Aku pandang muka dia. Ada seulas senyuman di hujung bibir. Aku tahu soalan ni tricky. Salah menjawab, boleh nampak diri tu bodoh. Tapi kalau tak nak jawab, tak sopan pula. Adab berbual, bila ditanya jawablah.
Teringat aku kepada sesetengah generasi muda yang masih belum matang.
Suka menjawab dengan sarkastik. Sarcasm ni kalau digunakan pada tempat yang betul, boleh merancakkan perbualan. Tapi kalau di tempat yang salah, boleh merencatkan persahabatan.
"Awak bila nak kahwin?", soal seorang mak cik.
"Mak cik pula bila nak mati?", balas si orang muda.
Atau,
"Hari minggu ni basuh kereta ya dik?", tegur jiran sekadar berbasi-basi.
"Eh, tak adalah. Kan saya tengah menjahit baju ni. Tak nampak ya", balasnya sambil mencucur air ke badan kereta.
Kau ingat kelakar?
Kita ni makin besar biarlah bukan badan saja 'sado' tapi hati pun kena sado. Kalau ada orang bertanya pasal kita, pasal kerjaya kita, itu tanda dia mahu berbual-bual dengan kita. Lebih-lebih lagi orang tua.
Biasalah orang tua suka bercakap pasal rumah tangga, pasal keluarga, kerja dan masyarakat. Takkan kita nak cakap pasal ekonomi dan politik. Kadang-kadang frequecy dah tak sama, maka nak tune tu pun dah jadi masalah. Susah.
Kalau kita tak selesa dengan satu-satu topik tu cubalah untuk menarik diri dengan cara yang terhormat. Mungkin mereka tak tahu, mungkin mereka tak faham. Jangan marah-marah. Jangan stress. Orang berniat baik mahu bersahabat, takkanlah kita nak bertempik.
Di pihak kita pula, kita pun perlu ada empati dan timbang rasa. Kalau dah tahu seseorang tu sedang sedih, maka janganlah kita nak bergurau tak tentu hala. Mungkin niat kita baik mahu menceriakan dia, tapi situasi dan keadaan mungkin tak sesuai.
Itu sebab perlunya kematangan.
Nabi S.A.W contoh terbaik dalam komunikasi. Bila bersama kanak-kanak, Baginda akan sesuaikan diri sampaikan kanak-kanak rasa selesa dan disayangi. Bila bersama kaum wanita, Baginda pun menyesuaikan diri hingga kaum wanita tak rasa ada jurang dengan Baginda. Bila bergaul dengan kaum hamba, pun tak mengilangkan harga diri. Bahkan bila bersama kaum bangsawan, juga tidak sampai terlalu menonjolkan diri.
Pesan Baginda, bergaullah dengan manusia sesuai dengan (kemampuan) akalnya.
Jauhilah sarcasm. Tak jadi pandai pun kalau kita membodohkan orang lain.
Alamak! Aku lupa nak cerita apa yang aku berborak dengan brader tu. Nanti lain kali aku cerita.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443