Kerana aku (bukan penulis) seorang wanita.


credit: deviantART
 Aizat menongkat dagu, memandang ke langit. Sudah 15 minit dia duduk dengan sabar, menunggu seseorang. Sengaja dia memilih tempat duduk di paling hujung supaya mudah untuk Nur Ain Fatihah melihatnya. Itupun jika sekirnya gadis itu datang. Tapi Aizat yakin. Nur Ain Fatihah tidak punya sebab yang konkrit untuk tidak datang. Lagipun tadi dia mengajak dengan cara elok walaupun sedikit mendesak. Dia mahu malam itu menjadi titik permulaan yang lebih jelas untuknya.

Aizat senyum. Benar, dia memang pernah ada pengalaman dalam bertemu janji. Setakat menunggu Amalina yang lewat satu jam pun dia boleh… inikan pula menunggu ‘bidadari’ yang cuma suku jam sahaja belum menampakkan bayang. Ah, apalah sangat.

Dia sebenarnya rasa sedikit berdebar. Dia tahu apa yang dia buat ini bukanlah kaedah yang terbaik untuk dia mengenali Nur Ain Fatihah dengan lebih dekat. Tapi bagi Aizat, dia rasakan inilah yang paling mudah dan cepat. Dia mahu mengenali Nur Ain Fatihah dan dia juga mahu gadis itu mengenalinya dengan lebih dalam. Kalau setakat kenal kerana ibubapa mereka bersahabat, itu belum cukup.

Dalam masa yang sama, bayang-bayang Amalina muncul seakan-akan menari-nari di kelopak matanya. Serta merta timbul rasa bersalah dan kasihan kepada gadis yang sudah ketiadaan bonda itu. Lagi-lagi kerana tadi, Amalina menghantarkan satu kiriman pesanan ringkas yang sangat menyentuh hatinya. Kata Amalina, dia sentiasa mendoakan kesejahteraan Aizat. Katanya lagi, dia sentiasa berharap yang Aizat selalu dalam keadaan yang tenang, diberkati-Nya, dan juga dilindungi-Nya sentiasa.

Aizat tidak membalas SMS itu kerana dia tak mahu hati gadis itu kembali terusik. Pada perkiraannya, antara dia dan Amalina… mereka sekarang lebih susuai dan cocok untuk menjadi kawan rapat sahaja. Salah satu puncanya ialah kerana rasa kasihnya yang sudah pudar dan tak hangat lagi.

Aizat kembali memandang jam tangan. Lima minit lagi sudah berlalu dan dia masih setia duduk di atas kerusi itu. Kafe ini pun nampaknya boleh tahan ramai dengan pengunjung yang sedang makan dan duduk berbincang. Tapi seperti biasa, tiada siapa yang akan ambil peduli. Masing-masing buat hal masing-masing. Aizat mengeluarkan telefon dari kocek baju melayunya. Bosan menunggu, dia kembali membuka kantung mesej. Kiriman-kiriman SMS daripada Amalina kembali dibacanya. Sejak kebelakangan ini, isi kandungan SMS daripada Amalina sudah berubah mendadak. Gadis itu sudah tidak lagi menuliskan ‘rindu’ atau ‘sayang’ sebaliknya yang selalu disebut ialah perkataan ‘Allah’. Contohnya, moga Allah buka pintu hati kita. Dan itulah yang paling membuatkannya rasa serba salah.

“Assalamualaikum”, tegur satu suara. Nur Ain Fatihah memandang keliling. Jelas yang dia sangat keberatan untuk memenuhi jemputan Aizat.

Aizat tersenyum lebar. Tak sia-sia dia menunggu lama. Dia kembali menyimpan telefon bimbitnya ke tempat di mana ia diambil tadi. “Makan?”, tanya Aizat. Dia sudah bersiap sedia untuk mengangkat tangan, menarik perhatian seorang pelayan lelaki yang nampak lebih berusia daripada dia.

“Sekejap”, Nur Ain Fatihah melarang. Dia membetulkan duduknya. Sekilas pun wajahnya tidak tersenyum seperti selalu. Aizat perasan wajah gadis itu yang masam semacam. Tapi takkanlah benda itu akan menjadi benda pertama yang akan dia tanyakan pula.

Aizat tak jadi untuk memanggil. Dia lalu menongkatkan kedua belah siku di atas meja besi itu. Matanya memandang Nur Ain Fatihah. Benarlah yang gadis itu walaupun tak seindah Amalina, tapi tetap ada pesonanya yang tersendiri.

“Saya nak cakap sesuatu dengan awak”, Nur Ain Fatihah bersuara sedikit tegas.

Aizat senyum. “Memang tujuan saya ajak awak datang ini pun sebab nak bercakap dengan awaklah”

Nur Ain Fatihah masih seperti tadi. Dia tak langsung senyum, tapi tidak pula menunjukkan tanda-tanda yang dia ingin marah. “Saya nak tahu.Aizat, awak suka kepada sayakah?”

Biji mata Aizat terbeliak seakan-akan mahu tercampak keluar dari kelonsong mata. Tak sangka yang Nur Ain Fatihah akan bertanya secara direct begitu. Memang dia berhajat untuk memberitahu gadis itu akan isi hatinya, tapi dia ada rancangannya sendiri. Dia pun reti segan juga!

Aizat tersenyum segan. Dia angguk. “Ya. Saya memang sukakan Ain. Tak salah kan?”

Nur Ain Fatihah juga angguk. Dia tak gembira tapi tak juga mahu marah!

“Saya orang yang keberapa yang Aizat suka?”, tanya Nur Ain Fatihah lagi.

Aizat tersentak. “Maksud Ain?”

“Tak ada maksud apa-apa”, kali ini dia sudah tersenyum tapi senyuman itu nampaknya tersirat, seperti bernada menyindir. “Saya nak tahu, kenapa Aizat sukakan saya?”

Aizat terdiam. Dia tak ada jawapan yang solid. Dia pun tak tahu atas dasar apa. Takkanlah dia nak kata dia sukakan Ain kerana penampilannya? Sedangkan masih ada seratus ribu yang pakai macam Nur Ain Fatihah pakai.

“Sebab hati manusia kan Allah yang pegang”, teragak-agak dia menjawab. Dia cuba untuk tersenyum, memberi motivasi kepada dirinya sendiri.

Nur Ain Fatihah nampak seperti tak selesa mendengar jawapan daripada Aizat. Dia menarik nafas. “Beginilah Aizat. Saya bukannya tak selesa berkawan dengan awak. Tapi saya ada prinsip”

Aizat menunggu Nur Ain Fatihah menyambung kata-katanya.

“Bagi saya, apa yang saya pakai ini ialah apa yang ada dalam hati saya. Saya pakai tudung labuh, saya pakai stokin tangan, semua ini bukanlah kerana suka-suka. Saya tak mahu menjadi fitnah kepada kaum lelaki. Tapi tanpa saya sedar, saya sendiri telah menjadi fitnah kepada Aizat. Maafkan saya Aizat. Maafkan saya kerana menjentuk pintu hati awak tanpa saya redhai”, dia menuturkan dengan perlahan tapi tegas.

Aizat masih diam. Dia tak tahu apa yang harus dia lontarkan. Tergamam, bahkan.

“Aizat, awak kena tahu. Prinsip saya, apa yang ada pada saya ini ialah apa yang akan saya serahkan kepada suami saya, lelaki yang halal untuk saya. Jadi, untuk dia yang istimewa itu, saya terpaksa tutup segala ruang dan peluang untuk orang lain, terutamanya lelaki. Sebab itu kalau awak perasan, saya jarang bergaul dengan lelaki. Saya bukannya tak kawan dengan kaum adam, tapi saya cuma akan rasa bersalah jika saya terlibat secara tanpa ada keperluan. Aizat faham tak apa yang saya cuba katakan ini?”

Aizat geleng. Dia benar-benar kematian suara hingga untuk berkata 'tidak' pun dia tak mampu.

“Hati perempuan ini lembut Aizat. Ia mudah cair. Ia mudah juga untuk tercalar”, nada suara Nur Ain Fatihah sudah kedengaran kendur sedikit.

“Saya pernah ada boyfriend masa di bangku sekolah dahulu. Dia senior saya. Kami memang saling menyukai bahkan dia pun sudah mengenali ibubapa saya. Ibubapa saya pun menyukai dia”, cerita Nur Ain Fatihah. Dia tersenyum pahit.

“Awak nak tahu apa jadi? Selepas dapat keputusan SPM, dia diberikan tawaran untuk futher study di Mesir. Lalu, dia pun fly ke Mesir, dan tak berapa lama kemudian, saya dapat satu berita daripada dia. Katanya hatinya terpaut dengan seorang gadis yang juga rakan satu fakulti dengannya. Sekarang ni mereka sudah bertunang dan akan bernikah awal tahun depan”, sambungnya lagi. Dia menelan air liur menahan rasa pahit pada hatinya. Jelas, cerita yang kini sudah menjadi sejarah itu masih mempunyai impak kepada jiwa yang saban hari, diajar untuk jadi makin kuat.

“Awak patut tahu Aizat. Orang perempuan ini macam rama-rama. Cantik. Tapi kalau sekali kita sentuh kepaknya yang berwarna warni itu, akan pudarlah kecantikan itu. Wanita bukannya macam plastisin yang sekali ia berubah bentuk, bentuk itu boleh diubah untuk kembali ke bentuk asal. Sebaliknya wanita itu macam besi. Kalau kita sudah jadikan ia lurus seperti pembaris, maka jika kita cuba bengkokkan, ia akan patah.”

Aizat angguk. Dia menghela nafas panjang.

“Jadi Aizat… saya rayu. Jangan sesekali awak dan kawan-kawan awak, atau sesiapa sahaja cuba untuk mendekati wanita jika awak tak sedia untuk menjadikan dia sebagai suri hati awak. Jika awak tak pasti dengan rasa hati awak, berbincanglah dan beristikharahlah. Jangan sesekali membuat keputusan tanpa meminta petunjuk Allah. Jangan selepas terlanjur meluahkan rasa hati, barulah terhegeh-hegeh mahu meminta kepastian. Kalian orang lelaki sepatutnya tegas dan mantap jika mahu berbuat keputusan”, tambah Nur Ain Fatihah lagi.

Buat seketika, hening menjadi garis penyatu antara mereka berdua. “Okeylah Aizat. Saya rasa saya patut pergi dulu. Awak anggaplah apa yang saya cakap malam ini sebagai nasihat seorang kawan kepada kawannya. Ingat ya Aizat. Jangan cuba sentuh hati seorang gadis jika kita tak bersedia untuk menjaga hati itu. Hati seorang gadis bukannya keras dan kuat seperti hati orang lelaki. Jadi jika kita sudah terlanjur menyentuh hatinya, maka kita perlu sedia menerima kesannya”, ulang Nur Ain Fatihah.

Dia bangun dari kerusi. “Saya pergi dulu ya sahabat. Assalamualaikum.”

Aizat menjawab perlahan. Gerak pada bibirnya sahaja yang kelihatan. Malam yang sepatutnya menceriakan hatinya nyata tidak membuatkannya jadi ceria. Bahkan segala benda yang dia rancang dan setiap skrip yang dia karang untuk dicakapkan kepada Nur Ain Fatihah juga sudah tiada nilainya. Aizat masih terduduk, masih tersentap.

------------------------------------------------

Ini adalah teaser kepada satu babak dalam Novelet Kerana Kami Muda (Because We Are Young) yang korang boleh download sendiri (free).

Sebenarnya bila saya baca cerpen bersiri Ainul Mardhiah yang Angel Pakai Gucci tulis kat blog dia, saya tiba-tiba rasa semangat dan exited untuk kembali menghasilkan karya kretif. Tapi entahlah, harap-harap adalah masa nanti untuk kembali menjadi 'penulis'.

Satu benda lagi, saya harap sangat mesej yang saya cuba sampaikan dalam petikan novelet di atas, sampai. Saya juga harap korang boleh sambung baca sampai habis dan hadam seketul-seketul mesejnya. Apapun, Allah yang beri kehafaman.

Definitely!
   
Previous
Next Post »
4 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443