Kita sembah Tuhan yang sama, bro!

[kredit]
Ada satu persoalan yang berlegar-legar dalam ruang fikiran saya.

Agak-agaknya, boleh tak umat islam ini akhirnya bersatu?

Jika mengikutkan pada hadis, disebutkan bahawa umat islam akan berpecah sampai kepada 73 golongan yang mana hanya satu sahaja akan ke syurga iaitu ahli sunnah wal jamaah. Sedangkan yang lain ialah ahli neraka.

Maka ramai yang ambil hadis ini untuk mereka claim diri mereka sebagai pejuang ahli sunnah sejati dan mengkafirkan serta me-neraka-kan golongan yang tak sehaluan dan tak sependapat dengan mereka.

Wallahu'alam. Saya tak berani nak komen lebih-lebih kerana saya cuma orang awam. Orang biasa-biasa. Ilmu pun tak ada. Orang tak ada ilmu ni kena banyak mendengar dan menilai bukan banyak bercakap dan berdebat. Kalau tak, malu kat orang sebab nanti nampak kebodohan dan 'ke-macai-annya'.

Saya cintakan keamanan. Saya tak suka tengok orang bergaduh. Tengok gusti WWE pun saya tak suka sebab bergaduh. Lagilah saya tak suka tengok video orang bergaduh guna parang, tetak-menetak sampai terkulai tangan.

Saya juga tak suka pergi ke tempat orang serabut. Bising-bising dan berpusu-pusu. Bukan setakat pasar malam atau up-town, tapi juga kalau program yang ada jemput syeikh besar dari luar negara sekalipun, saya sanggup tak bersalam dan menguncup tangan mulia ulama kerana tak mahu bersesak-sesak yang mana akhirnya akan menyusahkan syeikh itu juga sendiri.

Saya akan serabut dengan kekecohan.

Termasuklah demonstrasi.

Saya sukakan perpaduan. Lagi-lagi sesama umat islam. Kita menyembah Tuhan yang sama, berimamkan rasul yang sama, berpandukan al-Quran yang sama, bersolatkan kiblat yang sama, tapi sayangnya hati kita bercabang-cabang.

Pada saya, umat islam perlu bersatu. Kerana dengan perpaduan sahajalah kita akan jadi kuat.

Umat islam hari ini lemah dan ditindas bukan kerana bilangan kita sedikit, tetapi kerana kita ini tidak berpegang kepada ajaran sebenar agama ini.

Kita tak ada semangat persaudaraan. Tak merasa nilai ukhuwah islamiyah. Kita bukan bercakap soal 'mendahulukan kepentingan saudara' kita. Sebab kita memang 'fail' dalam bab tu. Langsung tak macam sahabat-sahabat Nabi. Mereka sangat mencintai saudara seakidah mereka sampaikan nak mati pun, mereka sanggup dahulukan saudara mereka untuk meneguk air (dalam peperangan Yarmuk, boleh google cerita ni).

Kita ni besar kepala dan ego sampaikan untuk berlapang dada pun sudah tak boleh.

Agak-agaknya boleh mati kut kalau tak mencari kesalahan orang.

Agaknya boleh masuk neraka kut kalau kita tak mengungkit perbezaan kita dengan dia.

Agaknya boleh patah kaki, patah tangan kut kalau kita duduk semeja, minum kopi sambil berbual-bual mesra.

Hari ini, kita seakan-akan membiarkan musuh menguasai kita.

Kita tahu musuh kita orang kafir, orang munafik, Yahudi, Syiah,  syaitan dan nafsu. Tapi kita ego, kita masih nak kata musuh kita ialah orang-orang yang bukan dari jemaah kita.

Bukan jemaah aku.

Bukan kumpulan aku.

Bukan grup aku.

Sampaikan anak-anak muda tidak bersolat, kita tak rasakan itu masalah.

Anak orang islam bergomol dalam semak, itu bukan masalah.

Anak orang islam menari bogel di tiang-tiang, itu bukan masalah.

Anak orang islam berjudi, menggadaikan harta mak ayah itu bukan masalah.

Anak orang islam merasuah, merompak harta negara, menyapu licin kekayaan negara itu bukan masalah.

Mungkin inilah yang pepatah melayu kata, 'menang sorak kampung tergadai'.

Saya sangat menyokong agenda perpaduan. Perpaduan yang melepasi parti politik, manhaj pegangan, dan fikrah kumpulan.

Sebab tu ada sesetengah ustaz tu saya boikot sebab mereka bila diberi pentas agama di masjid untuk mengajak umat islam kembali kepada islam, dia mengajak umat islam kepada parti politik.

Sesungguhnya islam itu melangkaui perbezaan bangsa, budaya, politik, sosial, dan juga linguistik.

Jangan kerana perbezaan yang kecil, kita lupa musuh sebenar kita.

Islam pernah mengalami kejatuhan kerana perpecahan dalaman, dan islam juga pernah kembali gemilang dengan penyatuan dalaman. Hari ini jika kita masih ego, tidak mahu menerima persamaan dan tidak mahu berlapang dada dengan perbezaan, maka kita akan jatuh hari-hari.

Sebaliknya jika kita mula boleh berlapang dada dengan perbezaan, maka insya-Allah kita akan kembali kepada zaman gemilang kita. Lagipun dunia sudah di saat-saat hujung. Dah nak kiamat. Tanda-tanda besar kiamat pun sudah tiba. Kita kena yakin bahawa islam pada akhirnya, akan kembali berada di tempat yang tertinggi (iaitu tempat yang selayaknya ia berada sekarang).

Dan di saat itu, kita akan menjadi salah satu daripada dua kumpulan. Kita sama ada akan ikut dajjal atau kita akan ikut Imam Mahdi.

Mari kembali kepada islam. Kita wajib berlapang dada. Jangan cepat mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan kita. Kita perlu banyak bersabar. Ada orang yang menentang kerana jahil, cuma sebahagian yang menentang kerana ego.

Orang jahil perlu dibimbing. Modalnya cuma sabar dan ilmu.

Berlapang dadalah dalam berbeza pandangan.

Ingat pesan Nabi,

"Perkara yang paling memberatkan timbangan mizan di hari kiamat nanti ialah akhlak yang baik"

Jika kepada musuh pun kita disuruh berakhlak, takkanlah sesama saudara seakidah pun kita tak rasa kita perlu berakhlak?
 
(Saya menyokong sebarang agenda penyatuan dan saya menolak sebarang bentuk usaha untuk memecah belahkan kesatuan umat islam di Malaysia, antara bila seorang mufti 'menghalalkan darah' umat islam kerana kejahilannya dalam mengeluarkan pandangan peribadinya)
 
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

nice entri, singgah sini japp.... jemput singgah blog ana sekali,in sya Allah ada manfaat.. :)

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443