#22 Islam dan alam sekitar

"Ustaz, apa itu istinjak?", soal Fatimah. Murid tahun 1 di Sekolah Agama Bunga Matahari.

"Istinjak itu ialah menyucikan diri dari najis selepas kita buang air besar atau buang air kecil", jawab Ustaz Jamil ringkas. Sengaja dia jawab begitu kerana anak muridnya yang bertanya itu baru berusia 7 tahun. Dia belum perlu menerangkan tentang qubul dan dubur lagi.

"Kenapa perlu bersihkan diri Ustaz?", tanya murid yang lain pula.

Ustaz Jamil tergelak kecil. "Iyalah perlulah bersihkan. Takkan awak nak biar pakaian awak ada najis, kotor dan berbau busuk. Gelilah".

"Oooo. Kalau macam tu apa pula hukum orang yang tak suka buat kotor, ustaz?",

"Macam dia ni Ustaz", seorang pelajar perempuan menunding jari kepada murid lelaki di depannya. "Amir ni suka sangat buang sampah merata-rata. Kadang-kadang dia buang plastik bungkusan roti pada saya", dia mengadu.

Budak bernama Amir tu merah padam. Mungkin malu, mungkin juga takut dimarahi.

"Tapi Ustaz, saya buang plastik roti je. Kilang dekat rumah saya tu lagi teruk, buang macam-macam ke dalam sungai. Habis mati semua ikan. Air sungai pun busuk dan kotor", Amir sedikit defensif.

Ustaz Jamil terdiam. Tak tahu nak jawab apa.

Kita semua ini ialah Ustaz Amir. Solat 5 waktu. Tahu hukum asas agama. Mengaku sayang dan cintakan Islam. Bercita-cita untuk mati syahid. Ada keinginan untuk menegakkan hukum hudud, bahkan berdoa agar dimasukkan ke dalam syurga.

Tapi kita seringkali terdiam bila lakon layar berkenaan pencemaran alam sekitar dimainkan di depan kita.

Mata yang celik boleh buta tiba-tiba. Telinga, mulut, tiba-tiba sahaja pekak dan bisu.

Adakah alam sekitar itu berpisah dengan Islam? Bukankah Islam agama syumul. Tetapi kenapa alim-ulama, ustaz-ustazah tidak ramai yang ambil peduli tentang isu alam sekitar. Semua ghairah bercakap tentang hukum itu dan ini tapi kerosakan di depan mata sampai ke hari ini belum jumpa dalil untuk dihukumkan.

Bukan nak kata siapa-siapa. Tapi lihatlah apa yang berlaku di Kelantan. Kerajaan Islam Kelantan bukan main tegas dalam bab pakaian sampaikan hari-hari saman dikeluarkan kepada warga kelantan yang berpakaian kurang sopan.

Bagus memanglah bagus. Tapi dalam masa yang sama, isu pembalakan di daerah sekitar Gua Musang dan Kuala Krai, tidak pula mahu diberikan perhatian yang saksama. Bahkan jelik sekali apabila orang-orang asli yang melakukan protes kerana hutan mereka digondol, mereka pula yang dipersalahkan.

Bila berlaku banjir, nama Allah dijaja. Kononnya Allah menguji rakyat Kelantan. Padahal paling tepat, Allah menguji sebahagian dan menghukum sebahagiannya. Hutan yang sepatutnya menjadi kawasan tadahan hujan, gondol diterokai manusia.

Bahkan lebih mengejutkan bila Timbalan Menteri Besar boleh pula keluarkan kenyataan, "Berikan kami royalti minyak, kami akan hentikan pembalakan".

Pembalakan yang tak terkawal ini adalah musibah. Dah berkali-kali Allah tunjukkan kepada kita seperti di Cameron Highland dan di Kuala Krai. Tapi manusia tetap rakus dan bodoh. Agaknya manusia lupa tugasnya sebagai khalifah di muka bumi bukan sekadar mahu menjaga manusia, tetapi juga menjaga alam sekitar dan makhluk yang berteduh di sekitarnya.

Begitu juga apa yang berlaku di Sungai Semenyih hinggakan bekalan air paip boleh bertukar busuk dan kotor. Bila disiasat, maka ternampaklah ketirisan pada bahagian penguatkuasaan kerana bagaimana mungkin kilang yang tidak mendapat kelulusan boleh dibenarkan beroperasi.

Hasilnya, sungai yang menjadi sumber kehidupan tercemar dengan bermacam-macam racun. Pelik sekali kerana bagaimana kerosakan sebegini besar boleh terlepas dari jaringan Islam.

Merosakkan alam sekitar ini besar sekali dosanya di sisi Allah. Tetapi ustaz-ustaz kita tak berminat nak sebut. Khutbah jumaat pun berapa kali sangat highlight tentang isu pembalakan tak terkawal ini, ataupun tentang pencemaran sungai.

Isu bauksit yang menjadikan langit Kuantan merah itupun tak berjaya menarik minat mufti Pahang untuk berkomentar (jika ada boleh tag saya). Begitu juga dengan pembakaran hutan di Indonesia. Padahal Indo kaya dengan pesantren. Ramai Ulama yang hebat-hebat. Kiyai Idrus Ramli bahkan digelar Singa Ahli Sunnah, tapi apa yang terjadi seakan-akan tidak menunjukkan keberkesanan dakwah dan tarbiyah di kepulauan majoriti muslim itu.

Ayuhlah para ustaz. Kita jangan syok sendiri. Para mufti, tolong keluarkan fatwa berkenaan ini.

Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443