Tapi dalam hadis yang lain, Nabi S.A.W sangat menggalakkan kita untuk melaksanakan dakwah, saling memberi nasihat, teguran, bersilaturrahim, bertukar ucapan salam, dan seumpamanya.
Tapi dalam masa yang sama kita perlu ingat bahawa kita semua pasti akan diuji dengan apa yang kita perkatakan.
Dua tiga tahun kebelakangan ini, aku dah nampak macam-macam bukti bahawa memang kita akan diuji dengan benda yang kita sendiri cakapkan. Bila datang saja ujian, semua orang tidak dapat mengelak.
Baik dia seorang ustaz, seorang ulama, guru, ataupun pakar motivasi.
Baik dia berniaga air liur, mahupun dia ikhlas memberi ceramah.
Baik di dalam dewan berhawa dingin, atau di lantai surau usang yang menunggu rebah.
Semua orang akan diuji dengan apa yang lidahnya pernah sebut.
Aku bukan nak mengata kepada sesiapa tapi aku nak ambil juga contoh supaya kita boleh relate dengan diri kita. Dahulu ada seorang pakar motivasi yang cukup terkenal. Bukan hanya di Tanah air kita tapi juga di negara jiran kita.
Tapi kerana sedikit kesilapannya hingga membuatkan segelintir orang marah dengannya, orang mula menggali keaiban dirinya. Terkantoi, bahawa lidah selalu menasihat orang itu rupa-rupanya jauh panggang dari api.
Aku sengaja tulis secara general. Tak sebut nama, dan tak sebut apakah keaibannya. Kerana kata Imam al-Ghazali dalam Bidayatul Hidayah, termasuk dalam mengumpat itu adalah bercakap tentang seseorang secara berlapik atau kiasan, tapi orang boleh tahu dan boleh agak siapa orang yang diperkatakan itu walaupun tak disebut nama si polan bin si polan itu.
Tanpa mahu memanjangkan cerita, aku nak berpesan kepada diri aku dan berwasiat kepada ahli keluarga aku, supaya berhati-hati dan berpada-pada dalam menasihati orang lain. Memberi nasihat itu mudah. Tapi menerima, tidak semudah itu.
Sebab itu cuba ubah cara pandang kita, agar kita lebih banyak melihat kepada kesalahan diri kita dan lebih banyak melihat kepada kebaikan orang lain.
Bak kata Syeik Mustafa masyhur, "Ubahlah dirimu, dan ajak orang lain".
Jangan nak popular saja konon nak ubah semua orang.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443