February 4, 2014

This worldly life has an end.

Allah ciptakan dunia untuk manusia,
Tapi manusia diciptakan untuk akhirat.

Manusia akan rosak bila mencari dunia, tetapi akan bahagia bila mencari akhirat. Manusia juga tidak akan mendapat dunia jika mereka mencarinya, tetapi mereka akan mendapatkan dunia jika mereka tidak mencari akhirat. Kerana sememangnya, itulah tujuan Allah ciptakan dunia.

Untuk berbakti kepada kita. 

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, "Dunia ini ialah penjara bagi orang beriman, tetapi syurga kepada orang kafir"

Memberi gambaran bahawa hanya orang kafir sahaja yang akan tergila-gilakan kesenangan dunia.

Padahal di dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, "Jika dunia ini adalah lebih bernilai daripada sebelah sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi setitik air pun kepada orang kafir".

Betapa Nabi nak menegaskan kepada kita bahawa dunia ini sementara. Keseronokannya hanya sementara. Pesonanya hanya sementara. Keindahan, kemahsyuran, dan kemewahan, semua itu sangat sementara.

Kerana itulah apabila Baginda menerangkan tentang dunia, Baginda menyatakan bahawa dunia ini adalah perhiasan sahaja. Dan sebaik-baik perhiasan itu adalah isteri (pasangan) yang solehah.

Ibnu Hajar al-asqalani ialah antara ulama yang Allah berikannya kelebihan rezeki. Satu hari, beliau terserempak dengan seorang yahudi (kafir) miskin di jalanan.

Yahudi itu berkata kepadanya, "Bukankah kata kamu dunia ini ialah syurga kepada orang kafir dan pejara kepada orang beriman? Maka seharusnya kekayaanmu itu kamu berikan kepada aku"

Lalu jawab Ibnu Hajar, "Benar. Kerana itulah di dunia ini kamu miskin, dan diakhirat nanti kamu akan ditimpakan dengan lebih banyak kesusahan, kehinaan dan dihumban ke dalam neraka"

Ini mengingatkan kita kepada sebuah sabdaan Nabi tentang nikmat di dunia. 

Kita bukanlah dilarang daripada mencari kelebihan-kelebihan di dunia. Bahkan dalam surah al-Jumaah yang sering kita baca itupun ada perintah daripada Allah supaya kita bertebaran di bumi-Nya dan mencari nikmat-nikmat yang Allah jadikan di atasnya.

Cuma ke mana dan bagaimana harus kita gunakan dunia itu tadi. Bagaimana agar dunia yang kita pegang boleh mambawa kita kepada keamanan akhirat?

Kata ulama, dunia itu letaknya di tangan kita. Kita wajib pegang dengan kemas. Manakala akhirat pula letaknya di atas kepala kita. Wajib kita menjunjungnya dengan cermat.

Apabila berjalan, adakalanya kita hilang keseimbangan. Lalu, akhirat yang kita junjung itu pun akan terjatuh. Di saat itu, wajib kita melepaskan dunia yang berada di tangan kita lalu tangan itu digunakan untuk memegang dan menstabilkan semula akhirat di atas kepala kita.

Bila dah stabil, kutip balik dan pegang semula dunia itu. Bukan bermakna kita perlu buang dunia ini!

Bila bercakap tentang dunia, apa sebenarnya yang kita cari daripadanya? Antara nikmat dunia yang Nabi sebut dalam hadis, adalah antaranya rumah yang besar, jiran-tetangga yang baik, teman hidup yang solehah, dan kenderaan yang baik.

Tapi dalam masa yang sama, cuba kita lihat bagaimana dengan rumah Nabi.

Digambarkan bahawa rumah Rasulullah dengan Aisyah cuma luasanya sekitar 5 meter panjang dan 3 meter lebar sahaja. Tetapi apakah yang menjadikan rumah itu besar?

Benar. Yang menjadikan rumah kecil itu selesa, mendamaikan, membahagiakan, dan menyeronokkan cumalah orang di dalamnya.

Seorang Nabi, 
Dan seorang ummul mukminin.

Setiap orang mahu bahagia. Tetapi bahagia itu bukan datang daripada rumah besar, kereta mewah, atau perhiasan yang mahal, tetapi bahagia itu datang daripada jiwa yang besar.

Jiwa yang merasa kenyang dengan dunia tetapi lapar dengan akhirat.

Jom jadi kaya untuk membantu orang. Berniatlah untuk membolot nikmat dunia semata-mata untuk mendapatkan kemuliaan akhirat melalui jalan infak dan jihad. 

Tapi nasihat saya supaya kita beringat, bahawa kalau semasa kita miskin kita tak mampu bersedekah, maka percayalah bahawa jika kita kaya, lebih-lebih lagilah kita takkan mampu untuk bersedekah.

Jangan tertipu dengan niat yang mulia kita hari ini kerana iblis juga dahulu pernah mulia!
   


3 komen:

~PENCHENTA~ said...

Yang payah dalam setiap gerak adalah menjaga niat. Kalau kita buat perkara sederhana pun, tapi dengan niat yang salah tak jalan juga. Sobs.

Semoga Allah jaga hati-hati kita semua.

CIK KIWI said...

niat kita, walaupun benar pada mulanya tapi sering terserong dipertengahan jalan. kita yang lemah..isk isk

Penulis Setia said...

Sy nk copy ayt awk yer..tq..hihih..nice entry. .

Related Posts with Thumbnails