#68 Tarawih Budak Kecil

Alhamdulillah. Hari ini saya boleh solat dengan lebih tenang dan khusyuk. Sebelum ni susah nak fokus dalam solat. Surau kami sangat bising dengan suara budak-budak bertempik, berlari, bergaduh, dan menangis. Tapi malam ini suasana lebih tenang. Budak masih ada. Main, masih main. Tapi dah tak ada yang berlari dan bergaduh.

Rupa-rupanya saya perasan yang budak paling nakal atau 'ketua' pengacau hari ini bersolat sebelah bapa dia. Saya di belakang mereka. Memang sikit-sikit dia pandang belakang. Tapi mungkin kerana takutkan ayahnya, dia terpaksa juga berdiri di dalam saf.

Satu lagi saya perasan ada orang dewasa yang mengawal selia kanak-kanak itu. Jadi bila imam angkat takbir, lelaki itu akan berseru, "Bangun, bangun. Solat. Jangan main-main".

Tak adalah nada nak marah pun. Tapi syukur, semua anak-anak itu dengar kata.
Budak-budak ni sebenarnya sangat mudah terpengaruh dengan kawan-kawan (peer pressure). Bila ada seorang yang mula mengacau kawannya, maka akan ada yang membalas lalu berjangkit kepada orang lain dan akhirnya masjid akan jadi seperti taman permainan.

Sebab itu ibu bapa yang nak bawa anak ke masjid, wajib kawal perangai anak mereka. Bawa mereka untuk berdiri di dalam saf. Sebelah kita. Bila ada ayah, anak nak buat nakal pun tak berani. Dengan cara itu kita boleh disiplinkan mereka.

Jangan dibiarkan mereka berbuat apa yang mereka mahu. Kering air liur kita berpesan, "Abang, solat! Jangan main-main", tapi pasti mereka akan bermain, bergusti, dan bertempik juga. Sebabnya tak ada orang yang kawal mereka.

Sebab itu saya suka berpesan kepada ibubapa, tahniah kerana gigih mahu memperkenalkan masjid kepada anak mereka di usia yang masih kecil.

Tapi bila bawa anak kecil, anda berobligasi untuk mengawal mereka supaya tidak mengganggu ahli jemaah yang lain. Orang lain datang ke surau untuk solat berjemaah dan beribadah. Jadi bimbang-bimbang niat baik kita yang asalnya berpahala menjadi dosa pula kerana keengganan kita mengawal tingkah laku anak-anak kita yang akhirnya, mengganggu ramai orang.

Sebab itu bila ada masjid-masjid yang menampal notis berkaitan anak-anak kecil, kita jangan melatah terlalu awal.

Memang di zaman Nabi dulu tak ada perbezaan antara orang dewasa dan kanak-kanak di dalam solat. Tapi kita perlu ingat zaman dahulu tak ada ibubapa yang main lepas tangan macam kita.

Solatlah di sebelah anak anda. Kalau ada orang kata kanak-kanak tak boleh duduk dalam saf solat sebab dia belum bersunat, maka elok kita sunatkan lagi sekali orang yang menegur tu.

Memandai-mandai.

Didik anak kita untuk cintakan solat dan masjid. Bukan sekadar bawa dia ke tempat solat dan ke masjid.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443