Hamba dunia

Kudis dalam masyarakat makin parah.

Luka pada tulang bangsa makin berdarah.

Setiap hari, ada sahaja jenayah baharu mewarnai (sebenarnya menghantui) sisipan-sisipan akhbar. Entah dimana salahnya, dimana silapnya.

Kita tinggal di dunia yang manusia sudah hilang kemanusiaanya. Membunuh tanpa takut. Meragut tanpa risau. Memeras ugut tanpa runsing. Daripada jenayah berbentuk mengambil nyawa hinggalah kepada jenayah membunuh jiwa dan maruah seorang manusia.

Manusia, bila sudah hilang rasa takut kepada Tuhan, maka mereka akan mula menjadi Tuhan kepada diri mereka sendiri. Hilang kepercayaan kepada balasan syurga-neraka dan hilang kepercayaan kepada kehidupan selepas mati, membuatkan manusia buta.

Dunia dipandangnya seperti syurga. Segalanya mahu direbut. Segalanya mahu dibolot. Biar dicaci dan dimaki oleh dunia, asalkan nafsunya tersenyum penuh bangga. Paginya hanya sibuk memikirkan bagaimana agar nafsunya dipuaskan, sekalipun dirinya terpaksa menjual darahnya kepada syaitan.

Sekalipun terpaksa menukar syahadahnya kepada dunia!

Benar kata-kata cendikiawan ulung, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, bahwa zaman ini, manusia sudah meninggalkan berhala-berhala daripada batu dan patung.

Tetapi manusia berbondong-bondong lagi menyembah berhala berbentuk wang, jawatan, kemahsyuran, kemewahan, dan kekuasaan.

Hingga yang haram pun menjadi halal. Yang halal pun boleh diharamkan.

Kita perlu ingat, kita hidup ini tak mungkin selamanya. Kita akan dijemput oleh kematian. Kita akan meningggalkan segala-galanya yang kita cinta, sayang, dan kita usahakan atas dunia ini. Yang akan terus bersama-sama dengan kita tidak lain cumalah tiga.

Doa anak-anak yang soleh.

Ilmu yang bermanfaat.

Sedekah jariah yang berpanjangan.

Selain daripada itu akan meninggalkan kita. Kita diselimut kegelapan. Dipeluk kesepian. Sendirian di dalam perut bumi, dengan dua malaikat yang bertindak seperti polis, menyoal diri atas jenayah kita kepada umur kita.

Sungguh saya tak harap yang saya boleh jadi seorang abid yang terputus hatinya dengan dunia, yang bibirnya hanya basah berzikir kepada-Nya, yang hatinya cuma memikirkan tentang Dia, dan tubuhnya hanya bergerak menyembah-Nya.

Saya tahu iman saya lemah. Sering berperang dengan nafsu, diajak dan digoda oleh syaitan kiri dan kanan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kita hidup atas dunia ini dengan tujuan. Bukan mandiri. Kita ada silibus yang perlu kita belajar. Kita ada praktikal yang perlu kita buat. Kita ada teladan, yang perlu kita contohi.

Sekali-sekala, memang kita perlu ingatkan diri kita tentang tujuan kita hidup atas dunia ini kerana akal kita memang akan sentiasa tahu, tetapi hati kita terkadang lupa.

Dunia ini yang terlalu menggoda, atau akukah yang terlalu mudah digoda.

Aku mohon perlindungan daripada Allah daripada menjadi hamba dunia.
   
Previous
Next Post »
2 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443