Satira Untuk Jiwa.

Saya perasan yang baru-baru ini, ramai orang asyik bercakap-cakap tentang mimpi bertemu Rasulullah. Saya tak tahu dari mana isu ini berbangkit, tapi kalau melihat di laman Facebook sahaja, ramai sungguh orang berkongsi tentang cara untuk mendapatkan mimpi berjumpa Rasulullah. Memanglah ia satu fenomena yang sihat, yang baik, tetapi saya akan berasa tak selesa jika mimpi bertemu Rasulullah, kita pandang dengan satu lapis sahaja.

Saya tak ingat siapa hamba Allah ini, tapi saya tahu bahawa beliau ialah seorang manusia yang hebat! Setidaknya, hebat di mata Allah! Beliau pernah ditanya, jika sekiranya dia berpeluang bertemu Rasulullah, apa yang beliau akan lakukan?

Spontan sahaja, tanpa perlu berfikir panjang, beliau menjawab, "Aku akan menyorok daripada Baginda Rasulullah"

Kita pun terkejut. Sebab kalau orang lain, mereka akan kata, "Saya nak minta agar Rasulullah mendoakan saya", atau "saya nak minta Rasulullah nasihatkan saya" dan mungkin juga, "Saya nak minta agar Rasulullah bawa saya ke syurga!"

Ya Allah. Mudahnya!

Tapi lelaki itu (saya lupa siapa dia) tidak meminta yang itu dan yang ini, sebaliknya mahu untuk bersembunyi. Tapi mengapa?

"Kerana aku malu dengan Rasulullah! Baginda sangat mulia, sedang aku masih banyak kotor dan cela"

Kita tak fikir macam tu, sebab kita fikir kita dah layak. Kita ingat kita dah cukup baik; walaupun kerana kita join usrah, join tarbiyyah. Kita jadi tak kenal siapa Khabbab Bin Arat r.a. hingga kita assume yang kita dah cukup 'disiksa' hingga layak meminta itu dan ini?

Ukurlah baju di badan sendiri...

Dalam hadis, Nabi kata bahawa syaitan takkan menyerupai Baginda dalam mimpi. Maka, kalau kita mimpikan Rasulullah, maka memang Baginda ialah yang kita nampak tu.

Tapi jangan lupa. Syaitan boleh menyerupai orang lain dan kemudiannya claim bahawa dirinya ialah Rasulullah. Sebab kita ingat hadis tu, yang kata syaitan takkan menyerupai Rasulullah, maka kita pun anggap sosok tubuh yang kita lihat dalam minda luar sedar kita tadi ialah Baginda. Padahal kita sendiri tak tahu!

Inilah yang saya nak kata. Mimpi Rasulullah bukanlah ultimate goal kita.

Sebenarnya kalau kita faham tips-tips yang ulama kata sebagai cara-cara mahu mimpi bertemu Rasulullah, maka kita takkan nampak satu lapis, tapi berlapis-lapis pengajaran. Mereka (para ulama) kata, diantara amalan dan cara mahu Rasulullah hadir dalam tidur kita ialah dengan banyak berselawat, banyak berdoa, dan banyak amalkan sunnah baginda.

Jadi, orang-orang yang lurus bendul ini pun kerana mahu sangat berjumpa dengan Rasulullah, maka mereka akan buatlah seperti apa yang ulama itu pandukan. Padahal, diri seseorang itu pun masih belum jelas dengan kedudukannya sebagai umat Rasulullah.

Begini. Berselawat dan amalkan sunnah itu bukan sahaja jalan untuk mimpi bertemu Rasulullah, tapi juga sebenarnya adalah tuntutan kepada kita!

Sayanglah jika ada orang nak jumpa Rasulullah dalam mimpi, tapi taknak jumpa Rasulullah dalam syurga.

Kenapa?

Sebab Nabi kata; Setiap orang akan masuk syurga, kecuali orang yang enggan. Semua sahabat yang ada di sisi baginda kehairanan. Ada juga ek orang yang taknak masuk syurga? Gila bodoh! Ya, cakaplah bodoh ke... gila ke... apa ke... tapi hakikatnya tetap macam itu. Kalau hari ini tersentak, esok lusa 'hu-ha' semula. Kalau minggu ini 'tersedar', minggu depan 'terlena' semula.

Oh ya, dah tahu siapakah golongan yang tak mahu masuk syurga tadi? Itulah dia orang yang tak mahu ikut Rasululullah. Dia sendiri yang membuat pilihan untuk tidak mengikut. Ikut apa? Ikut bagaimana?

Dalam artikel akan datang kita perkemaskan topik ini; Ittiba'ir Rasul.

Cuma untuk artikel kali ini... saya mahu menekankan satu perkara- Kita tak pernah jumpa Nabi di alam realiti. Maka kita tak tahu fizikal Baginda yang sebenar. Tambahan pula, kita ni jenis yang malas nak baca kitab hadis yang menceritakan tentang fizikal Rasulullah. Tambah-tambahlah lagi kita tak tahu.

Lepas tu bila kita mimpi seseorang yang kita tak kenal, yang macam baik-baik lalu terus kita cenderung nak kata itu ialah Nabi- sebab kita tahu syaitan takkan menyerupai Rasulullah yang mulia itu. Sedangkan dalam masa yang sama, kita terlupa bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya sangat licik!

Jadi, jadikanlah hasrat mahu bertemu Rasulullah sebagai perkara samping dalam kita beramal. Sebaliknya, beramallah kerana mahu menghidupkan Rasulullah kerana di sana ada jaminan untuk bersama dengan Baginda di dalam syurga.

Sayanglah kalau setakat jumpa di dalam mimpi, tapi tak mampu berjumpa di dalam kehidupan abadi.
     
Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

Assalamualaikum....jiwailah akhlak Rasulullah...dengan demikian kita sebenarnya sentiasa berdamping dengan Baginda....Wallahua'lam.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443