekembalinya para pahlawan islam dari medan Badar, Rasulullah lalu memberitahu kepada sepupunya yang juga ialah menantunya, Saidina Ali.

"Kita baru pulang daripada sebuah peperangan yang besar tapi kita bakal berdepan dengan peperangan yang lebih besar lagi"

Lalu ditanyakan oleh Ali R.A tentangnya dan dijawab oleh Baginda, "Iaitu peperangan melawan hawa nafsu".

Yang menjadi tembok pemisah antara kita dengan ketaatan, antara kita dengan keredhaan, antara kita dengan rahmat, antara kita dengan keampunan, tak lain adalah nafsu.

Nafsu akan sentiasa mengajak kita kepada kelazatan dunia. Pada fitrahnya, tak ada salahnya untuk berlazat-lazat dengan dunia, tetapi yang dibenarkan cumalah kepada kuantiti dan kualiti yang sedikit sahaja.

Lihatlah. Disaat kita makan makanan yang sedap-sedap dan mahal-mahal, jutaan lagi saudara kita sekadar mampu menelan air liur tanpa makanan sekalipun yang murah-murah.

Diketika kita bermegah dengan gadget mahal, orang lain berpeluang memegang apa itu namanya telefon pintar.

Disaat kita memikirkan bagaimana mahu mencari wang lebih untuk memenuhkan kehendak kita, orang lain puas menderita memikirkan bagaiamana mahu terus hidup pada hari esok.

Kita jarang-jarang merasa derita orang. Kita bersikap keakuan- mementingkan diri sendiri. Kita ada keluarga, kita cuma fikirkan anak isteri sahaja. Kita ada tetangga, kita cuma fikirkan kejiranan sahaja. Tapi jangan lupa, kita ada agama dan agama ini telah mempersaudarakan kita dengan dia yang kita pandang miskin, bodoh, dungu, busuk, selekeh, dan berpenyakit.

Kita ini, tiap-tiap tahun menyambut hari raya korban. Bahkan mungkin tiap-tiap tahun menyembelih haiwan korban. Tapi entah di mana silapnya, kita masih berselera besar memakan daging haiwan korban kita.

Kita yang masih berselera, cubalah bukakan mata. Korbankan sedikit harta, masa dan tenaga untuk membantu anggota badan kita yang tercedera, kerana sabda Rasulullah jelas, bahwa kita sesama umat islam adalah ibarat satu badan.

Dan, sebaik-baik kita ialah yang paling bermanfaat untuk saudaranya.

Korbankanlah, untuk menjadi manusia yang bermanfaat.
  
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443