Lebih memeranjatkan, orang arab direkodkan mempunyai skor yang lebih rendah berbanding kita. Walhal mereka ialah pemegang kunci kepada 2 kota suci iaitu Mekah dan Madinah, dan tanah air mereka dimuliakan kerana pernah dipijak oleh Baginda Rasul S.A.W semasa hayatnya.
Sangat jarang kita boleh nampak orang membaca di masa lapang. Yang sibuk bermain telefon bimbit itu ramailah. Kita cuba bersangka baik, mungkin mereka membaca dari skrin telefon. Barangkali lebih mudah dan menjimatkan kos.
Di Malaysia ni, nak jumpa orang membeli buku dengan skala yang besar cuma semasa musim pesta buku. Jika dulu setahun sekali sahaja kini sudah tiga atau empat kali setahun. Dulu-dulu pun aku selalu ke pesta buku untuk memborong. Tapi tidak sekarang. (Sebab dah terlalu banyak buku yang belum dihabiskan).
Itu petanda yang positif. Setidaknya, bila dah beli tu mestilah akan ada usaha untuk membacanya. Tetapi sayangnya, buku yang dibeli itu seringkali tidak ilmiah bahkan tidak sampai separa-ilmiah. Sebaliknya, orang kita ghairah mengumpulkan novel-novel bertemakan cinta. Mereka menyempitkannya hingga melupakan novel yang lebih bermutu yang mengketengahkan nilai moral, kemasyarakatan, perjuangan, survival, kewarganegaraan, dan pembangunan modal insan.
Begitu juga dengan komik dan majalah. Komik atau majalah hiburan bukanlah racun jika dibaca sekali-sekala. Tetapi kalau dah dijadikan koleksi hingga lupa membaca buku yang lebih berilmiah, maka itu juga sama kesannya dengan langsung tidak membaca.
Persoalannya, kenapa kita perlu membaca?
Pertama, kerana ini perintah Allah. Bacalah dengan Nama Allah. Walaupun 'baca' (qul) itu juga ditafsirkan sebagai 'sebut' tetapi ia juga bermaksud membaca.
Kedua, membaca itu jambatan ilmu. Itu kata orang tua-tua. Kataku, membaca ialah kunci kepada perbendaharaan bumi. Bezanya, ada kunci kepada seronok, ada kunci kepada ketenangan, ada kunci kepada kebijaksanaan, dan macam-macam lagi. 'Kunci' tadi pula ialah jenis bahan bacaan kita. Kalau kita ni jenis yang suka membaca kartun, mungkin kita akan sering ketawa. Jika suka membaca novel cinta, mungkin kita akan kaya emosi.
Ketiga, supaya kita dapat memperbaiki kehidupan kita. Buku tentang kewangan contohnya. Rata-rata pemuda yang dipermulaan kerjaya gagal dalam pengurusan kewangan mereka. Sedangkan buku tentang pengurusan wang berlambak di pasaran. Banyak tips dan nasihat telahpun dikongsikan tetapi kerana malas nak mencari ilmu, maka ramailah yang gagal dalam merancang kewangan dan berakhir dengan hutang.
Keempat, supaya dapat membetulkan urusan agama. Ramai orang tidak mahu membaca bahan-bahan agama kerana takut jadi makin sesat. Padahal kata-kata,"Belajar tidak berguru itu bermakna belajar dari syaitan", bukanlah hadis atau athsar sahabat. Ia cuma kalam ulama. Ulama kita berpesan, kalau belajar agama semata-mata dengan buku atau google, maka kita cenderung untuk salah faham. Tetapi itu bukan bermakna kita tak boleh merujuk kepada buku-buku ini secara total. Rujuklah, tapi jangan abaikan kuliah dan ceramah Ustaz. Kadang-kadang para Ustaz ini pun terlupa. Jadi kalau kita boleh rujuk balik apa yang ustaz tu sebutkan dengan apa yang ditulis pada buku, maka kita akan lebih faham dan jelas.
Kelima, kita perlu banyak membaca supaya akal kita tajam. Tuhan berikan kita akal antara lainnya, supaya akal ini menjadi hakim dalam menghukumi. Kalau banyak perkara kita bodoh, bagaimana kita nak buat keputusan. Orang yang lembap bukanlah kerana akalnya tidak cerdas, tetapi kerana akalnya tidak diberi makanan. Makanan akal ialah berfikir. Jika akal lembap, hidup pun tidak akan ke hadapan.
Keenam, membaca itu perlu untuk meningkatkan kualiti hidup. Orang yang banyak membaca berupaya untuk menjimat masa, wang, dan tenaga. Contohnya, daripada mengupah orang membaiki kerosakan pada pili air, mereka boleh baiki sendiri kerana ada ilmu tentangnya. Hari ini ada banyak benda diajar untuk DIY (do it yourself), yang kita boleh belajar. Jimat masa, jimat duit. Buat sendiri.
Ketujuh, bacalah supaya masa kita diisi dengan perkara yang lebih berfaedah. Bila dah banyak fokus diberikan pada membaca, maka kuranglah fokus pada berita sensasi. Maka terselamatlah lidah daripada mengumpat orang.
Ketujuh, supaya status sosial kita ditinggikan. Orang akan hormat dan kagum. Tapi awas, takut syaitan tersengih melihat kita bangga dan syok sendiri.
Jangan jadi masyarakat yang ketinggalan. Bila disuruh membaca, kata panjang sangat. Bila ditipu, salahkan Yahudi. Moga Allah beri kita kekuatan untuk membaca.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443