#17 Bila dah benci

Kata orang, kalau dah suka, gunung pun sanggup di daki. Lautan api pun sanggup direnangi. Tapi bila dah benci, pandang muka pun hilang selera.

Kebencian adalah satu penyakit.

Bak kata Taylor Swift dalam sebuah lagunya, "Haters gonna hate, hate, hate, hate".

Pesan Saidina Ali, "Cintailah seseorang sekadarnya kerana mungkin esok kau akan membencinya, dan bencilah seseorang sekadarnya kerana mungkin esok kau akan mencintainya".

Bab hati dan perasaan ni bukannya kita yang kawal. Orang yang bermusuhan 40 tahun pun akhirnya boleh berkawan, dan kawan yang dah kenal 40 tahun pun boleh bermusuhan.

Tapi kita kena sedar batasnya bila membenci. Dalam Islam, seseorang yang bergaduh dan tam bertegur sapa lebih dari 3 hari pun dah dikira berdosa.

Islam sangat menitik beratkan soal silaturrahim. Hinggakan siapa yang memperbaiki silaturrahim, dalam hadis disebutkan bahawa usia mereka akan dipanjangkan Allah. Tetapi siapa yang memutuskannya, akan menerima balasan yang buruk.

Nak tunjuk betapa pentingnya hubungan ini dijaga, islam bahkan membenarkan seseorang untuk berbohong dengan tujuan mahu meredakan kemarahan kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh, Ali dan Abu bergaduh. Ahmad pula pening kepala kerana kedua-duanya ialah sahabatnya. Lalu dia pun berbohong. Dia pergi kepada Ali dan berkata yang Abu menyesali perbuatannya lalu mahu meminta maaf. Kemudian dia pergi pula kepada Abu dan berkata perkara yang sama. Lalu Ali dan Abu pun saling bermaafan.

Bohong tu dosa, tapi tidak berdosa sekiranya untuk mendamaikan dua pihak yang bergaduh.

Kita hidup hari ini dalam dunia yang penuh kebencian. Bukan setakat penagih dadah sahaja yang bencikan polis narkotik, tapi para ahli agama pun ada dendam kesumat dan kebencian yang melampau-lampau kepada orang islam yang lain.

Benci kumpulan lain sampai melebihi kebencian kepada syaitan. Pada mereka, syaitan itu lebih baik daripada orang yang mengkritik kumpulan mereka!

Sebab tu lidah mereka asyik berzikir, "Wahabi! Wahabi",

Dan bertempik, "Ahli bida'ah! Penyembah kubur!"

Aku kasihan dengan kelompok manusia sebegini. Sanggup mengkafirkan orang. Belum cerita lagi bab mencaci maki. Ada-ada sahaja yang tak kena di mata kita. Kadang-kadang benda yang remeh temeh pun boleh jadi peluru untuk membunuh peribadi. Ada pula yang sanggup travel melalui time-machine, sampaikan perkara yang dah 20, 30 tahun lepas pun masih diungkit. Padahal mamat tu dah bertaubat dan mungkin dah diterima pun oleh Allah.

Benda salah, dipersalah. Benda betul, pun dipersalah!

Padahal tugas mengajak manusia menjadi kafir ialah tugas syaitan dan iblis. Tapi orang ini sudahpun menjadi salah seekor syaitan.

Ahli sunnah yang sebenar pasti mahu saudaranya masuk ke syurga bersamanya, bukannya mahu saudaranya masuk ke neraka bersama kumpulannya.

Sudahlah-sudahlah membenci. Kita hidup dalam dunia yang terlalu sarat dengan api kebencian. Bimbang-bimbang kerana terlalu asyik bermain api, kita sendiri yang terbakar.

Semoga Allah sentiasa bimbing kita kepada kebenaran, dan tunjukkan jalan jika kita kesesatan.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443