Ini sama sekali bukan permintaan, tetapi sedihnya ini ialah situasi sering terjadi.
Pemangsa, penjenayah, pembunuh, penyembelih, bukan calang-calang. Bukan sembarangan orang. Tetapi lelaki-lelaki tua yang sudah kendur kulit mukanya, sudah putih rambut di kepalanya dan sudah rongak gigi-ginya.
Dan mangsanya, yang dihukum tanpa bicara, yang disiat tanpa bius, ialah remaja-remaja muda, yang tegap tubuh badannya, yang berkilat dan lebat rambut di kepalanya, dan yang indah tersusun gignya tersenyum.
Sungguh saya tak faham dengan segelintir kaum tua yang terlalu terperangkap mindanya. Mewarisi idea di zaman Jepun, mewarisi disiplin di zaman British, dan mewarisi disiplin di zaman komunis. Ada banyak peristiwa, antaranya masa saya balik ke kampung saya kelmarin.
Saya sampai ke kampung agak lewat juga. Dalam pukul 6.30 petang, dan maghrib pada hari itu ialah pada pukul 6.55 petang. Jadi selepas berehat sekejap, saya bersiap-siaplah nak ke masjid untuk solat berjemaah. Kerana kekalutan, mahu mengejar awal waktu, saya tak sempat nak menyambar kopiah.
Maka, malam itu saya solat dengan berkain pelikat, berbaju T, dan kepala saya berbogel tidak berkopiah. Anehnya, ramai kaum tua yang menegur, menyindir dan menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah tidak memakai kopiah itu merupakan satu kesalahan yang serius.
Seperti saya telah merogol anak atau cucu mereka pula!
Ini bukan kali pertama, kerana pernah tak lama dahulu, di sebuah surau kecil di Ara Damansara, di ketika tiada imam untuk memimpin solat, maka orang ramai menyuruh saya menjadi imam. Tak apalah sebab sebelum ini pun bukannya saya tak pernah jadi imam. Tapi tiba-tiba ada seorang pak cik tua berkeras membantah, dengan alasan "Dia tidak pakai kopiah".
Jadi akhirnya pak cik itupun jadilah imam dengan bacaannya yang lintang pukang. Dia samada memang tak pernah belajar menghalusi bacaan Fatihah atau lidahnya sahaja yang sudah keras kerana usianya.
Sepanjang enam tahun ini, saya sebenarnya sudah banyak sekali melihat pertembungan antara kaum muda dengan kaum tua. Kaum tua seakan-akan menganggap kaum muda ini sebagai pesaing, hingga jika mahu menjalankan sesebuah program, mereka tak pernah mahu mendapatkan pandangan, idea, dan persetujuan daripada kami yang mungkin separuh daripada usia mereka.
Maka akhirnya, bila merancang sesuatu, akan ada-ada sahaja kekurangan pada program itu. Terutamanya penglibatan pemuda. Kesannya, ruang atau jarak antara dua kelompok ini makin hari makin membengkak dan makin jauh.
Ini sama sekali berbeza dengan sunnah Rasulullah S.A.W kerana Rasulullah sangat menghargai tenaga, idea, dan potensi orang muda. Terlalu banyak peristiwa yang kita boleh kutip menjadikan pengajaran. Satu darinya ialah bagaimana Rasulullah dengan tekad melantik seorang pemuda, Usamah Bin Zaid R.Ahuma untuk menjadi ketua delegasi peperangan sedang bersama-sama dengan pemuda itu ialah lelaki-lelaki yang lebih berusia dan berpengalaman.
Sungguh saya tak faham kenapa pakcik-pakcik ini perlu bersikap terlalu keras kepada pemuda. Seorang sahabat saya pernah berkongsi pendapatnya, "Aku rasa pakcik-pakcik ini sebenarnya tak nak kita jadi macam diorang masa diorang muda-muda dulu. Diorang masa muda dulu kadang-kadang lagi dahsyat dan jahat daripada kita jadi bila mereka dah tua, mereka tersedar, insaf dan bertaubat. Jadi mereka tak mahu kita buat apa yang mereka pernah buat. Mereka tak nak kita tersilap langkah macam mereka dahulu".
Ada bernasnya. Dah tua baru nak insaf, itu juga bagus.
Tapi mengapa perlu pendekatan sekeras itu? Pemuda ialah aset negara. Bahkan pemuda juga ialah aset agama. Jika baik pemudanya, maka baik jugalah agama dalam masyarakat itu. Buktinya, setiap tokoh pemimpin masyarakat yang berjiwa islam, tiap-tiap mereka mempunyai guru (murabbi). Dan guru mereka kebanyakannya ialah orang-orang tua yang boleh menyantuni mereka dengan penuh hikmah, dengan mengambil pengalaman mereka sebagai orang yang 'lebih banyak makan garam' sebagai panduan dalam mendekati aset agama ini.
Jadi saya berharap agar kita yang baik-baik ini, yang datang ke masjid, yang bersolat berjemaah, solat sunat, dengan kuliah dan ceramah, menutup aurat, dan sebagainya ini untuk tampil ke tengah-tengah masyarakat dengan imej yang lebih mesra dan mudah didekati.
Jangan terlalu taksub mahu membetulkan orang kerana setiap orang mesti akan ada kesalahannya. Hatta seorang ulama yang tak pernah memandang perempuan pun mungkin ada kesalahan mereka, seperti kasut lupa nak disusun, baju lupa nak diseterika, janggut lupa nak dirapikan, dan sebagainya. Kerana orang agama juga manusia. Boleh terjebak dengan lupa dan salah.
Maka begitulah dengan anak-anak muda kita. Mereka lagilah berpotensi untuk bersalah dan berdosa. Jangan hanya kerana perkara kecil seperti pakai seluar jeans untuk bersolat, tak pakai kopiah untuk bersolat, menunggang motosikal tanpa lesen untuk datang masjid, selipar berselerak tak disusun di rak, berwuduk sampai basah-basah tempat wuduk, dan sebagainya menjadi punca kita menghamburkan kemarahan.
Mungkin pada kita, kemarahan kita ada asasnya. Tapi pada mereka, lain ceritanya.
Jika masjid pun marah, maka mereka ada seribu macam lagi aktiviti yang mereka boleh buat di luar masjid untuk mengembirakan mereka.
Pakcik, kalian sebenarnya telah jauhkan kami dari syurga.
1 Komentar
yang ni satu hal. hal lain pun banyak.
Balaslagi lah, teringat masa terawikh aritu, kalau masa solat, nak berjemaah, tapi saf x dan nak rapat. dah panggil duk mai rapat before start solat pun xmau. maksik makcik prefer duk bawah kipas.
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443