"Kau kena balik hujung minggu ni"
Aku menghela nafas panjang. Aku bukannya kisah pasal terpaksa balik ke kampung walaupun aku sedang sesak. Minggu depa baru masuk gaji. Tapi yang aku buat aku pening ialah ayat terakhir emak,
"Ada orang nak meminang kau".
Oh emak. Dalam banyak-banyak benda, bab ini janganlah dibawa bergurau. Siapalah yang nak pada perempuan macam aku. Aku ni rupa sudahlah tak ada. Pendidikan pun sekadarnya sahaja. Umur pun dah melepasi 30 tahun. Boleh kata, 'anak dara tua'.
Walaupun aku benci disebut orang sebagai anak dara tua, tapi aku pasrah dan redha. Nasib kita bukannya sama. Walaupun keinginan kita kadangkala sama. Aku pun teringin nak berumah tangga. Ada suami, ada anak-anak. Kawan aku si Sofea itu anaknya dah tiga. Orang lain jodoh di depan mata. Aku ni bau-bau sikit pun belum ada.
Tiba-tiba saja emak telefon kata orang mahu masuk meminang. Bermimpikah aku?
"Siapa, mak?", soalku dengan perasaan yang bercampur baur. Ada sedikit seronok, kerana aku tahu aku masih 'laku'. Tapi aku lebih gementar dan keliru. Setahuku, tak ada sesiapa pun di ofis ni yang meminatiku.
"Ada budak kampung kita ni. Nantilah emak cerita. Kau balik dulu", balas emak acuh. Aku dapat menangkap maksudnya walau dari hujung ganggangnl telefon. Memang dia tak mahu cerita!
"Baiklah mak. Kalau macam tu hari jumaat ni Ela balik", tuturku lembut.
Aku memberi salam dan menamatkan panggilan. Apa-apalah mak. Sekarang lebih baik aku tidur dahulu. Esok pagi terpaksa bersilat lagi dengan warga kota, berebutkan tempat di dalam tren untuk ke tempat kerja. Aduhai.
-----
Malam tu, aku lihat wajah emak dan ayah tampak sedikit berseri. Mungkin membayangkan hari esok, anak daranya ini akan dipinang orang. Satu-satunya anak gadisnya yang masih belum dipinang. Bunga yang masih mekar tapi belum dipetik orang.
"Siapa orangnya mak?", gesa aku. Aku dan emak sedang menyiapkan makan malam di dapur. Turut bersama ialah Kak Mala, kakak iparku yang kedua. Angah dan Kak Mala turut pulang hari ini. Cuma Along sahaja yang tidak balik kerana sibuk dengan kerjanya sebagai Juruterbang syarikat Jet Airways. Dia cuma berkirim salam.
"Anak Pak Cik Hussin", akhirnya teka-teki itu terjawab, walaupun tidak sepenuhnya.
"Anak dia yang mana mak?", aku hairan. Setahuku Pak Hussin ada 3 orang anak dan kesemuanya ialah perempuan.
"Anak bongsu dia. Baru balik belajar dari Mesir. Baru 2 bulan bertugas di MAIS", balas emak.
Eh! Anak bongsu? Jantungku berdegup kencang. Macam-macam persoalan timbul di benakku. Anak Pak Husin yang bernama Jamilah itu ialah rakan sekelasku sejak dari bangku sekolah. Selama ini aku ingatkan dialah anak bongsu Pak Hussin tapi rupanya ada lagi seorang anak lelaki.
Maknanya 'dia' itu mesti jauh lebih muda daripada aku yang sudah masuk ke 30-series ini!
"Macam mana dia kenal Ela?", aku menelan air liur. Tiba-tiba sahaja tekak terasa kering. Peluh halus merembes di dahi. Macam tak percaya!
"Kakak dia Jamilah tu yang tunjukkan gambar kamu pada dia. Dialah yang cerita tentang kamu pada adik dia. Dah adik dia berkenan pada kamu, dia marilah datang tanyakan kamu. Emak dan ayah rasa elok sangatlah kalau dia berkenan dengan kamu. Walaupun dia muda daripada kamu, tapi kalau dah jodoh, tak kisahlah semua tu", balas emak panjang. Dia seakan dapat menebak apa yang ada dalam hatiku.
Kak Mala yang sedari tadi hanya mendengar dan sesekali mengangguk, menyambung, "Betul tu Ela. Esok dia datang, Ela tengoklah kut-kut Ela pun setuju. Bolehlah diteruskan dengan bertunang pula". Dia senyum sambil memeluk bahuku.
Aku cuma mampu tersenyum tawar.
-----
"Ela, aku harap kau setuju", Jamilah memelukku erat. Badannya yang dahulu ramping, kini sudah berisi. Maklumlah, anak sudah empat. Lelaki kesemuanya pula.
"Mak cik pun harap Ela dapat buat keputusan yang terbaik. Nanti kalau sudah ada keputusan, cepat-cepatlah khabarkan kepada kami. Benda baik lebih elok disegerakan", dia senyum. Ibu kepada Jamilah dan Rizal itu pula memelukku.
Aku masih kelu. Masih sukar nak percaya dengan apa yang berlaku.
Emak dan Kak Mala hanya tersenyum memerhati. Mereka kemudiannya bertukar salam dan pelukan dengan Jamilah dan Ibunya. 2 orang perempuan yang siapa tahu, bakal menjadi kakak iparku dan ibu mertuaku.
Hari itu, kali pertama aku melihat lelaki bernama Rizal itu. Orangnya tidaklah kacak mana tapi tak ada cacat celanya. Berjambang kemas dan berjanggut lebat. Sekali imbas macam pemain kriket Pakistan, Shahid Afridi pula. Dia memakai baju kemeja bercorak petak-petak berwarna koko, dan dipadankan dengan seluar denim berwarna hitam.
Rizal ni rupa-rupanya baru berumur 26 tahun. Lima tahun lebih muda daripada usiaku. Bekerja dengan MAIS sebagai pegawai agama. Kiranya jadi Ustaz jugalah, sebab ayahku pun memanggil dia ustaz walaupun berkali-kali diminta oleh Rizal supaya dipanggil dengan namanya sahaja. Kata ayah, Rizal memang sesekali diminta oleh orang kampung untuk berceramah. Biasalah, lulusan pengajian Islam Universiti al-Azhar. Mestilah ada nilai di mata masyarakat.
Hari itu, selepas Pak Hussin dan anak-anaknya pulang, aku mengurung diri di dalam bilik. Aku beritahu emak yang aku nak sedikit masa sendirian. Emak mengangguk seakan faham.
Aku pandang cermin di meja solek. Aku dan Rizal, bagai langit dan bumi. Bagai merak dengan gagak. Bagai pungguk dan cahaya rembulan. Aku ini sudalah rupa bukannya ada mana. Parut jerawat di sini sana. Bukannya aku tak cuba nak hilangkannya. Dah bermacam-macam krim dan pencuci muka aku cuba tapi semuanya tidak menjadi.
Aku juga bukannya ustazah. Separa ustazah pun tidak. Ijazah aku dalam bidang pentadbiran, dan bukannya dalam bidang agama. Aku bukannya alim. Ilmu agama pun setakat nak jaga diri sendiri, bolehlah. Itupun masih banyak yang aku jahil dan tak tahu.
Tadi aku kata, aku minta seminggu untuk berfikir. Tapi sekarang aku rasa aku dah ada jawapannya!
--------------
Sudah 3 bulan sejak pinangan dari Ustaz Rizal aku tolak. Sungguh, dia tak ada yang kurangnya. Tapi aku sendirilah yang banyak kekurangannya. Aku rasa seperti tidak adil bagiku untuk menerima pinangan itu. Walaupun kini hatiku sering berperang sendiri. Adakalanya ada kekesalan yang timbul, tapi nak buat macam mana. Benda dah diselesaikan dengan baik.
Emak dan ayah pun bersedih. Mungkin mereka sebenarnya mahu bermenantukan ustaz. Tapi akulah yang sepatutnya lebih bersedih.
Aku tekad. Biar aku perbaiki diriku dahulu. Biar aku jadi perempuan solehah. Walaupun tak ada lelaki mahukan aku, setidak-tidaknya aku ada Allah dan Rasul di dalam hatiku. Jika dahulu aku sedikit lalai dalam bab aurat, tapi tidak kini. Aku dah istiqomah memakai stokin tangan dan juga mula sentiasa menyarung stokin pada kaki. Seringkali kaki dan pergelangan tangan ini dilupakan padahal ia juga ialah aurat.
Aku juga sudah semakin kerap membaca al-Quran. Masaku lebih banyak dihabiskan dengan membaca buku-buku agama dan akademik berbanding dahulu aku lebih suka menonton drama Korea. Aku berasa kesal kerana banyak masa yang telah aku buang sia-sia.
Biarlah. Soal jodoh, telah aku serahkan bulat-bulat kepada Allah. Aku pasrah dan redha. Jika ada, maka adalah. Jika tidak ada, maka tak ada apa yang hendak aku kesalkan.
Tiba-tiba, aku terasa bahuku ditepuk. Aku tersentak dari lamunanku.
Seulas senyuman indah menerpa. "Dik, boleh tolong mak cik?"
Aku bangun daripada dudukku dan mampir kearah seorang wanita tua yang menegurku tadi. Dari fizikalnya, aku rasa usianya sudah menghampiri 60 tahun. Dia berkerusi roda, petanda dia telah dimamah usia.
"Ada apa mak cik", aku membalas senyumnya.
"Minta maaf dik. Boleh tolakkan mak cik masuk ke dalam tandas tak? Ada bonggol di situ. Mak cik tak boleh tolak sendiri", beritahunya. Dia masih lagi tersenyum.
Aku menoleh. Memang lantai itu dibuat sedikit tinggi.
Aku angguk. "Boleh", lalu menolak kerusi rodanya. Segan aku kerana boleh pula aku duduk termenung di kerusi panjang di luar tandas kompleks beli belah ini. Aku memang dah biasa ke sini seorang diri. Kebetulan hari ini memang aku mencari barang dapur.
"Mak cik boleh buat sendiri tak? Nak saya tolong?", aku menawar diri membantu.
"Tak apa dik. Mak cik boleh buat sendiri", dia ketawa kecil.
"Saya tunggu mak cik di luar ya", kataku selepas menolaknya masuk ke dalam salah sebuah tandas.
Tak berapa lama, pintu dibuka. Aku kembali menolak kerusi roda mak cik tu keluar dan melepasi lantai yang tinggi tadi. Hairan juga kenapa tandas ini dibuat sebegini. Sudahlah tidak ada tandas khas untuk golongan OKU, binaannya juga tidak mesra kepada pengguna OKU. Mungkin ini adalah kerana kompleks ini pun sudah beberapa dekad disiapkan. Lantas ciri-ciri binaannya ialah reka bentuk bangunan yang lama.
Di luar tandas, aku lihat ada seorang lelaki sedang berdiri seperti menunggu seseorang. Selepas dia melihat kami, laju dia mampir.
"Mama okey?", dia bertanya kepada mak cik itu. Gayanya seperti anak kepada beliau.
"Sudah. Nasib baik ada gadis cantik ni tolong tolakkan mama", jawab mak cik itu.
Gadis cantik dia panggil aku. Kembang semangkuk sekejap.
"Terima kasih ya cik", lelaki itu memandangku dan tersenyum.
Mak cik tu memusingkan kepalanya mengadapku seraya memegang tanganku. "Nama mak cik Fatimah dan ini anak tunggal mak cik, Kamal".
Spontan aku memperkenalkan namaku. Ela. Siti Ruhaila.
"Terima kasih sebab tolong mama saya. Apa kata saya belanja Ela makan tengahari?", tanya Kamal.
Aku pantas menolak. Walaupun makan tengahari adalah sebahagian daripada agendaku, tapi aku malu dan segan untuk dibelanja.
"Jangan begitu Ela. Marilah", Mak Cik Fatimah mendesak.
Aku perasan ada beberapa biji mata yang lalu lalang keluar masuk ke tandas ini memerhatikan kami. Entah apa yang mereka berminat sangat tu.
"Eh tak apalah. Lagipun saya tak lapar sangat pun", aku berdalih. Padahal aku memang sedang lapar pun.
"Ala, sekarang iyala tak lapar, nanti mesti lapar. Marilah", Kamal mengajak.
"Marilah Eda. Temankan mak cik. Kita berborak-borak dulu"
Aku akhirnya akur. Bukan kerana aku lapar, atau kerana ajakan Kamal, tapi kerana Mak Cik Fatimah masih tidak mahu lepaskan tangan aku!
--------
Buzzzz.
Satu mesej whatsapp diterima. Telefon Oppo R7 itu aku capai. Mataku dialih daripada laporan kerja didepanku dan dihala kepada skrin telefon.
"Assalamualaikum Ela. Ela sihat? Bila Ela lapang, boleh keluar makan dengan mak cik lagi?"
Mesej daripada Mak Cik Fatimah itu aku baca. Entah apa sebabnya, tapi aku rasa sangat dekat dengan perempuan ini. Mungkin kerana kerinduanku yang memuncak kepada ibuku di kampung halaman.
Mak Cik Fatimah ini pesara guru besar di sebuah sekolah di sini. Dia menderita sakit sendi lutut yang agak teruk hinggakan dia tak boleh berjalan seperti orang yang seusia dengannya. Kalau setakat nak berdiri dan bergerak sedikit, dia masih mampu.
Sejak pertemuan kami tempoh hari, aku perasan yang Mak Cik Fatimah ni suka sangat denganku. Takkanlah kerana aku membantu menolaknya ke tandas, lalu dia rasa terhutang budi.
Jariku menaip di skrin telefon.
"Alhamdulillah sihat. InsyaAllah mak cik, nanti kita jumpa lagi ya. Sekarang saya agak sibuk"
Telefonku diletakkan. Fokusku kembali kepada laporan yang berada di depanku. Tak lama kemudian, telefonku kembali bergegar.
"Ela keluar lunch pukul berapa?"
Aku mengangkat kening. Pelik dengan soalannya.
"Kejap lagi mak cik", pendek balasku.
Jam sudahpun menunjukkan pukul 1 tengahari dan kawan-kawanku pun sudahpun meninggalkanku. Aku cuma nak siapkan kerjaku yang berbaki lagi sedikit.
"Mak cik dan Kamal dah on the way ke ofis Ela. Kita makan di kedai nasi ayam di sebelah ofis Ela ya"
Message whatsapp itu aku baca sepatah-sepatah.
----------
"Ela dah ada teman lelaki?", soal Mak Cik Fatimah. Dua pinggan nasi ayam sudah separuh terusik. Boleh tahan sedap juga.
Aku geleng. "Tak ada orang yang nak kan saya", balasku jujur.
Kamal rupa-rupanya hanya menghantar ibunya kemudian dia terus pulang ke ofis. Ada janji dengan klien penting katanya. Bagusnya Kamal. Kemana-mana saja ibunya mahu pergi, pasti dia sudi menghantarnya. Sudahlah ibunya berkerusi roda.
"Takkanlah orang cantik macam Ela tak ada orang nak", dia cuba memancing jawapan.
Aku tergelak kecil. Selalu sangat Mak Cik Fatimah kata aku ni cantik dan baik.
"Belum ada jodoh, mak cik", balasku pendek.
Dulu ada orang nak kan saya, tapi saya menolak. Nak saja rasanya aku cakap begitu tapi benda yang dah dilepas jangan diungkit-ungkit, takut nanti menjadi barah pada hati.
"Betul tu Ela. Jodoh pertemuan ni Allah yang tentukan dan setiap yang Allah tentukan ini sebenarnya adalah yang terbaik buat kita. Takkan terlambat walau sesaat dan takkan telambat walau sesaat. Mungkin Allah ada plan yang lebih baik buat Ela", katanya mendatar.
Aku angguk. Dan aku yakin, Allah Maha Bijaksana mencorakkan takdirku.
"Apa kata...", Mak Cik Fatimah memandangku tepat ke dalam mata.
"...Ela jadi menantu mak cik?", wajahnya tiba-tiba sahaja bercahaya.
Lama aku pandang wajahnya, cuba membaca hatinya. Tapi jelas dia tampak tdak bermain-main.
"Mak cik sebenarnya nak cakap, Kamal lah yang minta mak cik tanyakan bagi pihaknya. Dia sebenarnya suka pada Ela"
Dan wajah Kamal tiba-tiba berlegar di fikiranku.
------
Aku tersenyum. Disebelahku, berdiri seorang lelaki yang dengan bangganya aku panggil sebagai suami. Aku bersyukur pada Allah kerana dikurniakan suami yang baik sepertinya.
Dia bukan ustaz. Dia cuma seorang arkitek tetapi dia sangat faham akan agama. Solatnya sentiasa berjemaah di masjid-masjid. Walaupun tidak diberikan pentas untuk berceramah seperti ustaz-ustaz yang lain, tapi dia banyak mengajarkan aku. Dia seorang pembimbing, seperti yang aku sering doakan di dalam tahajjudku. Dia juga sebaya denganku, jadi aku tidak kekok kerana dunia kami tak jauh berbeza.
Aku meminta diberikan pasangan hidup yang soleh, dan akhirnya selepas 33 tahun, Allah makbulkan doaku. Aku kini bergelar isteri. Taat dan patuhku khusus buat suamiku, seorang lelaki yang baik, boss yang amanah, dan seorang anak yang soleh.
Benar kata orang, kalau nak tengok seseorang lelaki tu akan menghargai isterinya atau tidak, lihatlah pada layanannya kepada ibu kandungnya.
Benar sekali kata Imam Syafie, cintailah orang yang mencintai Allah dan tinggalkanlah orang yang tidak mencintai Allah. Jika Allah pun mereka abaikan, maka sudah tentu kamu juga akan mereka abaikan kelak.
Aku?
Aku mencintainya kerana Allah.
1 Komentar
Terbaik!
BalasSaya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443