#50 Figur melayu apologetik

Nampaknya isu halal JAKIM dah mulai reda selepas beberapa hari. Maka saya rasa inilah masa yang seseuai untuk kita memberi penerangan. Macam orang yang sedang mengamuk. Bila tengah mengamuk, kita cakap apa pun dia tak akan terima. Tapi bila dia sudah sabar dan bertenang, barulah dia akan mendengar dan berfikir dengan waras semula.

Orang kata, "Alah nama saja. Tak akan kurang keislaman saya kerana nama sesuatu benda".

Hari ini, dalam keratan akhbar Berita Harian, sudah berada di pasaran burger daging babi dengan nama "P. Ramly". Jika kita merasakan benda ini sebagai perkara kecil maka usah salahkan anak kita jika termakan daging babi hanya kerana nampak perkataan "Ramly". Barangkali mereka terlepas pandang pada huruf "P" dihadapan atau mungkin tak nampak perkataan "pork". Itu kan cuma kesilapan kecil (yang sepatutnya boleh dielakkan dengan lebih awal).


Melayu yang apologetik kadangkala lebih laju daripada The Flash.
Tempoh hari, ada beberapa figur melayu iaitu tokoh agama dan selebriti Tv yang sudah berhijrah, yang menjadi minyak yang memarakkan lagi serangan kepada JAKIM. Ini bukan kali pertama mereka bersikap begitu. Dan tak mustahil, akan berulang lagi.

Kita terlalu sukar untuk bersangka baik. Sebaliknya kita bersikap kebudak-budakan. Sepak terajang dahulu, tanya kemudian. Bila sudah terluka, baru sibuk mencari ubat.

Begitulah sebagaimana yang terjadi terhadap aplikasi Pokemon Go. Sejujurnya saya pun pernah main permainan itu dahulu tetapi sudah hampir sebulan juga saya berhenti. Bukan kerana haram, tapi kerana bosan.

Kontroversi mengenai permainan ini bermula apabila media (sudah berulang kali) mengambil nasihat Mufti secara salah. Sudah beberapa kali ditegaskan oleh mufti bahawa secara peribadi, beliau menyarankan agar permainan ini dijauhi. Bukan meletakkan terus label haram padanya.

Sejak hari pertama lagi saya tahu bahawa atas kapasiti beliau sebagai seorang mufti, adalah amat mustahil beliau akan mengeluarkan hukum sewenang-wenangnya. Sebagaimana permainan komputer yang lain seperti Dota dan COC, Pokemon Go juga tertakluk kepada disiplin yang serupa.

Setiap benda ialah halal kecuali terpalit dengan elemen yang haram seperti perjudian, erotik, dan perkara-perkara yang tidak bermoral lain. Ia juga akan menjadi haram jika mendatangkan mudharat kerana kesan ketagihan. Antaranya seperti lalai dan cuai daripada tugasan.

Malang sekali, bukan seorang dua yang menghentam mufti. Tapi mufti ialah mufti. Tidak membalas cacian dengan cacian. Hari ini kita lihat sendiri, apa yang dah jadi dengan permainan Pokemon Go ini? Hanya segelintir yang masih bermain. Yang berteriak seperti gorilla di hutan dahulu pun sudah tidak main. Sekadar seronok mengikut orang mencaci maki institusi Mufti.

Saya cadangkan anda meminta maaf kepada beliau secara personal. Itu pun jika anda mahu belajar daripada kesilapan.

Hal yang sama berlaku dalam polemik menterjemah kitab Bible ke dalam bahasa Malaysia. Sesetengah orang berkata dengan bangga, "Takkanlah akidah engkau selemah itu?"

Padahal kita lupa bahawa kita hidup bersama orang lain. Ada antara kita yang memang mudah terpengaruh. Ada pula yang mempunyai pengalaman buruk dengan bangsa melayu (dan islam). Mereka adalah sasaran mudah untuk dipesongkan. Ada juga orang yang terdesak dan memerlukan bantuan segera, hingga akidah pun boleh digalang ganti.

Manusia, luarannya sahaja nampak gagah tapi dalamannya mungkin rapuh.

Ada pihak mahu jadi juara dengan menyokong agenda terjemahan. Seolah-olah tiada kesan buruk. Sebaliknya mereka menyalahkan pula golongan yang lemah dan tertindas kerana tidak kuat akidah seperti mereka. Tetapi bila ditanya apa yang telah para apologetik ini perjuangkan kepada golongan yang mereka panggil lemah ini, jawabnya tiada. Sekadar mengkritik. Dan akan terus mengkritik.

Islam tak akan bertambah maju jika umatnya hanya pandai mengkritik. Semua benda salah. Semua benda tidak betul. Kita sahaja yang betul. Ya, hanya kita yang betul, betul-betul berpenyakit!

Nasihat saya, jika selepas ini ada lagi isu sensasi yang timbul melibatkan apa-apa saja, kita cuba untuk;
1- Bertenang dan jangan terikut-ikut orang ramai.
2- Cuba mencari ruang untuk bersangka baik kecuali ada bukti mengatakan sebaliknya.
3- Tunggu cerita daripada kedua-dua belah pihak.
4- Jangan 'share' jika ia boleh mengaibkan sesiapa.
5- Jadi seperti air yang memadamkan api, bukannya seperti minyak yang memarakkan lagi.

Jangan terlalu laju hingga menjadi bahan ketawa pula. Apa tidaknya, makan coklat cadbury pun boleh minta untuk buat 'tukar darah'. (Blood transfusion). Semoga kita menjadi melayu yang matang, bukan melayu apologetik.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443