Kuliah maghrib 6 Jun 2012.

Saya makhluk yang pelupa. Nenek moyang saya, semuanya ada penyakit pelupa. Tulang bangsa saya, bahkan payung negara saya juga ada penyakit lupa. Semua yang bergelar manusia ada penyakit ini. Bezanya, ada yang lupa banyak perkara dan ada juga yang lupa dengan kadar sedikit cuma.

Ada yang lupa benda yang penting dan ada juga yang melupakan benda-benda yang kecil-kecil. Melupakan perkara sampingan yang tiada nilai yang penting, bukan masalah. Bahkan, bukan suatu yang patut dirunsing. Tetapi jika melupakan benda yang besar-besar dan bernilai... Ah! Itu memang suatu yang tidak wajar.

Salah satu benda yang bernilai, yang besar, ialah ilmu. Ilmu diumpamakan seperti binatang buas. Maka, kita perlu menjaganya dengan memagarnya agar nanti dia tidak lari. Cara memagarnya pula pelbagai. Antaranya ialah aplikasikan ilmu dan juga mencatatnya.

Saya mahu gunakan dua metode ini. Maka, saya mengambil keputusan untuk menulis kembali siri kuliah yang baru saya dengar. Saya mulakan dengan artikel ini. Mudah-mudahan, Allah suka perbuatan saya lalu memberi saya kemudahan untuk beramal dan menjana pahala akhirat.

Kuliah Maghrib, 6 Jun 2012. Penceramah ialah Ustaz Ismail, dengan kitab rujukannya ialah kitab La Tahzan.

1- Iman itu ialah perasaan.

Perasaan ialah emosi. Ia gabungan tarian jiwa yang warna-warninya ialah marah, sayang, suka, benci, gembira, sedih, takut, harap, dan lain-lain. Semuanya berpintukan hati. Daripada hati, emosi itu keluar dan daripada perbuatan, emosi itu diwajahkan.

Orang yang beriman wajib memeliki perasaan. Yang dimaksudkan di sini ialah perasaan dalam beragama; iaitu bagaimana dia mengeksperiskan emosi di dalam situasi.

Apabila melihat maksiat, bagaimana imannya bersaksi? Adakah iman akan tersenyum pada maksiat yang menyapa jaganya, atau adakah iman akan sedih?

Bila agama dihina, bagaimana pula perasaannya? Marah atau ceria?

Apabila beribadah (taat kepada Allah), perasaannya bagaimana pula? Gembira atau lemah?

Orang yang beriman mempunyai kosmetik islam pada wajahnya. Tindak tanduknya dihiasi perasaan yang dicetus iman, bukan nafsunya. Dia menyukai ketaatan tapi membenci kemaksiatan. Dia membenci kekufuran tetapi mempunyai belas kasihan kepada orang yang kufur itu. Dan begitulah seterusnya.

Makanya, apabila hati tidak memberi respon yang sepatutnya kepada taat dan maksiat, maka itu tanda iman yang seharusnya sihat, lemah tak bermaya. Atau tidak pun, mati!

2- Jenis-jenis harta.

Harta manusia ada 3 jenis. (1)- Harta mutlak milik kita. (2)- Harta orang lain di bawah jagaan kita . (3)- Harta mutlak orang lain.

Harta milik kita ialah harta yang mengeluarkan olehnya, amal soleh. Kita sedekah. Atau kita membeli barang-barang yang membawa kita kepada mendekati Allah, maka pada mata kasar kita, harta itu habis. Harta itu berkurang. Tapi hakikatnya, itulah harta-harta yang disimpan oleh Allah dalam bank akhirat. Ia adalah satu-satunya pelaburan kita, yang akan kita gunakan untuk kehidupan selepas mati kita. Jika sedekah kita banyak, maka banyaklah simpanan kita selepas mati nanti. Begitulah pula sebaliknya.

Harta orang di bawah jagaan kita pula ialah harta yang kita ada sekarang, tapi ia tidak dibawa masuk ke dalam liang lahad. Contohnya banyak sekali. Kereta kita, tanah ladang kita, rumah sewa kita, komputer riba kita, i-pad, i-phone, Galaxy Note, Tab, ah... semua itu akan menjadi milik orang lain selepas kita mati. Kadang-kadang, jadi milik isteri kita. Kadang-kadang, anak beranak kita. Dan kadang-kadang, kawan kita pula boleh dapat (pandai kelentong, dapatlah).

Jadi, ia adalah ujian kita yang besar. Bukan hanya kerana semua ini sudah jadi tidak berguna selepas kita mati, kita bahkan akan dihisab (dipersoalkan) oleh Allah dengan semua benda-benda ini!

Harta kita yang mutlak milik orang lain pula ialah harta-harta seperti zakat. Nak tak nak, memang kena keluarkan. Selain itu, nafkah zahir juga ialah harta milik orang. Wajib bagi kepada orang di bawah tanggungan kita. Orang putih kata, by hook or by crook. Hukumnya wajib.

3- Syarat utama untuk Allah redha.


Subhanallah. Lama saya termenung di depan wajah komputer. Terlupa tentang pengajaran ketiga, tapi kerana Allah Maha Baik, Dia izinkan saya untuk terus ingat. Maka, pengajaran ketiga daripada kuliah tadi ialah syarat untuk meraih redha Allah, ialah dengan kita wajib untuk redha dengan hukum-hukum Allah dahulu.

Jika kita tak redha dengan Allah, maka jangan mimpi Allah nak redha orang bangang macam kita.

Hukum-hukum (nota: hukum bermaksud ketetapan) Allah ada dua jenis. Pertama, hukum alam. Yang ini namanya fitrah, yang tidak boleh (dan jangan) ditukar atau diubah. Contohnya, siang dan malam. Kita tak boleh tarik matahari apabila siang sebagaimana kita juga tak boleh mengeluarkan matahari apabila hari sudah malam. Selain itu, ketetapan jantina juga termasuk dalam fitrah. Yang dilahirkan sebagai lelaki, haram menjadi maknyah. Yang lahir perempuan, haram menjadi penkid atau tomboy. Itu ketetapan yang sudah ditetapkan dan tidak boleh diubah lagi. Orang yang cuba nak ubah apa-apa yang telah Allah jadikan, ialah orang yang tidak redha kepada Allah!

(perbahasannya panjang. Jangan faham secara literal. Takut nanti ada orang yang tak mahu berubat kerana alasan 'Aku redha dengan ketumbuhan ini. Dah Allah nak jadikan, biarlah'. Jangan jadi literalis!)

Hukum kedua ialah hukum syariat. Yang ini banyak orang gagal. Syariat Allah ialah apa yang dibawa dan dikendong oleh Rasulullah S.A.W. Syariat ialah delegasi wahyu. Apa yang ada dalam al-Quran dan Hadis, itulah dia namanya syariat. Ia meliputi segenap aspek kehidupan kita dari segi cara kita berpakaian, cara bergaul, bercakap, bekerja, makan minum, beristeri, berkeluarga, ber....macam-macam lagi ber. Orang yang tidak ikut syariat ialah orang yang tidak redha kepada Allah. Dan orang ini ialah orang yang Allah tak akan redha.

Moga Allah redha kita semua. Saya dan kalian yang membaca.
Previous
Next Post »
2 Komentar
avatar

assalamualaikum warahmatullah.. iqbal, sy nak request iqbal tuliskan satu artikel boleh x?tapi tntg sesuatu yg sedikit 'pinky' lah.syaratnya ialah, iqbal kena bayangkan yg iqbal ni seorang wanita yg sedang mengejar cita2(masih belajar).dan iqbal ada menyukai org dalam diam dan iAllah dia org yg soleh(iqbal x berhajat nak memberitahu kerana malu menjadi perisai diri).dalam masa yg sama, parents iqbal berhajat nak menyatukan iqbal dgn someone yg sekufu dgn iqbal, once iqbal dah habis belajar. tetapi, tiba2, ketika iqbal sedang belajar, ada seorang hamba Allah, yg Iqbal x pernah kenal lgsg,menyampaikan hajat mahu berta'aruf dgn iqbal dan insyaAllah dia seorang yg soleh, cuma dia tidak sekufu dgn iqbal..so apa iqbal nak buat? (ni kisah realiti tau, berlaku kepada org yg dekat dgn sy).sekian sahaja, jazakillahu khoir

Balas
avatar

silap, bukan jazakillah tapi jazakallah.ampun maaf dipinta, krisis identiti sikit

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443