#18 Perihal Ikhlas

Ustaz pernah beritahu, syarat agar amalan kita diterima ada 2. Pertama ikut cara Nabi, kedua ikhlas. Nabi ajar solat subuh 2 rakaat, tapi kita buat 3 maka tak akan diterima solat kita walaupun nampak macam bagus sebab ada extra.

Satu lagi kerana ikhlas.

Ada sebuah hadis yang kalau kita baca, kita boleh rasa seram sejuk. Aku jumpa hadis ni dalam kitab fadhilat amal. Memang selalu baca hadis ni supaya menjadi peringatan kepada diri sendiri.

Di hari kiamat nanti, akan ada manusia yang dibangkitkan sebagai seorang yang sangat dermawan. Lalu ditanya oleh Allah, kemana hartanya yang banyak-banyak ni dibelanjakan. Jawabnya, "Ya Allah, aku gunakan hartaku untuk melakukan kebajikan", lalu Allah berfirman, "Kamu dusta. Kamu hanya melakukan itu kerana mahu manusia lain mengatakan kamu sebagai dermawan, dan mereka sudah melakukannya.", lalu disuruh pada malaikat supaya lelaki ini dihumban ke dalam neraka.

Antara kenikmatan yang paling besar dalam dunia ini ialah nikmat dipuji dan dikenali orang.

Setiap hati manusia suka pada pujian. Orang yang hodoh pun suka jika sesekali dikata cantik oleh orang lain walaupun dia sebenarnya tahu orang itu cuma mahu mengambil hati. Tapi dia tetap suka. Kenapa? Kerana memang begitu sifat hati. Suka pada pujian manusia lain.

Syaitan pula bijaksana. Dia tahu manusia lemah di situ, maka dia pun serang di weak point kita. Dia bisikkan kata-kata pujian hinggakan hati kita berbunga-bunga.

Maka akhirnya timbullah penyakit hati seperti riak, ujub dan sum'ah. Kita mula merasa bangga dengan diri sendiri, rasa mahu menunjuk-nunjuk dan mahu memberitahu semua orang tentang kebaikan kita.

Ulama-ulama kita dah berikan panduan. Ibaratkan kebaikan yang kita lakukan itu seperti kita sedang berak. Adakah kalau kita berak, kita akan biar tahi itu di dalam mangkuk tandas untuk orang tengok?

Jelas sekali tidak. Kita sendiri pun taknak tengok, inikan pula orang lain. Kita akan pam bersihkan. Biar tak ada bau langsung. Bahkan kita tak akan fikir-fikir semula pun perihal tahi itu. Tak mahu ingat pun.

Begitulah juga jika mahu selamat. Bila dah buat kebaikan kita jangan mengenang-ngenang pun pada kebaikan kita itu. Biar Allah sahaja yang tahu dan biar Allah sahaja yang 'bercakap-cakap' tentang kita.

Antara nasihat daripada Syeikh Nuruddin, dia melihat orang-orang zaman sekarang ini ramai yang suka selfie sekalipun dalam ibadah. Dah tak fokus. Emak aku sendiri pun pernah menyuarakan rasa pelik beliau bila orang pergi umrah banyak sangat ambil gambar. Zaman dia dulu dia kata susah sangat nak bawa kamera. Kalau askar arab nampak, mereka akan rampas. Tapi hari ni di depan hajarul aswad masa sedang tawaf pun boleh selfie dan rakam video.


Ikhlas ni umpama semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang gelap gelita. Tak siapa pun nampak. Kerana itulah kita bertanggungjawab untuk mengikhlaskan diri kita. Orang lain tak boleh jadikan kita ikhlas, dan kita juga tak boleh jadikan mereka ikhlas.

Sendiri-sendiri kena usaha.

Pertama dengan ilmu. Kedua dengan menanam rasa syukur di dalam hati. Kita perlu sentiasa didik hati yang kebaikan yang kita buat itu bukanlah untuk kebaikan Allah. Allah Maha Suci daripada berhajatkan makhluk. Sebaliknya kalau kita buat baik, itu untuk keselamatan kita sendiri. Ketiga, perlu lazimkan perbuatan baik itu supaya menjadi tabiat seterusnya menjadi akhlak kita.

Bak kata Imam Ghazali, akhlak ialah perkara yang kita lakukan di luar minda sedar kita. Automatik buat.

Contoh, nampak ada sampah kat tepi jalan. Automatik tangan pergi kutip. Bukannya pandang kiri kanan dulu tengok ada orang tengok atau tak. Peduli apa orang tengok. Dia nak puji atau nak ejek, mengapa kita perlu peduli.

Senang kata, tak bertambah dengan pujian dan tak berkurangan dek kejian.

Akhir sekali doa lah supaya Allah berikan kita ikhlas. Kerana firman-Nya, syaitan akan berjaya menggoda semua anak adam, kecuali hamba-hamba Allah yang mukhlis.

Mukhlisin itu ialah golongan yang ikhlas. Moga kita ikhlas menyembah Allah!

Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443