Aku tertarik dengan tuduhan Jamal Laksa (bukan nama sebenar kerana benda ni tak berlaku di Malaysia tapi di planet Marikh). Jamal Laksa menuduh kumpulan Pulut Kuning berfahaman pengganas Daesh. Bahkan dia menegaskan yang tuduhannya mempunyai asas dan bukti.
Kemudian salah seorang pemimpin tertinggi kumpulan Pulut Kuning tampil membela diri. Dia mahu menyaman Jamal Laksa kerana membuat kenyataan fitnah.
Aku rasa kelakar pula. Si Jamal Laksa ni betulkah dia faham kultur dan ajaran Daesh hingga sesuka hati nak katakan orang lain sebagai pengganas? Mungkin dia rasa dirinya suci, seorang pencinta keamanan dan atau mungkin juga penegak kebenaran, sebab itu dia jadi pendekar tak bertempat.
Biasalah tu. Orang kalau tidur tak basuh kaki, memang selalu mimpi yang merepek-repek. Aku pun pernah mimpi jadi superhero juga, tapi aku tak adalah nak mengaku yang aku ni benar-benar superhero.
Ada sebuah buku yang cukup menarik yang bercerita tentang pengganas. Sebuah buku bahasa inggeris bertajuk "Your Fatwa Does Not Apply Here". Tajuknya saja dah penuh kontroversi, seperti penulisnya Karima Bennoune.
Dia seorang anak watan Algeria, yang terpaksa meniggalkan negaranya yang dicintai kerana sayangkan nyawa. Karima telah melawat berpuluh-puluh buah negara untuk bercerita kepada kita tentang pengganas.
Dari Boko Haram di Somalia sampailah kepada Taliban di Pakistan, ada sahaja kisah trajis yang dikongsi. Kadang-kadang bila perenggan yang menceritakan tentang anak-anak kecil dibunuh, diperkosa, dan disembelih, kita sampai terpaksa berhenti sekejap untuk menarik nafas.
Zalim dan keji.
Apa yang aku faham melalui pembacaan aku, militan atau pengganas ini sifatnya semua serupa.
Pertama, mereka dahagakan dan gilakan kuasa.
Kedua, mereka meluaskan pengaruh dan kekuasaan mereka dengan cara kekerasan. Mereka menimbulkan ketakutan ke dalam hati rakyat mereka dengan melakukan keganasan dan ugutan supaya mereka tak berani melawan mereka.
Contoh ugutan adalah seperti berikut, "Kamu semua kalau nak kena belasah, kamu teruskanlah dengan demonstrasi aman kamu!"
Atau,
"Kalau nak selamat, jangan halang kami", seperti ugutan kepada anggota polis.
Ketiga, mereka bersungguh-sungguh melaksanakan agenda pembodohan. Seperti yang terjadi kepasa Malala Yousafzai, yang telah ditembak kerana terus pergi ke sekolah. Para militan tak suka rakyatnya cerdik, kerana jika rakyat sesebuah negara itu cerdik, maka mereka tidak lagi dapat dimanipulasi sesuka hati. Sebab itulah mereka suka pengikut mereka bodoh. Mereka akan sekat semua informasi yang betul dan mereka akan menyebarkan informasi yang salah, melalui lidah rasmi mereka iaitu Tv dan surat khabar.
Keempat, mereka 'merogol' dalil-dalil agama. Antara yang paling sering disepak terajang ialah berkenaan dengan kemuliaan mati syahid. Mereka beranggapan kalau mereka mati menentang orang awam, mereka mati syahid. Samalah dengan apa yang berlaku kepada Kumpulan Semut Merah. Mereka boleh beriktiqad bahawa mati kerana mempertahankan "Private Message" adalah mati syahid.
Bila kita tengok kefahaman agama mereka yang tunggang langgang ini, kita pun garu kepala. Contoh, Taliban yang mengharamkan sebarang aktiviti kesenian termasuklah melukis. Bagi mereka melukis itu termasuklah bererti mengubah atau mencipta sesuatu seperti Tuhan dan baru-baru ni, keluar lagi satu fatwa baru dari militan Daesh, iaitu haram membela kucing. Bodoh kan?
Kelima, mereka mudah mengkafirkan orang lain. Bila seseorang itu dah dituduh kafir atas 'kesalahan-kesalahan' seperti pergi sekolah, menulis akhbar dan jurnal, tidak mahu memakai purdah, datang ke pementasan teater, dan seumpamanya (yang mereka kata haram), maka darah mereka halal bagi anjing-anjing ganas ini. Sebab itulah mereka berasa bangga meletupkan sekolah, panggung wayang, muzium, dan termasuklah pusat-pusat hiburan. Bagi mereka, lebih ramai yang mati, maka lebih ramailah 'orang kafir' yang berjaya dibunuh. Maka lebih besarlah pahala mereka.
Keenam, mereka ada pemimpin agama yang pandai memanipulasi, memperbodoh, mengugut, dan merogol dalil agama. Dan agenda pembodohan nasional ini hanya akan berlaku setelah pendidikan diharamkan, internet disekat, dan informasi dipalsukan. Mereka juga mahu supaya pemimpin-pemimpin mereka dihormati dan dianggap suci supaya apa-apa sahaja pemimpin mereka kata dan buat, walaupun salah, tetap akan dianggap benar. Lalu para pengikut mereka akan mengikut sahaja walaupun membabi buta.
Ketujuh, mereka tidak menghormati kaum wanita. Di mata mereka, wanita cumalah objek seks yang akan digunakan untuk memuaskan nafsu serakah. Baik kanak-kanak perempuan sekalipun, asalkan ada rupa. Di Malaysia pun ramai wanita yang sukarela menjadi 'objek' tanpa mereka sedari. Menyedihkan.
Kelapan, mereka mencipta musuh secara khabar angin. Di Pakistan sebagai contoh, militan masuk ke dalam kampung, memusnahkan rumah-rumah dan menculik anak gadis. Lalu mereka membuat desas-desus kononnya orang India yang buat! Yang peliknya, orang ramai akan percaya dan memusuhi 'musuh' yang dicipta itu. Jika di Malaysia pula, semua benda akan dikaitkan dengan USA dan Yahudi. Amerika akan dipilih menjadi kambing hitam dan semua kesalahan akan dikaitkan dengan Amerika. Bukan nak kata Amerika tu baik. DS Najib dan Obama pun bersahabat baik. Tapi perlu ada sedikit akal untuk menyabitkan betul atau salahnya sesuatu. Bukannya semua perkara perlu kembali kepada sentimen anti Amerika dan Yahudi!
Kesimpulannya, baik Jamal Laksa mahupun Sardin Marina, jika mahu benar-benar matang dalam berpolitik, maka tinggalkanlah budaya samseng, fitnah, ugutan, dan momokan. Jangan nanti orang akan berfikiran bahawa tak perlu mengundi pada PRU lagi kerana semua orang pun jahat dan hanya fikirkan perut kroni.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443