Haza min fadhli rabbi.

Lama saya tak update blog. Bukan sebab sibuk, tapi lebih kepada malas. Tak ada mood, dan tak ada idea.
Lebih-lebih lagi, saya baru sahaja berpindah ke rumah sewa baru. Jadi malas nak keluarkan laptop daripada dalam kotak, pasang atas meja. 

Alhamdulillah. Sebenarnya sudah 2 minggu saya mendapat kerja baharu. Kawan-kawan facebook saya mesti tahulah sebab kasihan mereka, mesti selalu naik atas notification mereka cerita pasal kerja saya. Haha.

Masya-Allah Tabarakallah.

Sungguh, terlalu banyak sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Secara umumnya, kepada kita. Benarlah kata Allah, kalau kita mahu mengira nikmat Allah satu per satu, nescaya kita takkan mampu. Dan kalau daun-daun kering atas muka bumi ini hendak dijadikan pena dan lautan luas pula dijadikan dakwat, pun tetap takkan mampu kita menulis semua nikmat itu sekalipun ditambah dengan dua atau tiga lagi lautan dakwat.

Sebab itulah Allah memberikan amaran,

Jika kita (telah) bersyukur, maka akan ditambah segala nikmat itu. Tetapi jika kita tidak bersyukur (kufur), maka azab Allah amatlah pedih.

Allah tidak menyatakan bahawa jika kita tidak syukur, nikmat itu akan ditarik. Dalam beberapa kes, makin seseorang itu kufur, bongkak, dan makin tidak bersyukur, makin banyak pula nikmat yang Allah beri kepada dia.

Ia dah jadi terbalik. Makin jahat, makin banyak nikmat. Inilah namanya Istidraj.

Nauzubillah.

Istidraj ialah hukuman mati dan siksaan yang ngeri. Wajib kita berjaga-jaga dan mohon perlindungan dengan Allah agar kita tidak diuji atau dihinakan dengan istidraj ini.

Hari ini, cuba kita bermuhasabah. Kita lihat diri kita. Apa nikmat yang Allah beri, dan berapa pula daripada nikmat-nikmat itu telah kita syukuri.

Untuk bersyukur, tidak cukup dengan sekadar lidah kita menyebut kalimah alhamdulillah. Kesyukuran juga perlu dibuktikan dengan amalan dan hati kita. Bagaimana?

Iaitu dengan kita menggunakan segala nikmat yang Allah beri itu di jalan yang Allah redhai. Kita gunakan nikmat Allah itu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah.

Contohnya, nikmat pekerjaan.

Kadang-kadang kita terlupa bahawa memiliki pekerjaan juga ialah sebuah nikmat yang besar. Hari ini, berapa juta orang yang menganggur? Keluar-keluar universiti, tak ada pekerjaan menunggu. Jika ada satu kekosongan, yang memintanya seribu. Maka yang selebihnya hanya bergelap mata dan kembali mencari.

Kalau dapat kerja pula, gaji yang diberikan pula tak seberapa. Gaji yang sedikit itu pula perlu perlu digunakan untuk membayar hutang sini-sana, termasuklah hutang pendidikan dan sebagainya.

Kerana itu saya cukup menyampah dengan segelintir pekerja yang sudah diberikan pekerjaan, tetapi bekerja secara lewah. Masuk kerja lambat, balik kerja awal. Masa bekerja, dia berborak. Lebih buruk, ber-Facebook. Ada pula yang hilang sifat amanah, dengan membuat claim palsu.

Dan seumpamanya.

Jika begitulah kualiti kerja kita, maka berhentilah. Perbuatan kita mengabaikan amanah sebagai pekerja ialah sebuah bentuk kezaliman kita kepada orang lain kerana seolah-olah, di ketika ada orang yang lebih berhak untuk duduk di kerusi kita, kita telah merampasnya daripada mereka!

Ada juga yang tak bersyukur punyai pasangan hidup. Natijahnya, berkahwin tak lama sudah berperang. Mula-mula hanya perang dingin kemudian melarat sampai akhirnya bercerai berai. 

Semuanya kerana hati kita tidak pandai bersyukur. Bersyukurlah kerana Allah berikan kita seorang teman dalam hijrah kita. Perkahwinan ini tujuannya ialah supaya diri seseorang individu itu makin dekat dengan Allah, bukannya makin menjauhkan.

Amat malang sekali seseorang yang jika dahulunya, jauh dengan Allah tetapi selepas berkahwin, jaraknya dengan Allah bertambah jauh.

Bercakap soal nikah, saya mohon kalian doakan saya kerana saya juga menyimpan hajat yang besar untuk menyunting seorang bidadari yang sejujurnya, terlalu tidak layak untuk diri ini untuk menghampiri sekalipun selangkah. Insya-Allah, jika maharnya ialah ketaqwaan, maka diri ini telahpun diserahkan untuk pengabdian kepada Khaliq.

Ok baik. Tinggalkan bab nikah.

Saya selalu bertemu dengan orang-orang yang rabun daripada melihat nikmat Allah keatas dirinya. Rabun dekat, kerana matanya cerah sahaja untuk melihat nikmat Allah kepada orang lain.

Contohnya, apabila mulutnya mengungkap, "Untunglah dia menang hadiah cabutan bertuah", sedangkan dalam masa yang sama, dia sedang menikmati gaji yang besar di posisinya.

Padahal 'cabutan bertuah' yang dinikmati oleh orang itu ialah sebenarnya satu solusi daripada Allah atas doanya agar diberikan kewangan untuk dia ke Mekah dan Madinah.

Dalam bab rezeki dan pemberian, usah kita memandang orang lain. Pandanglah kepada diri sendiri. 

Di saat kita rasakan orang lain lebih bernasib baik, kita kena ingat bahawa kita sebenarnya lebih bernasib baik.

Kerana Allah ada bermacam-macam cara untuk menjaga hamba-Nya, dan Allah ada bermacam-macam cara juga untuk menyisihkan hamba-Nya.

Dahulu, saya pernah berjumpa seorang lelaki yang tempang yang terlalu rajin solat berjemaah. Rupa-rupanya, dahulu dia seorang mat rempit yang sangat jauh dengan islam. Allah 'rezekikan' dia dengan kemalangan yang menghilangkan sebelah kakinya, maka dia segera bertaubat dan kembali kepada Allah.

Dengan harga 'sebelah kaki', dia kembali mendapatkan Islam. Bukan itu sahaja, dapat pula pekerjaan dan isteri serta anak yang baik.

Kita yang tidak kudung pula bagaimana?

Ada masa ke masjid untuk solat berjemaah?

Ada pekerjaan yang halal, atau ada anak-isteri yang solehah dan soleh?

 Ada pula orang yang melewati angka 30 tetapi belum bertemu jodoh. Di saat kerisauannya memuncak, dia sebenarnya sedang dijaga oleh Allah daripada lelaki-lelaki jahat. Dirinya pun tidak tahu kemungkinan jika dia berkahwin, suaminya kaki dadah, kaki mabuk, atau kaki perempuan.

Akhirnya bahagia yang dicari tidak ditemui, duka pula yang menjadi teman abadi.

Oleh itu belajarlah bersyukur. Segala nikmat yang Allah berikan ini ada harganya sekalipun kita mendapatnya dengan percuma. Mata yang celik, mulut yang bersuara, kaki tangan yang merasa, semua itu nikmat daripada Allah.

Gunakan deria ini untuk ketaatan, bukan untuk bermaksiat. 

Paling utama, bukan untuk memberi mudharat kepada orang.

Kerana syukur kita bukanlah untuk kepentingan Allah, tetapi syukur kita ialah untuk kita sedar siapa diri kita sebenarnya.

Tanpa Allah, apakah kita?
  
Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

yupz. sungguhlah. istidraj itu kadang-kadang kita tak sedar. Allah!

T.T

semoga segala nikmat buat kita syukur. nikmat itu juga ujian.

astaghfirullahalazim.

Balas
avatar

congratulation encik iqbal sbb dah bekerja, hari-hari naik kat home fb saya..haha, jk.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443