Jangan Jadi 'Abdullah'

Gambar Hiasan.
Hari itu, langit kehilangan seri. Terpecah ia, berderai dan berkecai. Hari itu juga, bumi sudah hilang santunnya. Ia menjadi rata, sejauh mata memandang. Bumi yang dahulu sangat pemurah dan akrab dengan entiti manusia, hari itu meluap-luap muaknya, memuntahkan setiap isi yang berada dalam badannya.

"Celaka! Siapakah yang mengejutkan kami dari tempat tidur kami?", tiba-tiba satu suara bertempik. Satu kumpulan manusia, terpinga-pinga memandang keadaan sekeliling. Serta merta, rembesan rasa aneh menikam kalbu mereka.

Di suatu sudut, kelihatan satu kelompok manusia berwajah muram. Ya, sekali pun wajah itu tidak tersenyum, juga tidak punya lagi riak tawa. Rasa riang dan ceria yang berbunga-bunga suatu ketika dahulu mati, terus sahaja.

Dalam kalangan mereka, seorang lelaki bernama Abdullah memandang ke tanah. Sama sekali wajahnya yang gelap pekat tidak diangkat, apatah lagi untuk memandang ke sekililingnya.

Dalam rintih dan luluh hati, dia sendu-sendan.

"Oh Tuhan... rupa-rupanya benarlah kata-kataMu. Benarlah... dahulu, aku banyak benar berbuat dosa. Aku selalu mengabaikan solat berjemaah. Aku selalu solat dilewat waktu bahkan selalu juga aku mengqada' solat aku. Aduh... celaka betul aku! Habislah aku..."

Rintihan yang penuh dengan kekesalah itu ternyata bukan sahaja keluar pada bibir keringnya, tetapi juga kepada lelaki yang sedang berteriak dan teresak-esak di sebelahnya. Pun begitu, Abdullah tidak tahu.

"Aku menyesal! Dahulu, aku selalu saja menolak saat sahabatku, guruku, dan ibubapaku mengajak aku untuk menuntut ilmu agama. Aku menolak dengan beralasan aku sibuk! Padahal, aku menghabiskan masa dengan menonton movie dan main game. Aduhai... aku menyesal! Tak sangka diriku boleh jadi bodoh sebegitu. Masa dan umur, ah... cuma habis dengan hiburan sahaja. Aduhai..."

Lelaki yang betubuh kecil itu memeluk tubuhnya. Riak wajahnya jelas menampakkan betapa dia kesal dan menyesal.

Di satu sudut yang lain, beberapa orang lelaki dan wanita sedang bertegang urat. Mereka saling melemparkan sumpah seranah, juga saling menyalahkan antara satu sama lain.

"Hoi! Kamulah yang menyebabkan kami semua begini! Kamu menipu kami! Kamu datangkan bermacam-macam tipu muslihat, memperdayakan kami. Akhirnya, kami lalai dari menyembah Tuhan kami! Kamu patut bertanggungjawab!", seorang lelaki yang bertubuh sasa membentak kuat, diikuti oleh beberapa orang teman-temannya yang lain.

"Betul tu! Kau perlu bertanggungjawab keatas keadaan kami!", sambung yang lain pula.

Suasana benar-benar gawat. Hampir sahaja mereka bertumbuk.

Seorang lelaki yang dimaki dan dimarah sejak tadi menelan air liur. Dia memandang tepat ke setiap wajah orang yang berada di depannya. Wajahnya sama, muram dan tenggelam dengan kusut.

"Tidak! Bukan salah aku! Tetapi ia adalah salah kamu sendiri! Kamu yang tidak mahu menjadi orang beriman! Sekarang, kita sama-sama menanggung nasib kita. Nasib masing-masing!", suaranya hambar, tapi tegas. Yang pasti, dia juga buntu dan runsing akan nasibnya.

Abdullah yang memerhati golongan itu tidak sempat berfikir apa-apa. Kerisuan yang memuncak, menghalang dirinya untuk memikirkan orang lain. Dia, walau sudah punya isteri dan dua anak perempuan, sekali pun tidak teringat akan mereka. Ya, dia lupa terus! Sedang dahulu, sedetik pun tidak dia lupa akan ahli keluarga yang tercinta.

Abdullah tercungap-cungap. Dia merasa lelah, haus dan panas yang luar biasa. Bahkan, dirasakan seperti otaknya mahu mendidih cair, meninggalkan rasa perit dan siksa seakan-akan ditikam seribu bilah pisau sahaja.

Panas yang luar biasa itu beberapa kali menyebabkan dia tumbang. Rupa-rupanya, kepanasan itu datangnya daripada matahari yang membahang, kelihatan jaraknya sejengkal cuma daripada menyentuh ubun-ubunnya. Peluh, mengalir tanpa henti. Belum dikira dengan bau-bau yang busuk melingkar sekeliling tubuhnya.

"Wahai Nabi Allah... pintalah kepada Allah agar dicepatkan hitungan amal", sekelompok manusia merayu-rayu kepada seorang lelaki. Lelaki yang dirayu itu nampak risau, walau dia tidak tersiksa.

"Aku tidak layak...", dia bersuara.

Dengan berat dan kecewa, kelompok manusia itu berganjak menemui orang yang lain dan membuat permintaan yang sama.

Abdullah sekadar memandang. Tumpuannya masih terhadap dirinya sendiri. Dia benar-benar rasa tersiksa hingga dia mahu jika Allah mempercepatkan urusan hisab! Ya! Dia mahu itu walau dia tahu, siksaan dalam nereka itu berganda-ganda kali pedihnya!

Buat kesekalian kalinya, Abdullah bertambah risau, runsing dan sedih. Dilihatnya beberapa orang dihadapannya, wajah mereka dan anggota tubuh badan mereka bercahaya-cahaya. Bahkan, wajah mereka juga tersenyum-senyum, jauh beza dengan dia dan orang lain yang suram, muram dan bungkam.

Orang-orang yang bercahaya wajah dan anggota tubuh mereka itu berjalan ke suatu tempat, menuju seorang lelaki. Abdullah melihat tubuhnya, juga keadaannya. Hitam legam! Tiada sinar, hatta sedikit!

Pentas hisab bermula. Di bawah lembayung keadilan Ilahi, juga syafaat dari Rasullullah s.a.w, berbondong-bodong manusia melintas titian sirat, sebuah jambatan yang menghubungkan ke syurga, dengan sepantas kilat lajunya. Mereka itu melintas titi yang lebih halus daripada sehelai rambut, juga lebih tajam daripada mata pedang dengan begitu pantas.

Itu mereka.

Satu kumpulan lagi, terpaksa berlari. Ada yang berjalan bahkan tidak sedikit yang terpaksa merangkak. Namun, mereka tetap sampai ke seberang sana, ke syurga.

Adapun, satu kelompok manusia yang jauh lebih besar tidak berupaya membuat lintasan. Mereka tumbang, jatuh dan tersungkur ke bawah sana, ke neraka. Nun, api yang marak menyambar mereka. Terjerit terlolonglah mereka semua kesakitan dan keperitan, menanggung siksaan Ilahi. Semuanya!

Abdullah?

Ternyata dia juga berada dalam kalangan manusia yang gagal. Di tempat timbangan amal, tangannya, juga kakinya, juga seluruh kulitnya berkata-kata, menceritakan segala bentuk dosanya.

"Aku selalu melihat tubuh badan dan aurat wanita", matanya membuat pengakuan.

"Aku selalu membuat pembohongan dan menyebar cerita-cerita karut dan fitnah", bibirnya pula berkata.

"Aku selalu melangkah ke tempat hiburan", kedua kakinya bercerita.

"Aku pula selalu memegang benda yang berdosa", tangannya bersuara, jelek.

"Aku pula, selalu dipuaskan bukan pada cara yang sepatutnya!", alat kelaminnya juga turut membuat pengakuan.

Abdullah tidak berani memandang ke mana-mana. Dengan sosok yang masih hitam, amalannya ditimbang. Satu per satu.

Nah! dosanya lebih berat! Terlalu!

Tiba-tiba, datang beberapa orang lelaki kepadanya.

"Ya Tuhan kami. Orang ini pernah berbuat aniaya kepada kami di dunia dahulu! Dia mencuri harta kami. Dia mengumpat kami", luah orang-orang itu.

Abdullah bertambah kecewa. Dia, disaat itu, sudah pun mengetahui bakal tempat kembalinya ialah neraka. Dek kerana aduan itu, akhirnya dia terpaksa pula menanggung dosa-dosa orang yang pernah di aniaya dahulu. Kerana dia tidak punya pahala untuk diberi, dia akhirnya terpaksa menanggung dosa mereka. Maka, berjela-jela dan bertampuk-tampuklah dosa terbeban di bahu kirinya. Segalanya makin kelam, makin celaka.

Abdullah melangkah perlahan ke titian sirat. Menangis dia sekali lagi kerana dia tidak dapat melihat pun dimana titi yang harus dilalui. Cuma, api neraka yang marak sahaja mengaum-ngaum dibawah sana, siap sedia untuk menyambutnya.

Akhirnya, kakinya diangkat. Dia tumbang. Ke sana... ke sana...

****

Syafaat Rasulullah s.a.w sentiasa menunggu-nunggu kita pada tiga tempat iaitu di Mizan, di titian Sirat dan di Telaga Kausar.

Walau kita pendakwah, walau kita orang soleh, walau kita orang alim atau mungkin, kita ahli sufi, tetap kita masuk syurga atas rahmat daripada Allah semata-mata. Kerana itu, jangan sekalipun kita sombong di dunia.

Jangan juga kita sombong dengan Allah. Kunjungi rumah-Nya. Berulang aliklah ke masjid-Nya. Jadilah hamba-Nya yang sentiasa memperbaiki diri. Dan utama, ikutilah teladan Rasulullah s.a.w, kekasih-Nya.

Moga dengan itu, layak kita menerima syafaat Baginda kelak.

Jangan sakiti Baginda.

Jangan sakiti Baginda.

Jangan sakiti Baginda.
Previous
Next Post »
12 Komentar
avatar

insyaALLAH..
thanx for sharing!

Balas
avatar

suka, suka, suka... terima kasih kerana kongsi...

Balas
avatar

terima kasih..bermanfaat kepada kita semua ^_^ alhamdulillah mesej ini sampai ke hati...

Balas
avatar

alhamdulillah bal, masih berkesempatan menghayati entri2 kamu..

semuanya akan bercakap bukan..malu nya kat Allah bila mereka a.k.a pancaindera mula bercakap semua kejahatan y kita lakukan..

itu belum lagi org2 yang kita aniaya..

bertambah2 lo dosa kita...

xpe, masa y ada ini mari kita sama2 muhasabah n perbaiki diri..

alhamdulillah kita masih berpeluang bernafas untuk mencari lebih banyak kebaikan dan memohon ampun kpd Nya..

Balas
avatar

salam, jemput baca yamaha jupiter z vs tanda salib...

http://serikandiumar93.blogspot.com/2011/04/yamaha-jupiter-z.html

Balas
avatar

JANGAN sakiti baginda.... maafkan aku ya Rasulullah...

Balas
avatar

salam..

baru mengenali laman ini.. mungkin seminggu jangkanya..

post ini.. MasyaAllah, sarapan ruhi yang menyentap..

Moga Allah redha
Jazakallah...

Balas
avatar

MasyaAllah.. Penulisan yang memberi kesan di sanubari, mabruk! Syukran..

=-)

Balas
avatar

amat terkesan T_T
sebak membacanya.

ya Allah..

moga pengakhiran hidup ini adalah dengan pengakhiran yang baik..

syukran jazilan atas santapan rohani yang benar-benar membuat diri ini terkesan.
teruskan menulis
moga Allah redha dengan perkongsian ini.
moga hati terus ikhlas kerana Ilahi dalam berkongsi
insyaAllah
amin~
syukran jazilan.

Balas
avatar

menarik. Alhamdulillah... banyak manfaat ni... moga menjadi dalam bentuk novel :)

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443