Credit |
Perkataan itu sebenarnya masih asing kepada segelintir kita, tidak seperti perkataan 'berikanlah' dan 'kurniakanlah'. Buktinya, tiap kali kita menadah tangan dan berdoa, yang kita minta ialah agar kita 'diberikan' pekerjaan, wang yang banyak, rumah yang selesa, keputusan peperiksaan yang cemerlang... atau meminta agar 'dikurniakan' dengan isteri yang solehah, anak yang soleh, dan sebagainya.
Tak pula saya kata permintaan-permintaan itu salah atau tidak sunnah.
Cuma kalau kita diberikan keberkatan di dalam urusan-urusan kehidupan kita atas dunia ini, maka kita dah pun hit the jackpot. Kita sudah memiliki semua yang kita perlukan.
Berkat bermaksud 'bertambah kebaikan'. Dalam kuliah maghrib daripada Ustaz Prof. Ahmad Faisal, beliau menjelaskan lagi dengan menyatakan berkat itu sebagai stable and growing. Stabil dan bertambah-tambah.
Sebagai contoh, seseorang yang diberikan kenaikan pangkat dan kenaikan pangkat itu tidak pula membuatkan dia semakin lalai daripada tanggungjawabnya.
Jika sekadar bertambah gaji dan elaun, tetapi solat berjemaah sudah jarang-jarang, masa untuk keluarga makin sedikit, hubungan bersama isteri makin keruh, itu bukan berkat.
Ini bermakna, keberkatan ialah sesuatu yang kita perlu usahakan.
Hari ini setiap orang diberikan rezeki. Semua orang makan tapi adakah semua orang memakan dari rezeki yang berkat?
Hari ini setiap orang belajar tetapi adakah semua ilmu yang masuk ke dalam hati itu semuanya berkat?
Hari ini setiap orang pun bekerja tetapi adakah pekerjaan mereka pekerjaan yang berkat?
Untuk mengatakan yang semua orang mendapat berkat, itu tidak betul. Orang kafir pun dapat rezeki, tapi adakah mereka dapat berkat?
Berkat ialah suatu kemuliaan untuk orang beriman. Bukan sekadar islam, tetapi perlu beriman.
Dalam kuliah Ustaz Prof. Ahmad Faisal, beliau menyatakan keberkatan itu perlu diraih dengan dua cara. Pertama, perlu wujud hubungan dengan Allah dalam usaha kita dan yang kedua, perlu menggunakan sumber daya dengan maksimum.
Dalam hadis yang mahsyur disebutkan bahawa setiap perbuatan yang bermanfaat jika dimulakan tanpa menyebut nama Allah, maka akan hilanglah keberkatan daripadanya. Adalah suatu sunnah bagi kita untuk memulakan setiap perkara dengan membaca bismillah. Bahkan Rasulullah S.A.W banyak sekali mengajar doa-doa yang ringkas sebelum dan selepas kita melakukan sesuatu.
Antara tujuannya ialah supaya kita tidak terpisah dengan rasa bertuhan. Ini ialah latihan kepada kita supaya kita tidak termakan dengan virus-virus sekular dan aliran-aliran yang seumpamanya, yang cuba memisahkan Islam (dan Allah) daripada pekerjaan seharian kita.
Berkat juga datang dengan kesungguhan. Orang yang bersungguh-sungguh, tidak akan rugi. Sekalipun kita mungkin tidak dapat apa yang kita mahu capai, tapi setidak-tidaknya kita sudah berikan pahala, pengampunan, dan ihsan belas daripada Allah dek kerana kesungguhan kita.
Ada orang gajinya sedikit tetapi duitnya tak pernah habis. Ada segelintir pula bergaji 5 angka tetapi tak pernah dapat berjaya menabung. Perkara ini boleh berlaku mungkin kerana orang yang bergaji kecil itu tadi menggunakan sumber dayanya dengan cara yang terbaik. Dia ada wang, tetapi dia gunakannya dengan berhikmah.
Makan makanan yang tidak mahal dan menjauhi pembaziran.
Membeli barangan secara serba-cukup dan menjauhi pemborosan.
Memanfaatkan apa yang sudah dimiliki dan menjauhi rasa mahu 'show-off' atau 'rasa mahu impress orang'.
Akhirnya yang bergaji sedikit tadi mampu menabung untuk ke Tanah Suci tetapi yang bergaji besar tidak mampu untuk ke sana.
Saat ini, dapat saya simpulkan bahawa kita tidak perlu terlalu ghairah untuk mencari sesuatu yang namanya rezeki. Yang namanya rezeki itu, Allah sudah tentukan sejak kita belum pun lahir lagi.
40 hari kita di dalam kandungan, dituliskan kepada kita kadar-kadar dan sukatan rezeki kita di atas dunia ini. Kita berusahalah sampai tercabut anak tekak sekalipun, rezeki kita tetap seperti yang Allah takdirkan.
Mungkin ada yang beranggapan, kalau aku tak berusaha aku tak akan berjaya.
Tapi sebelum itu kita kena define dulu makna kejayaan itu sebenarnya apa.
Berjaya sampai tertinggal solat berjemaah? Berjaya sampai tak boleh bertahajjud walaupun seminggu sekali? Berjaya sampai ibubapa tidak diziarah, tidak disantun? Berjaya sampai tak ada masa nak menuntut ilmu agama?
Nabi Muhammad S.A.W sendiri diajar secara direct oleh Allah S.W.T melalui surah al-fath. Dalam peristiwa fathul makkah (pembebasan Kota Mekah), apakah yang Allah perintahkan kepada Baginda?
Fasabbih... bihamdi rabbika...wastaghfir...
Bertasbihlah... Dengan Memuji Tuhanmu... Dan Beristigfarlah...
Kejayaan sebenar tak boleh lari daripada ketaatan, keyakinan, kepercayaan, dan keakraban dengan Allah.
Sebab tu kadang-kadang kegagalan kita ialah sebenarnya kejayaan kita.
Sebab barangkali dengan kegagalan, kita diselamatkan daripada fitnah-fitnah dunia, seterusnya diselamatkan daripada menjadi patung boneka yang bernyawa, tetapi tiada lagi ruh-ruh agama di dalamnya.
Ayuh, kita cari keberkatan di dalam setiap perbuatan dan tindakan kita. Kerana kita bukan mahu mengejar habuan-habuan dunia yang sedikit, tetapi kita mencari sesuatu yang lebih besar; kita mencari keredhaan Yang Maha Besar.
Jika kita mahu mendapat keredhaan Allah di akhirat, maka kita perlu mencari keredhaan Allah di dunia.
Everything will fall into their rightful places, at their rightful time.
And i am believing, and will still believing.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443