Orang 'screen shot' tulisan-tulisan budak-budak ini.
Kelakar memang kelakar, tapi sedih pun iya.
Memang rasa geli hati melihat kesalahan teruk budak-budak ni mengeja dan berbahasa inggeris. Speed trap jadi speed track. Injured jadi inject. Hater jadi heater. Dan lain-lain.
Tapi lebih merisaukan kita, usia baru setahun jagung, tapi 'gatal' tu kalah orang dewasa. Kita baca ayat-ayat cinta mereka. Oh, terasa geli anak tekak.
Belum lagi yang naikkan gambar pujaan hati mereka (malangnya, bukan ibu atau bapa mereka yang mereka puja). Lebih menjijikkan, budak-budak gay pun sudah berani menampilkan diri sekalipun baru habis sekolah!
Apa peranan kita bagi mendepani adik-adik kita ini?
Pada saya, semua ini ialah penyakit sosial. Mungkin masih di peringkat awal dan boleh diselamatkan. Masih belum berzina, mengandung, dan buang bayi. Masih belum terjebak dengan dadah, jenayah, dan membunuh.
Mereka wajib dibantu. Bukan ditertawa.
Berhenti mentertawakan mereka. Ada kemungkinan, mereka mahu layanan dan perhatian yang adil daripada kita. Lompong besar yang kosong dalam hati mereka itu sepatutnya diisi oleh kasih sayang ibu dan ayah, tetapi kini diisi oleh benda-benda yang melalaikan.
Kita terlupa, kita mungkin sedang melahirkan penjenayah kerana kedegilan kita atau juga generasi yang 'rosak'. Kerana kita buta melihat petanda awal barah sosial.
Dekatkan anak-anak muda ini dengan agama. Budak-budak weechat ini perlu disantuni dengan kasih-sayang agama. Bukan dengan kerakusan teknologi atau kebebasan tanpa pengawasan. Mereka inilah anak-anak kita, yang bakal melahirkan cucu-cucu kita, seterusnya cicit dan zuriat keturunan kita.
Kita sebagai 'petani' yang menanam benih, sudah tentu kita mahu tunas yang keluar itu berkualiti.
Begitulah dengan masyarakat.
Kita sendiri perlu menjadi benih yang berkualiti. Agar anak-anak yang lahir daripada benih yang baik, mudah-mudahan akan 'tumbuh' dengan baik seperti pohon yang rendang, menjadi tempat orang berteduh, dan berbuah lebat untuk orang mengambil kebaikan.
Ingat, keldai akan melahirkan kedai. Ayam akan menetaskan ayam.
Manusia yang baik akan melahirkan anak yang baik. Manusia yang jahat, akan melahirkan yang serupa dengannya.
Kerana itu janganlah kita menyalahkan budak-budak Weechat ini. Sebaliknya kita cuba pandang dari sudut yang positif. Allah sebenarnya mahu menunjukkan sesuatu kepada kita melalui budak-budak weechat ini.
Mujur hari ini kita sedar. Harapnya esok anak kita sendiri tidak berbuat suatu yang lebih dahsyat daripada mereka.
Kerana kita ibubapa. Kitalah yang mencorakkan mereka.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443