#27 Bumi Bulat Atau Leper?

Antara yang trending di media sosial selain daripada drama bawang kuning bawang merah, adalah debat tentang bentuk bumi. Ada yang kata bujur seperti telur ayam, ada pula yang kata leper seperti kain yang dihampar.

Saya mahu jadi pihak yang berkecuali walaupun setakat saya faham, bumi ini berbentuk bulat, berputar sekitar paksinya, dan beredar mengelilingi orbitnya. Saya belum 'khatam' lagi ilmu-ilmu baharu tentang keleperan bumi.

Bukan tak ada masa, tapi tak ada kemahuan!

Zaman sekarang ni manusia sukakan glamour. Sampai ilmu pun, nak ilmu yang 'glamour'. Nak supaya nampak lain daripada orang. Nak supaya nampak terkehadapan. Nak supaya berasa 'lebih' daripada orang.

Sebab itulah banyak teori, falsafah, dan ilmu baharu keluar.

Saya berada di tengah-tengah, di antara bersetuju dengan tidak. Adakalanya bila banyak mengkaji, banyak kebaikannya. Boleh jadi bertambah iman. Tapi adakala, bertambah kesombongan, dan permusuhan (melalui jalan debat).

Celik ilmu itu bagus. Celik ilmu, bermakna celik dalil.

Dalam agama pun dituntut supaya kita beramal dengan ilmu dan bukan sekadar taklid buta (ikut secara membuta). Kalau main ikut-ikutan, maka kita pun tak tahu mana satu amalan agama, mana satu khurafat.

Tapi rule of thumb untuk artikel ini, biar banyak bertanya, banyak juga beramal. Biar banyak mengkaji, banyak juga kebaikan.

Ni dalam bab bumi bulat atau petak, adakah orang yang berdebat tentang ini, solatnya makin khusyuk dan maksiatnya makin kurang?

Kota Baghdad dahulu pernah jadi ibu kota pemerintahan kerajaan Islam Abbasiyah, tapi boleh musnah sekelip mata digempur tentera monggol, kerana Ulama Islam di zaman itu sibuk bergaduh soal janggut!

Benda remeh pun digaduh dan diperdebat. Langsung terlupa benda besar.

Samalah kita. Sibuk tanya bentuk bumi, tapi lupa tentang si pencipta bumi.

Samalah dengan orang yang suka tanya dalil. Kalau tanya untuk beramal, itu terbaik. Tapi seringkali, bertanya untuk meninggalkan amal. Macam seorang anggota Tabligh pernah kongsikan dengan saya, seseorang pernah bertanya hukum pakai kopiah. Selepas dijawab oleh Ustaz, terus dia tanggalkan kopiahnya.

Rupa-rupanya wujud manusia yang nak buat yang wajib sahaja, yang sunnah dia mahu tinggalkan.

Kesimpulan daripada artikel ini,

Pertama, tinggalkanlah perdebatan atas urusan sia-sia yang tak menyebabkan amal soleh bertambah serta maksiat berkurang.

Tuhan tak tanya tentang kedalaman ilmu kita, bahkan kita tak akan ditanya pun tentang benda yang 'detail' (bukan syariat) ini.

Kedua, tanya dalil bukan bermakna 'meninggalkan dalil'. Tahu tentang sesuatu kelebihan sepatutnya membuatkan kita makin ghairah untuk melakukannya, bukannya untuk kita berkata, "Tak apa, tak wajib pun".

Ketiga, budaya ilmu perlu seiring dengan budaya berakhlak kepada ilmu. Orang yang berakhlak sentiasa terbuka kepada pendapat orang lain. Bukannya hanya nak idea dia sahaja yang diterima.

Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443