Terpaksa dan tak minat.

Ada orang hantar emel kepada saya meminta sedikit nasihat atau apa-apa yang saya boleh katakan kepadanya supaya dia jadi lebih sabar dan termotivasi. Saya rasa saya dah lama buat kerja beri nasihat dan beri motivasi kepada orang, dan sejujurnya, nak bercakap tu memang senang.

Nak menasihati orang supaya tidak malas, tidak membuang masa, rajin beribadah, mengamalkan gaya hidup yang sihat dan seumpamanya memang mudah. Tetapi apabila segala permasalahan itu kembali kepada diri sendiri, maka saya sendiri pun tercungap-cungap mahu menghadapinya.

Jadi dapat saya simpulkan bahawa diri kita sendiri ialah motivator yang terbaik. Diri kita sendiri ialah penasihat yang terbaik dan diri kita sendiri ialah hakim atau juri yang terbaik.

Kalau kita mahu lakukan perubahan, kita akan berubah. Jika kita sendiri yang tak mahu berubah, maka tiada siapa yang boleh mengubah diri kita sendiri.

Dalam emel tersebut, pengirim berkongsikan masalahnya berupa tekanan belajar subjek atau bidang yang dia tidak gemar dan suka. Rasa tidak senang itu berlarutan hingga menjejaskan dirinya sendiri. Dia tidak dapat fokus dan sering mengalami kesukaran untuk menghadam ilmu-ilmu baharu yang dia tidak ghairah untuk menerimanya.
Perkataan terpaksa itu sebenarnya sudah mempunyai nilainya yang tersembunyi. Ada keterpaksaan yang tak mahu tidak, perlu kita buat dan ada juga keterpaksaan yang kita boleh hindarkan.

Contohnya, solat. Solat ialah kewajipan yang mesti dilaksanakan sekalipun terpaksa duduk, mengiring, berbaring, ataupun menggunakan isyarat badan.

Di dalam agama, banyak perintah Allah datang dalam bentuk keterpaksaan. Terpaksa berjihad, terpaksa menutup aurat, terpaksa menunaikan haji, terpaksa membayar zakat, dan seumpamanya. Tetapi anehnya, rasa terpaksa itu hanya timbul dalam hati sebahagian orang sahaja tetapi sebahagian yang lain berasa sukarela, gembira dan seronok apabila melakukan perintah-perintah Allah itu.

Soalnya mengapa?

Keduanya, keterpaksaan yang datang bukan daripada Allah tetapi daripada diri sendiri ataupun persekitaran luar. Contohnya, mandi. Di dalam islam, mandi yang wajib ialah mandi hadas. Mandi-mandi yang lain hukumnya harus (adakalanya sunat). Tetapi kenapa kita perlu mandi sekalipun terpaksa (seperti kita rasa sejuk)?

Kerana keterpaksaan itu dilakukan kerana ada kebaikan di sebalik kelakuan itu.

Contoh yang lain, terpaksa makan ubat. Perintah Allah kepada kita ialah supaya kita ikhtiar menyembuhkan penyakit kita tetapi ada tak Allah letakkan jaminan bahawa ubat sekian-sekian dapat menyembuhkan sakit kita? Madu dan habatussauda' itu sekalipun ialah dalil umum kepada penyakit, tetapi mengapa bila demam kita telan Paracetamol yang pahit tu?

Ketiga, keterpaksaan yang tak perlu. Contohnya tengok bola secara langsung. Perlawanan antara Arsenal menentang Borrusia Dortmund ialah pada jam 3.15 pagi. Jadi seorang kaki bola terpaksa bangkit seawal jam 3 pagi semata-mata mahu menonton dan bersorak bagi pasukan kesayangannya sekalipun hanya di depan peti televisyen semata!

Soalnya, apa yang dia dapat?

Satu sahaja yang dia dapat, iaitu kepuasan. Sekalipun mungkin esok dia akan mengantuk di pejabat, tetapi dia boleh berbangga dengan teman-temannya kononnya dia tahu berapa banyak Borrusia Dortmund melancarkan serangan, berapa banyak percubaan ke arah gawang yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol dan berapa banyak detik-detik cemas untuk penyerang pasukan lawan menerobos gawang.

Dapat disimpulkan bahawa hidup ini penuh dengan detik-detik keterpaksaan. Setiap keterpaksaan akan jadi lebih ringan daripada kapas jika pekerjaan itu dilakukan dengan minat. Contoh macam orang yang bangun tengah malam nak tengok bola itulah.

Ada juga keterpaksaan yang menjadi ringan kerana faham. Contohnya solat. Seseorang yang melecur 99% peratus badannya pun tidak merasakan berat tuntutan bersolat keatas dirinya, kerana dia memahami nilai solat itu, sedangkan sahabatnya yang sihat tubuh badannya yang datang menziarahinya di hospital itu, walaupun dia kuat dan boleh bersolat dengan sempurna, dia merasakan berat untuk bersolat kerana dia tidak faham tuntutan solat itu.

Selain itu, keterpaksaan juga akan menjadi ringan dengan sebab manfaat di sebaliknya. Contoh macam makan ubat itulah. Sekalipun pahit, kita gagahkan diri untuk telan juga kerana kita optimis dan percaya bahawa ada kebaikan untuk kita.

Begitulah kehidupan kita di IPT. Mungkin kita dipaksa belajar sesuatu yang kita tidak suka, tetapi mengeluh bukan penyelesaian. Ia mungkin 'pain killer' tapi ia bukan 'remedy'. Kita boleh menyalahkan 'tidak minat' jika kita gagal dalam pelajaran kita, tapi kita tidak boleh salahkan 'peluang' jika kita gagal.

Di dalam islam, ada hukum nikah ada hukum talak. Kita fikir nikah itu baik tapi cerai itu juga suatu yang baik jika kena pada situasi dan masanya. Jika cerai ialah suatu yang buruk, masakan kisah penceraian terlakar dalam sirah.

Seeloknya, apabila kita merasa yang kita tidak mampu untuk meneruskan apa-apa yang sedang kita lakukan, kita boleh sahaja 'bercerai' atau mencari 'pasangan baharu'. Dalam situasi penanya, cuba berbincang dengan ibubapa dan pihak yang berkenaan, yakinkan mereka bahawa subjek yang anda sedang ambil ialah di luar minat dan kehendak anda, dan cuba untuk menukar subjek itu.

Saya ada seorang sahabat yang minatnya ialah untuk menjalankan program motivasi dan ceramah-ceramah berunsur kerohanian. Jadi dia sanggup berhenti belajar, dan kembali bermula dari bawah dalam bidang yang dia minat itu.

Pun begitu, jika ibubapa anda berkeras agar anda meneruskan, sekalipun anda sudah berusaha meyakinkan mereka, maka tak perlulah untuk berasa terlalu kecewa.

Keterpaksaan ialah perisa dari hati. Salah satu enzim untuk melembutkannya ialah sebagaimana yang saya cakapkan di atas tadi, iaitu dengan kita membayangkan dan meyakini kebaikan-kebaikan yang akan kita dapat sebagai hasilnya.

Saya ambil diri saya sendiri sebagai contoh. Bukan untuk berlagak dan berbangga-bangga, tetapi kerana saya sendiri yang alami. Kisah saya sendiri, maka saya yakin kesahihan cerita ini.

Saya sendiri bukannya minat sangat belajar dalam bidang penerbangan. Saya pun bukannya suka sangat bermandi peluh untuk membaiki kapal terbang. Minat saya yang sebenarnya ialah untuk menjadi pendidik. Saya jenis yang suka berkongsi dan mengajar. Jadi tak pelik kenapa saya boleh jadi cikgu tuisyen (part-time) di sebalik kepenatan saya bekerja sepanjang siang.

Tapi saya selalu letak dalam fikiran saya, saya nak cepat-cepat tamat belajar dan bekerja. Ini kerana saya nampak betapa ramai orang-orang miskin di sekitar bandar ini. Saban minggu, ada-ada sahaja orang susah datang meminta bantuan dan sumbangan di kejiranan saya.

Ada muallaf, yang kehabisan bekal. Ada anak-anak kecil yang dua hari tak makan. Ada juga wakil penjaga anak-anak yatim di Pakistan, dan sebagainya.

Ada pepatah arab, "Orang yang tidak memiliki tidak mungkin dapat memberi". Apabila kita mahu membantu saudara-saudara kita dalam bentuk kewangan, kita sendiri seharusnya mempunyai pola kewangan yang stabil. Dan itu salah satu penggerak saya untuk terus gigih belajar.

Saya juga memasang azam untuk segera bernikah kerana dengan pernikahan, saya nampak beberapa manfaat besar antaranya ruang untuk menjaga mata dan hati (yang sangat susah sekarang) dan ruang untuk membina keluarga sendiri di bawah lindungan iman dan taqwa.

Salah satu persediaan untuk berkeluarga ialah sumber kewangan yang stabil dan itulah juga ialah pendorong kuat supaya saya segera tamatkan pembelajaran dan berkerja.

Maka syukur alhamdulillah, daripada 38 orang kumpulan kami, saya ialah pelajar pertama yang berjaya mendapatkan lesen penyelenggara pesawat (license without type rating).

Kita belajar ni, kalau setakat nak dapatkan kerja, tidak betul.

Kita belajar, untuk dapatkan ilmu dan dengan ilmu itu, kita boleh memanfaatkan orang lain.

Saya tak tahu penanya ambil subjek apa, tapi saya ada kawan, seorang pelajar medik. Semasa temuduga, panel penemuduga bertanya kepadanya,

"Kenapa awak mahu belajar medik? Kita sebenarnya tidak jamin yang awak boleh menjadi doktor kerana di Malaysia ini, bilangan doktor sudah mencukupi kuota"

Lalu dengan yakin dia menjawab, "Saya bukan mahu menjadi doktor di hospital. Saya mahu menjadi doktor dalam masyarakat. Saya lihat terlalu ramai orang miskin yang kesusahan yang tak berpeluang untuk mendapatkan rawatan. Saya juga lihat masih terlalu ramai orang yang memerlukan bantuan perubatan percuma. Saya nak bantu orang-orang yang tak mampu. Saya nak berbakti kepada mereka".

Nampak tak?

Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

Saya sendiri, kerana minat saya ialah mengajar, maka saya sudah buat perancangan sendiri. Saya nak kumpul sebanyak mungkin pengalaman, dan dalam masa 10 hingga 15 tahun lagi, saya mahu menjadi tenaga pengajar dalam bidang penerbangan ini. Insya-Allah.

Akhir sekali, mohonlah kepada Allah agar diberikan ketengangan dan hati yang lapang kerana ilmu yang bermanfaat, masuknya ke dalam hati. Jika hati kusut, maka ilmu pun susah nak masuk. Dan itu menjawab persoalan, mengapa kita susah nak 'perform' dan 'score' dalam subjek yang kita ambil.

Bukan semua benda yang kita suka kita dapat. Maka mintalah kepada Allah, agar apa-apa yang kita dapat, kita boleh suka kepadanya.

Maaf jika saya nampak macam berlagak pandai dalam artikel ini. Saya juga sedang menanam cinta dalam ladang hati.
 

Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Assalamualaikum
Saya ingin minta pendapat encik
Saya merupakan pelajar sekolah agama yang belajar kitab kitab arab pelajaran arab bukanlah perkara yang saya minati tapi atas kerana dorongan keluarga saya dan keluarga saya dari bidang itu saya terpaksa belajar apa yang saya tidak minat ..saya telah meminta banyak kali keluarga saya supaya saya dapat pindah sekolah yang saya minat..setiap kali saya belajar saya agak sukar untuk memahami sepenuhnya apa yang di belajar kerana kadang kadang kami perlu memahami kitab tu tersendiri ..jelas saya tidak tahu 100% sesetengah perkataan arab meskipun saya belajar sejak dari kecil ..apabila peperiksaan saya selalu mendapat nom yang akhir dan point yang jauh beza dari kawan2 saya sedangkan kelas saya adalah kelas paling terpintar kerana kelas saya setidak tidaknya ramai yang mumtaz ..jadi saya agak malu bila saya berada di kelas itu ..saya juga malu jika guru guru saya selalu menyuruh saya menterjemah apa di dalam kitab tapi saya tidak boleh jawab dengan tepat sedangkan kawan kwan saya boleh..jadi apa yang saya perlukan untuk menyakinkan keluarga saya meskipun saya kerap memberitahu ..saya bukan tidak mahu belajar tapi saya tidak mahu belajar arab sahaja

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443