Kerana Kami Muda (Because We Are Young)


Seperti setiap kebiasaan di hujung minggu, Amalina akan menghabiskan sepanjang malamnya dengan membaca. Dia suka membaca novel cinta kerana ada masa-masanya, dia akan tersenyum sampai ke telinga. Kena situasinya, dia akan mengalirkan air mata (lalu diejek oleh Aina dan Sarah) dan sesekali, dia juga akan menjerit kecil, memarahi 'watak hitam' dalam novel cinta yang dibacanya.

Selalunya, dia akan membayangkan Aizat sebagai hero, dan dia sebagai pasangan bagi hero; heroin dalam cerita tu. Malam itu, rutinnya tak berubah. Selepas solat maghrib tadi, terus dia menyambar novel setebal empat ratus muka surat lebih yang berada atas katilnya. Sambil mengiring, dia membaca. Penat mengiring, dia duduk pula tapi matanya memang tak diangkat pun daripada satu demi satu perkataan. Dia benar-benar sedang menghayati.

Malam itu, bilik mereka sangat tenang dan sunyi kerana Aina dan Sarah tidak ada. Sebulan sekali, Aina akan balik ke rumahnya. Rumah ibubapanya tak jauh pun daripada kolej matrikulasi ini. Amalina sendiri pernah menjenguk rumah kampung yang ceria dengan kemesraan penduduknya itu.

Sarah juga begitu. Dia pulang ke rumah kakaknya yang juga tak berapa jauh dari kolej. Petang tadi baru kakanya datang menjemput. Kebetulan kakak sulungnya itu belum berkahwin dan sedang menyewa sebuah rumah apartment tidak jauh dari tempatnya bekerja.

Umairah pula ke surau. Ada juga dia mengajak Amalina tadi, tapi Amalina menolak secara elok. Termasuk tadi, rasanya sudah berpuluh-puluh kali juga ajakan Umairah dia tolak. Tapi gadis itu tak pula menarik muka masam. Dia hanya akan cakap ‘okey’ dan senyum. Dah selalu sangat Umairah mengajak dan Amalina pun mula rasa segan lagi untuk menolak. Haih… Tak apalah Maira… nanti lain kali saya ikut Maira. Kesian Maira minta saya teman. Tapi malam ni saya nak habiskan dulu novel ni. Tinggal seratus lebih muka surat sahaja ni.

Heee...

Amalina meneruskan bacaannya. Novel cinta itu benar-benar telah menarik seluruh jiwanya hingga apa yang berlaku di alam realiti, sudah dia tak ambil pusing. Perut yang lapar pun sanggup dibiarkan terus mogok. Nanti-nantilah.

“Assalamualaikum”, Umairah memulas tombol pintu dan menolaknya ke dalam. Dia lalu melangkah masuk, sambil tangannya menarik keluar kunci daripada lubang pada tombol itu. Perlahan-lahan daun pintu yang terbuka tadi dia kuncikan semula dan ditutup kembali.

Amalina yang sedang menakung air mata senyum nipis. Dia lalu menjawab salam sebelum matanya kembali menatap susunan perkataan pada novel cinta itu. Aduhai! Sedihnya bila dia tahu yang hero dalam cerita itu sudah jatuh cinta kepada gadis lain, lalu mula menyisihkan heroin daripada terus menumpang di satu sudut dalam hatinya. Tambah menghibakan, heroin tadi masih setia dan tak putus asa daripada terus berusaha untuk merebut kembali cinta yang telah dia laburkan dan berikan kepada hero tadi.

Eh… heroin yang sedang disisihkan? Macam aku sahaja tu!

“Amal baca novel lagi? Tak habis lagi ya?”, tanya Umairah sambil tersenyum manis. Telekungnya sudah disimpan di dalam almari. Bajunya juga sudah ditukar kepada sehelai baju lengan panjang yang lebar. Rambutnya diikat ekor kuda. Dia sedang duduk di atas katilnya sambil memeluk bantal. Matanya terus ke hadapan, merenung Amalina.

Amalina senyum nipis. “Sikit saja lagi ni Maira. Eh, sudah pukul sembilan ya?”, tanya Amalina. Dia sudah menyeka air mata yang bertakung di kelopak matanya. Rakan-rakan Amalina semuanya sudah tahu yang Amalina ini memang kalau membaca novel, dia akan benar-benar menghayati. Jadi setakat keluar air mata, itu perkara biasa. Awal-awal dulu Aina selalu mengusiknya. Kononnya Amalina ini berhati tisulah. Sekali bila Aina sendiri membaca novel cinta yang diberi pinjam oleh Amalina, dia pun turut menangis walaupun dia menafikannya dengan alasan mata masuk habuk.

Umairah geleng. “Sudah pukul sepuluh lima minit dah”, balasnya.

Amalina memandang kepada Umairah. Dahinya berkerut. “Selalunya Maira balik sembahyang pukul sembilan. Lewat pula hari ni?”, tanya Amalina. Hampir hari-hari rutin Umairah begitu. Cuma kalau masa dia ABC (Allah bagi cuti), barulah dia akan ada di bilik pada antara waktu maghrib dan isyak.

“Tadi Maira lepak-lepak dengan Kak Nusaibah”, Umairah senyum.

“Kak Nusaibah yang selalu pakai tudung labuh tu?”, tanya Amalina, meminta kepastian. Dia rasa dia kenal dengan perempuan yang namanya disebut tadi. Kalau Nusaibah yang itu, dia pernah juga berbual-bual dengannya. Perempuan itu mesra. Comel pun comel.

Umairah angguk. “Dia cakap pasal cinta”

“Pasal cinta?”, Amalina sudah tak jadi untuk meneruskan bacaannya. Lagipun sejak tadi dia sebenarnya sedang berkira-kira untuk berhenti membaca kerana dia tahu Umairah sebenarnya mahu mengajaknya berbual sebab kalau seseorang itu sudah duduk mengadap kita, maknanya apa lagi kalau bukan kerana mahu mengajak berborak.

Umairah senyum lagi sambil kepalanya diangguk. “Amal pun memang suka baca novel cinta kan?”,Umairah tahu yang Amalina sebenarnya berminat nak tahu tentang topik yang diberbualkan tadi dengan Kak Nusaibah. Tak apa, sekejap lagi dia akan berkongsi.

Amalina tersengih-sengih segan. “Dari sekolah lagi Maira…”

“Amalina tahu tak sebenarnya al-Quran kita itu pun ialah kitab cinta juga. Maira baru je tahu baru-baru ni…”, Umairah mula bercerita. Dia senyum lembut. Sebab Amalina minat sangat dengan novel cinta, maka dia pun kenalah cerita tentang ‘novel cinta’ yang dia khatam membacanya setiap tiga bulan itu. Habis, ulang. Habis, ulang. Mana ada orang yang pernah jemu baca ‘novel cinta’ yang Allah turunkan melalui Nabi Muhammad itu.

Amalina tersenyum. Dia pun pernah juga terdengar ada orang cakap yang al-Quran itu banyak cerita tentang cinta. Tapi dia pun kalau mengaji, dia baca teks arab sahaja. Dia pun macam majoriti manusia, tak tahu dan tak faham bahasa arab tapi malas pula nak membuka terjemahan bahasa melayu. Jadi sampai ke sudah tak faham-faham apa yang Allah mahu beritahu kita. Sebab itulah hidup kita ni tak tenang dan tak senang sampai ke tua… sebabnya kita hidup tak ikut panduan padahal semua sudah tertulis dengan sejelas jelasnya sejak ribuan tahun dahulu lagi.

Amalina sudah meletakkan novel yang dipegangnya sejak dua jam lepas ke sebelah. “Ceritalah Maira… Amal nak dengar juga sebab Amal selalu dengar juga yang orang kata al-Quran itu kitab cinta. Cuma sesekali kalau Amal baca terjemahan bahasa melayu, nampak macam bahasa sastera sahaja”, dia sengih.

Umairah semakin lebar senyumnya. “Kita cakap al-Quran itu sebagai kitab cinta sebab kalau kita baca, kita akan dapat rasa yang Allah sebenarnya sangat sayang pada kita. Banyak kali Allah ulang di dalam al-Quran bahawa Dia ialah Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Pemurah, Maha Pengampun dan banyak lagi sifat-sifat Allah supaya kita tahu bahawa sebenarnya Allah sangat sayang kepada kita. Cuma kita sahaja tak tahu yang Allah sebenarnya sayangkan kita."

“Amal tahu tak apa tanda yang Allah sayangkan kita?”, tanya Umairah. Dia senyum menampakkan giginya yang tersusun cantik. Putih berseri.

Amalina geleng kepala. Er… rasanya macam boleh teka tapi rasa tak baik pula nak bercakap benda yang ‘rasa-rasa’ kalau ada hubung kait dengan agama. Nanti orang kata kita memandai-mandai pula.

“Ada banyak tau Amal. Tapi yang paling jelas, ada lima tanda”, Umairah menunjukkan kelima-lima jarinya.

“Pertama…”, dia membilang dengan jari. Duduknya atas katil, diperkemas.

“Allah berikan kita kehidupan.”, wajah Umairah manis dengan senyum. “Amal pernah bayangkan tak? Apa akan jadi kalau Allah tak berikan kita kehidupan?”

Dahi Amalina yang licin itu berkerut sedikit. Macam mana nak bayangkan sebab kalaulah kita ini bukan manusia, perkataan ‘bayangkan’ itu sendiri pun tak akan kita tahu.

Umairah tidak menunggu jawapan daripada Amalina kerana dia bertanya pun bukannya kerana dia mahukan jawapan. “Nikmat kehidupan ini sangat besar nilainya kan? Lebih-lebih lagi, Allah jadikan kita hidup dalam bentuk manusia. Kalaulah Allah jadikan kita ayam… lembu… mesti sudah lama kita disembelih dan dijadikan makanan oleh manusia. Sebab itulah kita patut berterima kasih kepada Allah kerana menjadikan kita hidup sebagai manusia. Banyak yang manusia buat, haiwan dan tumbuhan tak buat. Lebih penting… segala apa yang ada di langit dan bumi ini awal-awal lagi telah Allah sediakan untuk berbakti kepada kita.”

“Contohnya?”, Amalina sudah memintas.

“Contohnya, hasil bumi ini. Emas, timah, petroleum, gas… semua ini dicipta oleh Allah, tapi digunakan oleh manusia. Contoh lain, pokok-pokok di hutan. Semua ini Allah cipta untuk kita ambil manfaatnya. Ada seorang ustaz tu pernah cakap dengan Maira, dengan sebatang pokok sahaja, kita sudah dapat melihat kasih-sayang Allah dan kebesaran Allah. Kata ustaz tu… kalau kita tanam sepohon cili, kita tengok, apa yang membuatkan cili tu warna merah? Cuba kita gali tanah tu, kita tengok balik. Tanah tu warna merah ke sampai cili boleh jadi merah? Jadi siapa yang memberi warna merah kepada cili tu? Petani ke? Kemudian, kita cuba makan pula cili tu. Rasa apa? Pedas kan? Kita check semula. Apa yang buat cili jadi pedas padahal kita beri baja yang tak pedas. Kita siram pun dengan air paip biasa, tapi siapa yang beri pedas? Pastilah Allah”, terang Umairah.

Amalina mengangguk. Betul apa yang Umairah cakap. Maha Suci Allah, aku tak pernah terfikir pun tentang ini. Betullah… manusia ni selalunya buat satu benda kecil sahaja, tapi Allah yang menyempurnakan usaha manusia itu. Tapi bila dapat hasil, yang manusia nampak ialah setitik usahanya sahaja padahal selautan kudrat dan kasih Allah itu dia tak pula nampak.

“Itu bukti pertama, iaitu Allah beri kita hidup. Bukti kedua, Allah berikan kita saudara. Allah tak jadikan manusia untuk hidup sendiri-sendiri. Tapi Allah jadikan manusia untuk sama-sama menjalani satu sistem atau pola kehidupan yang tersusun lagi terpelihara. Kerana itu kita diperintahkan untuk hidup secara berjemaah. Dan kelebihan islam berbanding agama lain, Allah declare yang setiap kita, asal saja punya kalimah tauhid sebagai tunjang dan paksi… maka ketika itu mereka bersaudara tak kisah dengan warna kulit, bangsa dan budaya”, terang Umairah lagi.

Amalina mengangguk. Sebab Allah sayangkan dialah, Allah datangkan Umairah, kan?

“Bukti ketiga pula ialah perlindungan. Pernah tak kita terfikir, siapa yang jaga kita sebenarnya? Kalau kita memandu, siapa yang halang bukit daripada runtuh? Siapa yang halang pokok daripada tumbang? Siapa yang halang jalan raya kita daripada runtuh? Kalau kita fikir betul-betul, kita akan sedar bahawa kita sebenarnya helpless. Contoh mudah, semasa musibah tsunami yang menimpa Aceh pada tahun 2006. Kita lihat sendiri, ada satu kelompok yang Allah tarik nyawa mereka dan ada satu lagi kelompok, Allah selamatkan. Bagaimana Allah selamatkan? Macam-macam caralah, sesuai dengan sifat Allah Yang Maha Bijaksana. Kadang-kadang kan ada kes, lepas saja kita selesai melintas jalan, ada pokok tumbang. Kalau kita lewat sesaat, pasti kita sudah dihempap pokok tadi. Itu juga petanda yang Allah sedang selamatkan kita. Kita pula selalu sangat bersembunyi di bawah ucapan, ‘nasib baik’. Kononnya bila kita terselamat daripada terperangkap dalam lif rosak, kita akan cakap ‘nasib baiklah tadi aku tertinggal barang dalam bilik. Kalau tak tertinggal barang, memang aku masuk dalam lif tu’. Banyak lagi contohnya Amal… tapi cukuplah kut. Amal faham kan?”, tanya Umairah. Matanya yang bulat menatap wajah indah Amalina. Segaris, bibirnya mengukirkan senyum.

“Faham…”, jawab Amalina sambil menganggukkan kepala. Otaknya jauh berfikir.

“Itu yang ke….”

“Tiga.”, sambung Amalina. Dia senyum.

Umairah agguk. “Baik. Yang keempat pula ialah penerimaan taubat. Itu juga petanda bahawa Allah sayang kita. Dalam islam, nak taubat tu senang saja. Atas motosikal boleh bertaubat. Dalam bilik mandi pun boleh bertaubat. Sedang baca novel macam Amal tadi pun boleh bertaubat juga. Kita ini bukannya macam penganut agama lain yang kena pergi jumpa paderi, mengaku satu per satu kesalahan kita, kemudian beli surat keampunan. Kita juga tak perlu nak hantuk-hantuk kepala, tak perlu nak cucuk-cucuk badan, tak perlu juga untuk memukul-mukul badan atau juga tak perlu untuk membakar itu, membakar ini. Taubat kita cukup dengan menyesal, kita tinggalkan kesalahan itu, kita menanam azam dengan bersungguh dan juga kita meminta maaf kepada orang yang pernah kita buat salah kepadanya. Mudah saja kan? Tapi paling penting… taubat kita itu Allah janji akan terima selagi kita ikhlas. Sedangkan taubat orang bukan islam, tak kiralah betapa kuatnya dia menahan sakit… atau berapa lama dia melutut, tetap dia tak mendapatkan keampunan, sebabnya dia ‘meminta daripada yang tak memiliki’. Syukurlah kerana Allah sangat kasihkan kita”

“Tapi Maira… kalau kita ada buat salah dekat orang, memang kita perlu minta maaf dengan dialah ek?”, tanya Amalina. Matanya kelihatan seperti dikecilkan sedikit. Mungkin kerana dia benar-benar sedang berfikir jauh sekarang ini.

Umairah angguk. “Betul tu Amal. Kalau kita pernah kutuk dia atau mengumpat dia, kita wajib minta maaf. Kalau kita pernah ambil barang dia, kita wajib pula untuk pulangkan kepada dia”

“Tapi kalaulah kita nak minta maaf, dia pula yang jadi makin jauh hati?”, Amalina semakin galak bertanya.

“Kalau sampai macam tu, ulama sudah memutuskan bahawa tak wajib untuk kita cakap kita buat salah apa pada dia. Contohnya, kita mengumpat dia. Kalau kita nak bertaubat, kita wajib minta maaf kepada dia tapi kita tak wajib untuk kata, ‘aku minta maaf sebab aku mengata kau di belakang kau selama ini’. Sebabnya kita bimbang akan timbul dosa yang kedua dan ketiga selepas itu”.

“Contohnya bila kawan kita tadi tu tahu yang kita ada mengumpat atau memperkatakan yang buruk-buruk tentangnya di belakangnya… maka dia pun akan jadi marah. Hubungan kita akan jadi keruh atau mungkin juga boleh terputus. Jadi tak wajiblah untuk kita mengaku kepada dia. Cukuplah dengan kita merayu Allah ampunkan kesilapan kita, dan ampunkan orang yang kita sudah buat silap kepadanya itu”, terang Umairah dengan panjang lebar.

Amalina angguk. “Ooo.. terima kasih Maira. Baru hari ni Amal tahu”

Umairah turut tersenyum simpul. “Tapi satu perkara Amal kena ingat. Dosa kita kepada Allah sebenarnya lebih ringan daripada dosa kita kepada sesama manusia. Ini adalah kerana jika kita berdosa kepada Allah, Allah ialah Al-Ghaffar. Allah Maha Pengampun. Dia akan maafkan dan ampunkan segala salah silap kita, kecuali jika kita kembali kepadanya dalam keadaan kita syirik. Hanya itu. Sebaliknya jika kita berdosa kepada manusia, maka kita perlu usaha cari balik orang itu dan meminta maaf kepada individu itu sendiri. Berkenaan dengan hal ini jugalah… ada satu hadis, Rasulullah menceritakan tentang golongan yang muflis. Amal pernah dengar tak cerita tentang orang muflis ini?”, tanya Umairah.

Amalina menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. “Maira ceritalah…”

“Orang yang muflis ini Allah gambarkan sebagai orang yang datang kepada Allah dengan dirinya banyak menzalimi dan berbuat kesalahan kepada orang lain. Lalu pada hari penghisaban nanti, orang-orang yang pernah dia zalimi dan sakiti akan datang kepadanya untuk meminta pembelaan. Lalu Allah suruh orang-orang itu untuk ambil pahala orang yang berbuat zalim itu. Sampailah satu ketika, tidak ada langsung pahala yang tinggal… tapi masih ada lagi orang yang dia zalimi yang belum dia minta maaf. Lalu dosa orang yang dizalimi itu pula dipikulkan kepada orang yang telah menzaliminya tadi. Jadi, orang muflis di akhirat nanti bukan sekadar dirinya tak ada pahala, tapi dirinya menanggung pula dosa orang lain. Creepy kan? Akhirnya orang itu pun masuk neraka bersama-sama koleksi dosanya yang bertingkat-tingkat”, rendah nada suara Umairah. Dia sebenarnya gerun, seakan-akan neraka itu berada dekat sahaja dengannya. Tanpa dia sedar, badannya menggeletar sedikit. Amalina perasan riak perubahan pada Umairah saat dia berbicara tentang neraka. Umairah seram sejuk!

“Maira…”, Amalina jadi serba salah. “Sambunglah cerita Maira tu. Yang kelima apa?”

Umairah memaksa dirinya mengukirkan senyum. “Yang kelima ni yang terakhir. Agak-agak Amal, apa ya?”

Amalina terus menggeleng. Malas dia nak berfikir. Kalau dia makin meneka, makinlah ternampak yang dia ini jahil. Dari tadi lagi dia hanya menjadi pendengar bisu. Apalah Amalina ni…

“Bukti yang terakhir ialah Allah memasukkan kita ke dalam syurga-Nya. Mesti Amal pernah dengar kan orang kata, masuk syurga nanti bukanlah kerana banyaknya amalan kita sebaliknya hanyalah kerana belas ihsan dan kasih sayang Allah sahaja. Amal tahu tak apa maksudnya?”

Amalina seakan-akan berfikir. Rasanya macam tahu saja… “Erm, sebab amalan kita tak layak pun nak masukkan kita dalam syurga, kut?”, dia cuba meneka.

Segera Umairah mengangguk sambil tersenyum lebar. “Pandai Amal…”

Amalina juga meleret senyum. Hatinya senang dipuji kawannya.

“Betul kata Amal. Kalau kita fikir yang kita layak masuk syurga kerana amalan kita, sampai bila-bila pun kita takkan dapat. Bahkan, bau harum syurga pun kita takkan dapat cium. Sebaliknya, yang memberi kita nikmat agung itu ialah Allah sahaja”, dia menghela nafasnya sebelum kembali menyedut udara. Wajah Amalina yang sedang tekun mendengar direnung dalam-dalam.

“Sebenarnya Amal… orang sudah salah faham dengan perkataan baik. Mereka kata, baik itu solat lima waktu secara penuh. Habis, kalau itu kita sudah cakap baik, bagaimana dengan orang yang solatnya lima waktu sehari semalam semuanya secara berjemaah? Ada pula orang kata baik itu kerana kita rajin membaca al-Quran. Kalau macam tu, bagaimana pula dengan orang yang bukan setakat membaca al-Quran tetapi dia menghafaznya pula. Ada juga yang faham baik itu dengan berbuat baik kepada semua orang. Kalau macam itu, apa kita nak kata dengan orang yang bukan setakat dia baik dengan manusia… tapi dia juga baik dengan Allah. Ha… macam mana tu ya?”, Umairah senyum nipis.

“Itulah yang kita selalu silap. Kita dengan mudah mengatakan kita baik. Bahaya macam tu. Sebab itulah Allah sebut dalam al-Quran, ‘celakalah bagi orang-orang yang merasakan dirinya serba cukup’ sebab kalau dia dah rasa dia cukup baik, maka dia pun tak ada motivasi lagi nak bergerak kearah yang lebih baik. Sedangkan apa yang dia buat itu tak lain hanyalah ‘kulit’ sahaja. Tak banyak. Sedikit sahaja… Erm, dalam hadis empat puluh susunan Imam Nawawi pun disebutkan bahawa amal-amal sunnat ini berfungsi untuk membawa manusia itu jadi sangat hampir dengan Allah. Sebab itulah kalau kita dituntut untuk soleh serba serbi. Ada orang boleh soleh di Facebook, tapi di alam realiti… dia gagal. Ada orang yang boleh berbuat baik kepada masyarakat, tetapi dalam masa yang sama mereka ingkar kepada Allah. Ada pula manusia yang boleh taat beribadah, berzikir, beramal… tapi hubungan dengan manusia, dia gagal. Banyak bersangka buruklah… banyak mengutuklah… apalah…”, Umairah geleng kepala. Jelas dirinya kesal.

“Maira berpesan pada diri Maira sebenarnya ni. Amal jangan fikir yang bukan-bukan. Maira bukannya nak menyela atau nak mengajar Amal. Maira ini bukannya baik. Maira pun bukannya pandai. Tapi kalau bercakap dengan Amal, paling tidak Maira dapat buat refreshment dan muhasabah diri Maira. Bukan apa… lidah Maira inipun lebih dekat dengan telinga Maira sendiri dan lebih dekat dengan jantung Maira berbanding telinga Amal, kan?”, gadis itu senyum. Wajahnya manis dan damai.

Amalina juga senyum. “Tak apalah Maira. Amal memang suka pun nak dengar. Alhamdulillah. Banyak ilmu baru yang Amal dapat”, getus Amalina tapi nada suaranya bergetar di hujung-hujung.

----------------

Untuk bacaan lanjut, sila download e-novel ini. Baru publish semalam.

Kerana Kami Muda
(Because We Are Young)

Wallahua'lam. Mungkin ini ialah karya terakhir saya. Jadi saya harap ia boleh memberi sedikit sebanyak manfaat kepada saya dan semua yang membacanya.
    
Previous
Next Post »
2 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443