Fatwa Hati (3)


Pagi itu, sejuknya luar biasa bahana hujan lebat sebelum subuh tadi. Yazid mengawal motosikal. Dia menunggang dengan penuh hati-hati. Jam sembilan, farmasi As-Syifa akan dibuka dan dia perlu menjadi antara yang terawal sampai. Tapi sekarang, dia mahu bersarapan terlebih dahulu. Baru malam tadi, seleranya pulih. Itupun dia belum mampu untuk makan banyak, kerana perutnya masih memberontak bila diberi makanan yang lebih.

Dan pagi tadi juga, seawal jam lima dia sudah terjaga. Terjaga, dengan erti kata lain… dia sudah tak boleh menyambung lena. Mata sudah kehilangan mengantuk. Maka, dengan separuh hati dan langkah kaki yang berat, dia menapak masuk ke bilik air. Berwuduk, dan menunaikan solat-solat sunat yang dia tahu. Cis! Yazid ini rupa-rupanya bukannya jenis orang yang baik-baik sangat pun. Dia masuk dalam kategori orang biasa. Dia bukannya ahli ibadah, jauh sekali geng dakwah. Tapi malam tadi, dia rasa terdorong untuk melakukan solat sunat. Dan lebih aneh, kakinya betu;-betul rasa sengal masa dia memaksa diri untuk berbaring, tetapi bila dia ke bilik air, rasa sengal tadi beransur hilang dan selepas dia berdiri untuk solat, rasa itu hilang serta merta! Aneh. Betul-betul aneh kerana inilah kali pertama kakinya ‘berlakon’.

Motosikalnya diletak di satu petak kosong. Dengan langkah yang tidak tergesa-gesa, Yazid melangkah ke sebuah restoren mamak. Restoren yang dibuka 23 jam sehari itu tidak penuh seperti kebiasaan sebuah hujung minggu. Yazid menanggalkan topi keledar, sebelum dia mengambil tempat di satu meja kosong.

Tidak lama, seorang lelaki datang mengambil pesanan. Tutur bicara jelas menunjukkan dia bukan orang tempatan. Mungkin dari Bangladesh atau India. Yazid memesan sekeping roti telur dan segelas teh tarik. Hanya sepuluh minit, makanan yang dipesan sudah terhidang di depannya dengan wap panas terangkat ke atas.

Saat mahu menyuap makan, rasa sengal tu datang lagi! Kini, pada rahang. Roti canai telur yang sudah dikerat dengan tangan, kembali diletak pada pinggan. Tangan kiri yang masih bersih meraba-raba rahang yang rasa sengal-sengal.

“Bacalah bismillah dulu”, satu suara menegur.

Yazid tersentak. Kepalanya terus diangkat. Spontan biji matanya terbeliak saat terpandang wajah itu.

“Rezeki ni Allah yang beri. Mengapa kita perlu jadi sangat kedekut untuk menyebut nama-Nya sebelum rezeki-Nya, kita jamah? Mengapa perlu jadi sangat gelojoh, hingga lupa kebaikan-Nya?”

Yazid diam tak berkutik. Pelik yang bertandang, mematikan seleranya seketika.

“Awak ni siapa sebenarnya?”, tanya Yazid perlahan. Di sekeliling, bunyi bising dari peti televisyen nampaknya sudah cukup untuk memenuhi ruang kedai dua deret yang bercantum ini.

“Awak sudah tahu nama saya bukan?”, pertanyaan Yazid dijawab dengan satu soalan juga.  Lelaki tampan berjubah putih, berserban jejalur merah itu duduk tanpa menarik kerusi terlebih dahulu.

“Awak ni manusia atau apa?”, lanjut pertanyaan Yazid.

Lelaki dihadapannya cuma ketawa kecil. “Saya makhluk Allah, sama macam awak”

“Baik awak cakap siapa awak”, suara Yazid sudah diangkat. Pun begitu, lelaki di depannya hanya ketawa kecil. Langsung tiada tanda dia seakan-akan cuak dengan ketegasan Yazid. Sebaliknya, bibirnya dijuih ke sebelah. Yazid menoleh. Baru dia perasan, betapa dia sedang menjadi perhatian orang ramai di kedai makan ini. Segan dan malu berputik lalu kepalanya ditunduk. Dia cuba berlagak biasa semula. Lalu, dia mencapai kepingan roti canai telur yang sudah semakin hilang hangatnya. Sebelum mencecah mulut, bibirnya terlebih dahulu merakamkan ucapan basmallah tapi tidak diketahui dia ikhlas atau hanya separuh rela.

“Tak perlu bercakap dengan keras. Jika awak berbisik pun saya sudah boleh dengar. Hatta awak berbisik dalam hati pun, saya boleh tahu”, lelaki itu masih senyum. Wajahnya tenang, putih bersih dan bercahaya seperti tadi.

Yazid mengunyah lambat-lambat. Tekaknya betul-betul rasa sudah hilang selera, tapi jika terus dibiar makanan di depan tidak terusik, dia akan membazir. Tidak mahu, maka dia menyuap dan mengunyah jua.

“Awak sebenarnya apa?”

Soalan yang sama diaju, dengan separuh bisik. Tak mahu dia menjadi bahan tumpuan seperti tadi.

“Oh, sudah tukar ‘siapa’ jadi ‘apa’ ya?”, balas lelaki di depannya sinis.

“Awak siapa, dan apa?”, Yazid mengubah struktur ayat. Matanya tepat menikam mata lelaki di depannya. Aneh, mata hitam itu nampak berkilau tapi tanpa bayang, seperti manusia biasa.

“Saya Ahmad. Saya ialah awak dan awak ialah saya”, jawab lelaki itu lancar.

Terlopong Yazid di tempat duduknya. “Apa maksud awak?”

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad itu senyum manis. Gulanya lebih daripada tadi. “Bukankah Allah menciptakan setiap makhluknya berpasang-pasang? Saya ialah pasangan awak”

“Maksud awak?”

“Sebagaimana seekor ikan boleh mati tanpa air, awak juga akan mati tanpa saya. Saya ialah oksigen awak. Saya ialah hati awak. Hati yang bening, jernih dan luhur. Saya ialah penasihat awak. Saya ialah awak dan awak ialah saya”, panjang lebar jawapan itu dilontar keluar dari bibir basah Ahmad.

Lama Yazid terdiam. Kepalanya sarat dengan soalan-soalan yang bertunjangkan keanehan. Tapi lidahnya pula tiba-tiba terasa kelu untuk terus bertanya.

“Awak nak tanya apa lagi?”, kali ni Ahmad pula menyoal. “Makanlah. Jasad awak perlukan makanan…”

Yazid memandang Ahmad tepat. Dengan teragak-agak, dia kembali meneruskan makan. Sambil makan, dia bertanya, “Awak tak makan?”

“Saya makan benda lain”, jawabnya pendek.

“Benda lain? Apa yang awak makan?”

“Amal soleh, ilmu agama, dan sifat hamba kepada Allah”

Hampir tersedak Yazid di situ. Terasa roti canai telur yang sudah dikunyah, berhenti di kerongkong. “Awak ni…”, dia tak mampu meneruskan kata-kata. Kehabisan tatabahasa!

“Pelik?”

Lambat-lambat Yazid angguk, mengiyakan.

“Saya dah beritahu kan? Yang saya ini bukan manusia tapi saya ialah awak. Saya ialah hati awak”, terang Ahmad buat kali yang keduanya.

“Sungguh?”, Yazid memandang dengan dahi yang berkerut. Ya Allah, apa ni? Takkanlah aku boleh bercakap dengan hati aku sendiri kot?

“Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap perkara. Jangan sesekali meragui kekuasaan-Nya. Awak seorang yang istimewa Yazid. Sangat istimewa, hingga hijab awak untuk nampak saya, diangkat. Yazid… sudahlah. Jangan buat reaksi pelik begitu lagi. Bukankah selama ini, kita selalu dan sering berinteraksi? Bukankah selama ini, kita sering berkomunikasi? Yang beza sekarang hanyalah kerana saya sudah berada dalam bentuk yang begini. Ada jirim yang zahir yang boleh dilihat dan disentuh, tetapi oleh awak seorang sahaja”

“Saya seorang sahaja?”

“Ya. Orang lain takkan nampak saya kerana saya ialah awak, dan awak ialah saya”, Ahmad senyum manis lagi.

Yazid kembali teringat peristiwa semalam. Oh! Patutlah muka Asiyah berubah sungguh masa itu. Memanglah dia hairan dan terus-terusan berkata yang Yazid ini bercakap seorang diri macam orang tak betul. Rupa-rupanya memang dia tak nampak Ahmad ini.

“Boleh saya tahu satu perkara?”, tanya Yazid dengan suara yang rendah.

“Ya?”

“Kenapa saya boleh nampak awak? Kenapa awak datang dalam bentuk begini kepada saya?”

“Kerana satu misi sahaja”, jawab Ahmad serius. Senyuman manisnya sudah ditukar dengan riak yang tegang.
“Misi apa?”, tanya Yazid. Dadanya berdebar. Misi apa? Ya Rab. Benda semua ni memang tak masuk akal!

“Selamatkan manusia”

Yazid rasa macam nak ketawa. Dengan penuh sinis, dia membidas. “Heh. Awak nak saya jadi superhero lagi? Nak saya kejar perompak dengan tangan kosong? Tak saya kena tembak lagi?”

Ahmad tidak sedikit pun terkesan, jauh sekali terasa dengan kata-kata berbaur sindiran itu. Sebaliknya dia menyambung dengan penuh semangat, “Ya. Kita akan selamatkan manusia. Kita akan selamatkan manusia daripada kekufuran!”

“Huh?”

Previous
Next Post »
4 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443