Kerana Facebook, saya kenal dengan lebih ramai manusia. Dan mereka adalah manusia yang hebat-hebat dan terlalu baik hati. Antara nama-nama yang boleh disebut ialah Syed Azmi dan encik kentang (Kuan Chee Heng).
Saya sering mengikuti perkembangan aktiviti mereka. Bukan seperti kita yang 'update' perkara-perkara kecil, remeh, dan bersifat peribadi, mereka pula berkongsi sesuatu yang 'besar'. Secara tidak langsung menunjukkan yang jiwa mereka besar.
Mereka melakukan sesuatu yang kita tak mampu buat. Iaitu berkorban.
Kita mungkin boleh membantu orang. Kita nampak orang miskin, kita beri RM1. Kita nampak orang sakit, kita beri rawatan. Tetapi apa yang mereka buat ini adalah lebih daripada itu.
Mereka membawa matahari ke dalam kehidupan yang gelita. Di saat ramai manusia memikirkan nasib sendiri, mereka memikirkan nasib orang. Tidak melampau untuk saya katakan bahawa mereka lebih faham ajaran islam berbanding kita.
Walaupun mungkin Encik Kentang tak pernah baca sirah Nabi. Tapi apa yang dia buat mirip dengan apa yang Nabi, para sahabat, dan orang soleh buat.
Berkorban untuk orang lain.
Kita mungkin boleh beri duit, tapi tak mungkin boleh pergi ketuk pintu orang dan tanya, "Awak dah makan?". Jika kepala menggeleng, siap disediakan bahan mentah dan dimasakkan pula untuk jiran kita.
Kadang-kadang saya bermuhasabah. Saya seorang muslim. Bahkan 92% penduduk Malaysia ialah yang beragama Islam. Tapi kenapa kita sangat pentingkan diri sendiri dan tak pernah membuka mata melihat kesusahan orang di sekeliling kita.
Bukankah membantu orang itu adalah perintah Tuhan?
Bukankah Tuhan suka kepada hambaNya yang ambil tahu hal keadaan orang lain?
Moga Allah lorongkan hati kita untuk membantu setiap orang yang meminta dan tidak meminta-minta.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443