Motivasi buat Guru.


Saya ingat lagi masa saya sekolah rendah dulu. Satu hari, guru kelas kami suruh kami bawa bendera Malaysia ke sekolah. Ala, bendera malaysia yang pada batang dia tu ada gula-gula. Masa tu baru 20 sen sahaja.

Tapi hendak dijadikan cerita, bendera tu sudah habis. Saya merayu-rayu suruh ayah saya carikannya. Habis semua kedai di sekitar kampung kami pergi cari dan semua kedai dah habis.

Waktu tu saya masih terlalu naif. Masih budak. Jadi bila tak dapat benda yang cikgu suruh bawa, mulalah menggelabah tak tentu pasal. Saya tetap gesa, suruh dan meragam minta ayah carikan juga sampai dapat bendera Malaysia tu. Seakan-akan saya tidak faham perkataan 'tidak ada'.

Saya rasa semua orang pun begitu. Masa kita kecil, kebanyakan kita ni menganggap arahan, suruhan, dan kata-kata daripada guru adalah lebih bernilai daripada kata-kata, arahan dan suruhan daripada ibubapa kita sendiri. Lebih-lebih lagi kalau kita dapat guru yang tegas.

Lagilah kita taat. Tapi itu dahulu. Zaman 90-an. Sekarang ni anak murid tak buat kerja sekolah pun guru-guru tidak boleh marah mereka. Kalau cikgu hukum anak murid, nanti cikgu pula akan dihukum oleh sistem pendidikan yang makin lama, makin jauh daripada falsafah pendidikan itu sendiri.

Sistem yang membuncitkan perut orang atasan dan mencekik leher-leher orang di bawah. Saya ada dua orang kakak yang bergelar cikgu, dan seorang kakak ipar yang juga seorang guru. Jadi saya cukup masak dengan setiap keperitan mereka kerana memikul tugas mendidik.

Hakikatnya cabaran mendidik di tahun 2000 sudah jauh berbeza. Kita tidak boleh menggunakan tools yang sama untuk memperbaiki kerosakan yang sama.

Tetapi kasih-sayang tetap merupakan alat pertukangan yang paling kuat untuk membina manusia.

Pendidikan ialah pertukangan. Saya pernah membaca satu kata-kata hikmat,

"Membina seorang kanak-kanak adalah lebih mudah daripada memperbaiki orang dewasa"

Kerana membinalah, tugas perguruan jadi mulia.

Kerana guru hakikatnya ialah pendakwah. Pendakwah yang paling berpengaruh kepada anak-anak didiknya.

Saya teringat semula kepada semua cikgu-cikgu saya terutamanya cikgu-cikgu masa saya sekolah rendah. Berkat usaha mereka mendidik anak-anak kampung inilah, saya dan kawan-kawan berjaya. Saya tidak boleh katakan bahawa anak kampung ini semuanya berjaya. Tidak. Tetapi saya boleh berbangga kerana anak-anak kampung ini semuanya menjadi manusia.

Tiada yang perjalanan hidupnya sangkut kerana dadah, jenayah, rompakan, gangster, dan seumpamanya.

Semua anak-anak kampung ini menjadi manusia, walaupun ada yang menjadi peneroka, penternak, mengambil upah membuat kerja-kerja kampung, dan seumapanya. Tapi kami memegang kata-kata mereka (guru-guru kami dulu) supaya menjadi manusia yang kewujudannya tidak menyusahkan orang lain.

Guru-guru, kalian adalah pendakwah. Dakwahmu ialah dengan kasih sayang, keprihatianan, dan perhatian.

Jika satu hari, kamu melihat anak muridmu berduka, maka pujuklah dia. Berkongsilah duka dengannya.

Jika satu hari, kamu melihat anak muridmu membuat salah, maka nasihati dia. Jangan malukannya di depan sahabatnya. Tapi bawalah dia ke kantin, kenyangkan perutnya, kemudia barulah nasihatinya dengan sentuhan cintamu.

Jika satu hari, kamu lihat anak muridmu menangis, maka kesatlah air matanya. Jangan biarkan jiwa yang dahaga dengan kasih sayang itu kering daripada sesuatu yang dia berhak untuk mendapatkannya.

Jika satu hari, kamu lihat anak muridmu malas, degil, nakal, lembap dan seumpamanya, maka fikirlah bagaimana mahu menyentuh hati mereka. Mereka tidak diciptakan oleh Allah untuk bersifat sebegitu, tetapi mungkin ada sesuatu yang menyebabkan mereka berubah menjadi begitu.

Guru-guru perlu ingat bahawa kejayaan anak-anak kita bukanlah atas ukuran akademik semata-mata tetapi yang lebih penting ialah kepada pencapaian agamanya. Jangan ghairah mengejar A+ dalam subjek yang kita ajar sahaja.

Sebaliknya kita perlu melihat mereka sebagai ulama kecil.

Seorang anak kecil yang bakal menjadi ulama, profesional, dan khalifah.

Jangan racun fikiran mereka untuk mengejar tempat di tengah-tengah masyarakat.

Jangan racun fikiran mereka untuk mengejar pekerjaan yang hebat.

Jangan racun mereka dengan mimpi yang indah-indah hingga terlupa realiti bahawa hidup ini akhirnya akan ada penamatnya.

Apalah salahnya jika kita mengajar mereka solat, membaca Quran. sekalipun kita bukan ibubapanya. Dan apalah salahnya kita mengingatkan mereka dengan solat dan menyemak jadual solat mereka, walaupun kita bukanlah orang yang bertanggungjawab untuk menjaganya.

Benar firman Allah,

"Jaga dirimu dan ahli keluargamu daripada bakaran api neraka"

Tapi hari ini kita melihat sesetengah ibu-bapa sedang 'membakar' anak-anak mereka, dan adakah kita akan terus membiarkannya sahaja?

Allah sedang memuliakan kalian dengan peranan mendidik. Berbanggalah dan bersyukurlah dengan kemulian itu.

Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Thank you :)Sometimes we forgot the real purpose of us becoming teachers. It is great to have someone from outside the profession to remind us

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443