Aku cuma manusia biasa, yang terliur dengan wang besar.
Allah berkata dalam surah Ali Imran, bahawa dijadikan indah di mata manusia kecintaan kepada wanita, harta, ladang, haiwan ternak, dan nikmat-nikmat dunia.
Cinta saja tak salah. Yang salah ialah bila membabi buta hingga yang halal disapu licin, yang haram pula makin terasa enak.
Manusia memang gelojoh dan tamak. Nafsu serakah menjadikan manusia tak pernah berasa puas dan bersyukur dengan apa yang mereka ada. Kalaulah dia ada satu lembah emas pun, dia akan rasa tak cukup dan meminta satu lagi. Padahal harta yang dia ada sudah lebih daripada mencukupi.
Kenapa manusia boleh jadi rakus dan tamak sebegini?
Pertama sekali, kerana hilang rasa berTuhan dalam kehidupan. Kita tengok orang politik yang jahat ni, kadang-kadang solat jumaat atau solat hari raya, dia duduk di depan sekali. Bahkan ada yang acah-acah bagus nak jadi imam pula. Tapi kenapa di belakang orang, dia tak rasa geli melihat perbuatan dirinya sendiri memakan harta haram?
Kerana Tuhan diletakkan di masjid-masjid sahaja. Allah pun dianggap seperti berhala, disembah hanya sekali-sekala. Langsung tak terasa yang Allah Maha Melihat. Langsung tak terdetik dalam hati yang Allah Maha Tahu every detail.
Padahal dalam surah Yassin yang kita selalu baca tu ada sebuah ayat, bahawa pada hari kiamat nanti mulut kita akan dikunci. Sebaliknya kaki dan tangan kita yang akan berbicara dan mengkantoikan setiap perbuatan kita yang kita buat di belakang orang.
Tetapi kita hairan, kenapa kadangkala orang-orang yang tidak beragama pun tidak menerima rasuah. Orang islam yang solat jumaat (solat 5 waktu mungkin tidak) boleh pula selamba memakan suap. Dari sekecil-kecil nilaian RM10 sampailah RM 2.6 billion.
Aku syak kerana sistem pendidikan kita yang memandang remeh perihal integriti. Di negara membangun yang lain, kanak-kanak yang masih hijau usianya tidak digesa untuk segera pandai membaca dan mengira, tetapi mereka digilap supaya memiliki sifat-sifat yang mulia seperti menjaga kebersihan, menjaga masa, berdisiplin, dan juga berintegriti.
Kanak-kanak seawal usia 7 tahun sudah diajar untuk mempunyai prinsip diri yang teguh. Apa yang baik, hendaklah dilakukan manakala yang tidak baik hendaklah ditinggalkan.
Kesimpulannya, sama-sama kita bermuhasabah. Pemberi rasuah dan penerima rasuah, kedua-dua akan dihumbankan ke dalam neraka (jika tidak bertaubat). Ubah cara pandang kita. Rasuah ini racun. Sebuah organisasi boleh runtuh kerana rasuah. Dan sebuah tamadun boleh dikalahkan, juga kerana rasuah.
Benar sekali kata Nabi dalam sebuah hadis, "Dunia ini ialah penjara bagi kaum muslimin, tetapi syurga bagi orang kafir."
Kau terliur sangat dengan benda haram, nah, rasakan balasan di dunia. Dan tunggu main course nanti selepas mati.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443