Hunuskan Pena Pedang mu!

Jika sebuah persoalan diajukan, "Apa bukti kamu berbangga dengan islam?"

Bagaimana kita mahu menjawab?

Manusia.

Mungkin ia suatu yang fitrah. Kita benar-benar jarang menghargai benda yang diberi secara percuma. Cuma, selepas ia hilang, atau ia rosak, baru kesal datang berhimpit. Mungkin ada benarnya pepatah melayu, 'sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'.

Banyak perkara yang hilang boleh dicari ganti. Banyak juga benda yang rosak mampu diperbaharui. Tetapi, jika islam itu rosak, atau iman itu lenyap, maka di sana letaknya kegagalan tanpa hujung, tanpa noktah.

Pandang pada paksi kebenaran. Lihat dengan hati yang haq. Tidakkah kita memerhatikan satu suasana di mana umat islam ramai yang mulai keluar dari landasan tauhid. Pun begitu, pemergian mereka tidak memberi mudharat kerana di ufuk sana, islam semakin berkembang. Pola perubahan yang cemerlang di sana, memberi gambaran jelas bahawa Allah semakin membuat tapisan.

Di kala itu, satu persoalan timbul dalam ruang minda saya.

Di mana letaknya rasa bangga mereka itu pada islam?

Jika keputusannya ialah untuk keluar dari islam, atau paling major, untuk tidak beramal dengan islam, adakah itu ada sipi-sipi kebanggan dan izzah buat agama ini?

Perjuangan.

Jika dahulu saya kongsikan pelajaran pertama ialah 'ubudiyyah', maka izinkan saya bergerak kepada pelajaran kita yang kedua.

Manusia yang layak berbangga dengan islam ialah orang yang berjuang di landasan taqwa.

Soal perjuangan, sedikit-sebanyak memberi gambaran yang kabur kepada kita? Apakah ciri perjuangan yang benar? Mengapa perlu ada perjuangan?

Jika kita melihat sirah, saat sampai seruan jihad, yang tinggal cuma golongan munafik dan veteren yang uzur. Secara tuntas, kita sudah mampu melihat rasionalnya tuntutan ini. Orang yang benar-benar sah imannya, dia pasti punya sense of responsibility. Dia merasakan dirinya punya tanggungjawab terhadap agama. Dirinya merasakan bahawa dirinya punya tugas dalam membela agama. Dan dirinya juga merasakan bahawa dia tidak boleh tinggal, dan menjadi pakar boneka (munafikin).

Ada seorang manusia ajaib. Namanya Ammar bin Tsabit r.a. Ketika Rasulallah s.a.w dan para sahabat sedang bersiap-siap untuk perang Uhud, Ammar datang kepada Rasulallah.

"Aku mahu masuk islam dan ikut berjuang"

Kata-katanya tegas, bersama azam yang hangat dengan iman. Dikala hanya Allah dan Rasulallah sahaja yang mengetahui perihal keislamannya, pedangnya sudahpun merobek tubuh musuh. Di saat dirinya nazak di medan perang, sahabat yang pelik bertanya.

"Untuk apa kamu berada di sini?"

Ya. Persoalan itu dituju kerana tiada siapa yang tahu keislamannya. Lalu bersama senyuman dalam kesakitan, Ammar bin Tsabit menjawab, "Aku sudah beriman kepada Allah dan Rasul. Kerana itu, aku turut berperang. Allah akan memberikan 'syahadah' (persaksian) buatku tidak lama lagi".

Tidak lama, rohnya diangkat bertemu Ilahi.

"Amar itu akan berada di syurga", kata Rasulallah.

Ah! Beruntunglah manusia ajaib ini. Dirinya tidak pernah bersolat. Dirinya tidak pernah berzakat. Dirinya tidak pernah berpuasa. Yang dirinya bawa bertemu Allah hanyalah titis-titis darah bercampur keringat seorang mujahid di medan peperangan.

Antara Dua.

Abdullah ibn Mubarak dan Fudhail Bin Iyyad, kedua mereka ialah figur yang cukup terkenal. Keduanya ialah ulama. Keduanya banyak meriwayatkan hadis. Cuma, Abdullah ibn Mubarak ialah seorang ulama dan mujahid manakala Fudhail Bin Iyyad ialah seorang ulama dan ahli sufi.

Fudhail Bin Iyyad, dirinya sangat tekun dan khusyuk dengan ibadahnya. Jika dia mulai bersolat, pasti akan basahlah tempa solatnya dengan linangan air mata ketakutan kepada Allah. Jika dia mulai berzikir, maka layaklah langit dan bumi untuk berasa syahdu. Tekunnya beliau dalam ibadah hingga dia digelar 'hamba kepada dua masjid' iaitu masjidil haram dan masjidil nabawi.

Satu hari, Abdullah Ibn Mubarak mengutus sepucuk surat kepada Fudhail bin Iyyad.

"Kamu jangan bermain-main dalam ibadahmu. Sesungguhnya debu-debu di tengkuk kuda-kuda kami ini adalah lebih baik daripada ibadah-ibadahmu"

Ini sangat benar. Dalam surah al-Hadid ayat 10 ;

...Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu...

Sebelum itu sinonim dengan jerih, payah, perit, sukar dan belukar. Manakala sesudah, ia dekat dengan mudah, senang dan pantas. Lihatlah sejarah Tanah Melayu. Sukarnya datuk nenek moyang kita dahulu. Kita?

Jelas. Setiap muslim, perlu ada lakukan suatu untuk islam. Setiap yang impikan syurga, mesti perjuangkan sesuatu dalam islam. Kata kunci, perjuangan!

Kesimpulan.

Jika diri kita tak mampu berjuang, jangan kita jadi orang yang menghalang perjuangan. Jika kita tak mampu berjuang, maka jadilah orang yang membantu dan menyukai orang yang berjuang.

Berjuang tidak hanya terbatas pada pena pedang tetapi letaknya juga pada ilmu, ekonomi, sosial, karier, masyarakat dan lain-lain. Kerana yang pasti, Tuhan kita sedang menilai kesungguhan kita.

Perjuangkan dakwah. Kerana ia jihad yang paling besar jalannya untuk mu.
Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

"Perjuangkan dakwah. Kerana ia jihad yang paling besar jalannya untuk mu."

sekadar mengulang tayang

Balas
avatar

tidak kejemuan di sini,
apa rahsianya?
kena buat satu artikel khas berkaitan rahsianya akhi..
moga menjd batu loncatan buat para blogger yg lain termasuk hamba,
jika x keberatn.. (",)

Balas
avatar

bagiku berjuang di medan hati adalah first thing first must be done!!

"tegakkanlah Islam di hatimu, nescaya tertegaklah Islam dinegaramu ini"
Umar Al-Khattab

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443