Minggu lepas viral kes SUAMI ORANG (si bodoh yang dah isteri) berzina dengan seorang perempuan. Viral juga video perempuan itu dibelasah oleh isteri lelaki tadi. Dengar kata sampai kena pukul dikepala dengan botol arak. Dengar cerita lagi, dia tengah berbogel masa ditangkap.
Aku tak tengok. Walaupun sebelah hati aku rasa nak tengok, tapi aku takut nak ikut kata hati aku. Benda dosa, aib, dan kotor. Boleh buatkan hati kita mati.
Kemudian keesokan harinya kecoh pula ibu kepada perempuan tu buat press conference merayu rakyat Malaysia supaya memaafkan anaknya dan berhenti menyebarkan video anaknya itu.
Kelmarin pula viral video seorang remaja melayu bersenjatakan parang merompak dua orang amoi di pintu masuk sebuah taman perumahan. Security guard pun duk tengok saja, takut dengan parangnya.
Lalu selepas polis mencarinya melalui rakaman video CCTV, abangnya tampil di Facebook dengan permohonan maaf. Kononnya meminta si perompak bersenjatakan parang ini dimaafkan dan didoakan agar diberi hidayah oleh Allah. Dia juga mengakui kegagalannya untuk mendidik adiknya hingga adiknya menjadi perompak berparang.
Ini sekadar 2 contoh. Ada banyak lagi kes-kes yang terpencil yang anak dan adik buat masalah, mak atau abang akan menjadi lidah kepada mereka untuk meminta maaf buat mereka.
Moga-moga dengan 2 kes ini sebagai contoh, kita dapat bermuhasabah. Pertama, kita perlu bersikap adil. Jangan bila anak orang buat jahat, kita pukul. Tapi bila anak sendiri buat jahat, kita belai. Kecintaan kepada anak atau adik tak menjadi yang salah itu betul.
Kedua, didiklah anak dan adik kita sebaiknya. Perhatikan dengan siapa mereka berkawan dan menghabiskan masanya. Lebih baik anak-anak bermain di dalam rumah berbanding berpeleseran di luar rumah. Berikan kebebasan yang sewajarnya. Jangan terlalu bebas sampai anak menjadi pelesit dan jangan terlalu menyekat hingga anak menjadi introvert.
Ketiga, sama-sama ambil peranan dalam menyelesaikan masalah. Jangan menjadi ibubapa atau abang yang terlalu ego hinggakan membuang anak-anak yang bermasalah ini. Remaja yang bermasalah ini dahagakan kasih sayang dan perhatian. Kalau mereka dibuang, maka mereka akan menjadi semakin jahat dan liar.
Keempat, bila nampak aib orang dibuka luas, cuba untuk tidak mengambil bahagian dalam penyebarannya. Siapa tahu esok lusa anak kita yang disangka muslimah ada permainan di belakang kita. Didik anak ni sukar.
Kelima, berdoalah agar kita diberi kekuatan untuk menjaga keluarga kita daripada api neraka.
Moga Allah tunjukkan kita jalan.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443