Kehidupan dan kematiannya yang dicemburui. |
Tapi bila dah meninggal dunia, namanya sudah tidak lagi disebut-sebut. Kelibatnya sudah tidak dicari-cari. Kemunculannya sudah tidak dinanti-nanti.
Ada pula yang terkenal cuma selepas dia meninggal dunia.
Macam Ahmad Ammar. Saya cuma kenal selepas dia dijemput pulang, bukan semasa hayatnya.
Manusia boleh jadi terkenal dengan dia terlalu baik atau kerana terlalu tidak baik. Orang akan menyebut-nyebut nama kita kerana kebaikan kita dan orang juga barangkali akan menyebut-nyebut nama kita kerana keburukan kita.
Ahmad Ammar, dia disebut-sebut kerana kematian yang dicemburui. Kehidupan yang akan diteladani. Akan!
Saya pernah bersembang dengan kakak-kakak dan abang-abang yang lebih senior daripada saya (di tempat kerja). Masing-masing meluahkan kerisauan dan kegerunan, apabila topik perbualan kami menjerumus kepada soal tarbiyah anak-anak.
"Akak kalau boleh nak anak-anak akak tu kekal jadi budak-budak. Tak payah besar-besar"
Bukan tak mahu anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari itu menjadi dewasa. Bukan tak mahu anak itu masuk sekolah, ambil UPSR, SPM, masuk universiti, graduasi, bekerja, berkahwin, dan menimang cahaya matanya... bukan. Bukan itu yang dirunsingkan.
Yang dirunsingkan cuma, apakah anak ini boleh menjadi manusia yang baik?
"Dia tu lahir dalam keluarga yang beragama. Bolehlah.", komen seorang kakak tentang Almarhum Ahmad Ammar.
"Mak dia kerja tak?", tanya seorang yang lain pula.
Saya tak tahu ada orang yang bersetuju dengan saya ataupun tidak, tapi pada saya, pendidikan anak-anak bermula dengan pendidikan ibubapa. Anak-anak yang soleh keluarnya ialah daripada rahim seorang wanita solehah. Jika ibubapa sudah ada tasawur islam yang jelas, maka insya-Allah, semua jalan-jalan dihadapannya dapat dilalui dengan tenang.
Walaupun mungkin payah, tapi mereka akan sentiasa tahu mana satu jalan yang sebenar.
Saya juga berpendapat, sebaik-baik guru kepada anak-anak ialah ibubapa. Ini bermakna, anak-anak seharusnya dibiarkan membesar dibawah dakapan dan pelukan ibubapa mereka sendiri,
Dan bukannya dibawah tugasan seorang pengasuh, atau orang gaji!
"Akak kalau boleh, dah lama akak berhenti kerja... jaga anak-anak. Tapi kalau akak tak kerja, kami tak boleh survive. Gaji suami akak saja bukannya cukup. Lagi-lagi duduk kat KL ni", keluhnya.
Adakah ini alasan?
Jika anda berkata 'ya' maka anda telah bersikap tidak adil dalam menilai. Hari ini, dengan kos sara hidup yang makin meningkat, makin mencekik, makin memeras ugut, makin melemaskan, semua orang perlu berjuang untuk hidup. Semua orang perlu bekorban untuk bernafas. Semua orang perlu berebut untuk bernyawa.
Dilema bukan.
Nak hidup tanpa perlu meminta-minta, maka si ibu juga harus sama bekerja. Bila bekerja, maka anak-anak dibiarkan diasuh oleh orang lain. Bila diasuh oleh orang lain, maka kurang perhatian dan kasih sayang serta masa daripada ibu kandung. Bila kurang masa, maka kurang jugalah serba-serbi. Segalanya tak mencukupi.
Maka akan datanglah satu generasi pemuda yang dahaga.
Dahagakan kasih sayang. Dahagakan perhatian. Dahagakan tarbiyyah, didikan dan bimbingan.
Lalu datanglah satu kumpulan manusia yang berselindung di balik topeng-topeng 'kesamarataan', 'kebebasan', 'keseronokan' dan 'kekuatan' yang menawarkan minuman-minuman yang membawa kepada 'mabuk' dan 'hilang kewarasan'.
Mabuk dengan dunia dan pesonanya; lalu anak-anak tanpa sedar, menjadi tukang kejar kepada sijil, kelulusan, pekerjaan, istana, kemahsyuran, posisi, dan sebagainya.
Sekarang kita boleh nampak kaitan mengapa Nabi Muhammad S.A.W memilih 'susu' semasa dalam peristiwa israk dan mikraj. Susu ialah lambang kepada fitrah. Fitrah setiap manusia ialah merasa perlu kepada kasih sayang dan tiada makhluk yang lebih sayang kepada makhluk yang lain, selain daripada sayangnya seorang ibu (dan bapa) kepada anak-anak.
40 tahun, 50 tahun daripada sekarang, agak-agaknya bagaimana situasi masyarakat Malaysia? Semakin pulih lukanya, atau semakin parah dan membusuk?
Akhir zaman, kita kena yakin bahawa islam akan kembali menang. Sudah tentulah kita mahu jika diri kita dan anak-anak kita menjadi salah seorang 'askar' dalam batalion yang memperjuangkan agama ini. Tapi bagaimana dengan persiapannya?
Air yang paling bersih atas dunia inipun, jika dituang ke dalam cawan yang kotor berdebu, maka tiada siapa yang mahu meminumnya.
Begitulah juga kita. Sudahkah kita membuang 'kekotoran' dan 'debu' pada diri kita?
Kerana setiap anak yang lahir, lahir dalam keadaan fitrah. Yang membezakan satu dengan yang lain ialah didikan daripada ibubapanya.
Tahniah, ayahanda dan bonda Ahmad Ammar.
Maafkan kami jika selepas ini kami masih berlengah-lengah, tak serius, dan memandang mudah tentang tarbiyyah.
3 Komentar
Setuju yg didikan tu wajib bermula kalau boleh dr kecil....bertuah pd org2 yg dpt parent yg bg didikan agama bkn hanya kat sek tp kat rumah jgk...bila besar ni br terpikir yg parent sendiri krg luang masa &discuss pasal allah dan hadis nabi..tp takpe la mereka da provide byk bde utk kami adik beradik...syukur pd allah yg memelihara sy dr terjebak dgn gejala sosial dan mempertemu kan sahabat yg sedikit sebanyak pd agama.....insyaallah kalau diberi kesempatan utk jd ibu yg bkn hanya provide material tp bekal utk akhirat sebab anak tu adalah amanah....tp of course byk bde yg harus diperbaiki pd diri ini......
BalasTahniah kepada anda dan ibubapa anda.
BalasBagi mereka-mereka yang masa kecilnya kurang dimanjakan dengan al-Quran dan Hadis, itu sebenarnya langsung bukan alasan untuk dia tidak mencari jalannya sendiri, supaya sampai ke mardhatillah.
Iman tak dapat diwarisi. Nak masuk syurga, kena usaha sendiri dan bukan berharap dengan amal usaha orang lain juga.
Setuju?
Setuju sgt2....sebab tu bersyukur allah pelihara sy dr bde yg tak sepatut nya...bile fikir2 balik rase macam da waste mase remaja dr bde yg tak sepatut nya...alhamdulillah diberi kesedaran walaupon boleh dikata kan agak terlewat tp sekurang2 masih ada ruang untuk perbaiki diri untuk jd hamba Nya yg baik....cuma berdoa moga dikurnakan kekuatan untuk istiqamah dlm setiap amalan & mujahadah...
BalasSaya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443